Gabungan kumpulan muzik yang popular pada era 80-an bakal mengembalikan nostalgia penonton dengan lagu-lagu malar segar.

Oleh: Khadijah Ibrahim

SEBELUM tahun 2024 menutup tirai, boleh dikatakan banyak penganjur yang berlumba-lumba mengatur pelbagai persembahan pentas.

Salah satu acara yang bakal berlangsung pada 28 Disember ini adalah Konsert Rock Kapak 2 yang akan diadakan di di Panggung Asia Kuala Lumpur.

Konsert Rock Kapak ini merupakan trade mark kepada penganjur Boss Production dan Attah Music yang sebelum ini pernah mengadakan acara yang sama pada 7 Oktober 2023.

Dek sambutan hangat yang diberikan terhadap penganjuran konsert pertama itu, kali ini penganjur Attah Music yang dimiliki oleh Hatta Junction, kembali menganjurkan Konsert Rock Kapak 2.

Antara kumpulan yang bakal menjayakan Konsert Rock Kapak 2 pada 28 Disember ini.

Penganjuran Konsert Rock Kapak 2 adalah bagi membangkitkan semula nostalgia, kegemilangan dan populariti muzik rock era 1980-an. Band-band rock Malaysia yang bakal beraksi adalah Gamma, Gravity dan Rockapak Band termasuk penampilan istimewa Amir SYJ/SOFEA serta Joe Rockers.

Jelas Hatta, 57, beliau yakin Konsert Rock Kapak 2 mampu memberi pengalaman dan suasana berlainan baik dari segi pemilihan band yang terlibat.

“Untuk persembahan itu nanti, penonton akan menikmati persembahan istimewa yang seolah-olah membawa anda kembali ke suasana masa lalu.

“Band-band yang terlibat akan memperdengarkan lagu-lagu nostalgia heavy rock dan hits balada mereka yang pernah mendominasi industri muzik tanah air. Tidak dapat dinafikan lagu-lagu ini masih diminati serta tidak jemu didengar,” katanya.

Hatta berkata, beliau cuba mewujudkan peluang kepada rakan-rakan industri menerusi penganjuran konsert tersebut.

Isa (dua dari kanan) sudah pasti akan mendendangkan lagu “Sinambungan Cinta” untuk peminat-peminat Gravity.

“Saya nak beritahu peminat yang kami masih aktif, masih beraksi atas pentas. Contohnya, band pengiring saya Rockapak Band yang menampilkan anggota SYJ/ Sofea yang original. Sekarang kita tengok SYJ/ Sofea dikendalikan oleh Sofea Legacy yang dipanggil pelapis. Yang original dah tiada.

“Legenda macam itu kalau dibiarkan begitu saja, dia tak aktif lama-lama tiadalah, dan orang dah tak ingat. Orang pun tak tahu perkembangan mereka. Rockapak Band menampilkan Zam SYJ/ Sofea, Mie FTG, Rosdy Desire dan Junction sendiri. Secara tak langsung peminat tahu mereka masih ada,” katanya.

Sementara itu, vokalis Gamma Blank atau mesra dengan panggilan Atuk berkongsi perjalanannya untuk menghidupkan kembali kumpulan terbabit yang dikenali menerusi lagu “Lembayung”, “Kembang Terhalang” dan “Penyair Cinta”.
.
“Sebelum ini saya sering tampil seorang diri. Namun, selepas berbincang dengan anggota asal, mereka setuju untuk kembali bersama. Untuk konsert ini, empat anggota asal Gamma akan turut serta, kecuali pemain dram yang digantikan oleh bekas anggota kumpulan Lela,” katanya.

Penyanyi Blank atau Atuk (tengah) dari kumpulan Gamma.

Bagi Isa Gravity pula, beliau teruja diundang menjayakan konsert ini dan inilah peluang untuknya bersama anggota Kumpulan berkumpul semula.

“Kali ini, saya akan tampil bersama Gravity sepenuhnya. Saya berharap konsert ini berjalan lancar dan mendapat sambutan hangat daripada peminat.” katanya.

Konsert Rock Kapak 2 bukan sekadar menampilkan persembahan muzik tetapi penonton turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik antaranya wang tunai, amplifier gitar, gitar elektrik, gitar akustik, alat alat muzik, T-shirt, poster, button band, pakej percutian serta pelbagai barangan lain ditaja khas oleh 72 Guitar Hunters, Scorpions Bikers, Mentari Merah Entertainment, Rockstage Entertainment, Pemburu Buah Group dan AR Travel and Tours.

Pengunjung yang bergaya dengan pakaian rock terbaik pada malam konsert tersebut pula berpeluang memenangi hadiah wang tunai, sijil dan cenderahati yang menarik. Merchandise konsert dan band-band yang terlibat juga boleh didapati di konsert tersebut.

Tiket berharga RM100 seorang boleh didapati melalui (MM 019-2407 994), (Chip Malaya 019-694 7784), (Epain 017-249 4273) dan (Linda 019-233 3435.

Previous articleJulie Remie terus menghilang, lagu malar segar hingga sekarang!
Next articleBintang Running Man berkunjung ke Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here