Teater Muzikal Sudirmania adalah terjemahan daripada lagu-lagu nyanyian Allahyarham Sudirman.

Oleh: Khadijah Ibrahim

NAMA Allahyarham Datuk Sudirman Arshad sering meniti di bibir penggemar muzik tempatan kerana lagu-lagu dendangannya penuh penjiwaan. Meskipun Allahyarham sudah kembali ke pangkuan Illahi pada 22 Februari 1992, karya-karyanya masih diingati dan diminati hingga kini.

Justeru itu, Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur, Pertubuhan Pameran Seni Teater (PEPSTER) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Selangor (JKKN Selangor), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), dengan sokongan Kerajaan Negeri Selangor dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta Sudirman Asset Management dan Revolution Stage bakal menganjurkan pementasan Teater Muzikal Sudirmania.

Teater Muzikal Sudirmania bakal diadakan pada 27 Disember ini, jam 8.30 malam serta pada 28 Disember dan 29 Disember pula, pementasan akan diadakan pada jam 3 petang dan 8.30 malam bertempat di Panggung Bandaraya (DBKL), Jalan Raja, Kuala Lumpur.

Fimie Don berlakon sebagai Ramlan dalam teater Muzikal Sudirmania.

Teater Muzikal Sudirmania adalah satu projek pementasan teater tribute kepada satu-satunya penghibur nombor satu negara, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.

Muzikal Sudirmanaia ini juga adalah sebahagian daripada Siri Karya Agung iaitu salah sebuah program yang diselaraskan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Selangor dan akan dilaksanakan oleh Pertubuhan Pameran Seni Teater (PEPSTER).

Timbalan Pengarah JKKN Selangor, Norziatul Shuhadah Md Idris berharap penganjuran pementasan ini dapat membantu dalam menyemarakkan seni budaya dalam bidang teater dan muzik, terutama usaha untuk mengangkat lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Sudirman melalui olahan teater muzikal yang digarap supaya ia terus malar segar.

Puteri Khareeza berlakon sebagai Zeti dalam teater arahan Khairunazwan.

Katanya, program tersebut juga bertujuan untuk mengetengahkan karya-karya seni dan sastera negara serta mempergiatkan persembahan teater warisan dalam kalangan remaja, belia dan masyarakat di Malaysia secara keseluruhanya.

“Selain daripada itu, Siri Karya Agung ini akan menjadi salah satu platform kepada badan bukan kerajaan (NGO) seni budaya untuk berkarya dengan lebih kreatif dan sudut pandang yang berbeza,” katanya.

Teater Muzikal Sudirmania, karya dan arahan Khairunazwan Rodzy akan dijayakan oleh Fimie Don, Amerul Affendi, Putri Khareeza, Khayrisya Kemal, Kirin Muhd dan ramai lagi.

Jelas Khairunazwan, teater tersebut bukan kisah Sudirman, tetapi lebih menjurus kepada kisah masyarakat dalam jiwa lagu-lagu Sudirman.

Beliau juga berharap Muzikal Sudirmania ini dapat membantu pembangunan dan penyemarakan seni budaya melalui teater muzikal dan sekali gus terus menyokong lagu-lagu Allahyarham Sudirman agar terus mekar di hati masyarakat.

Amerul Affendi sebagai Basir bakal beraksi di pentas teater Sudirmania pada 27 Disember ini.

“Kali ini ada perubahan istimewa dan penambahan baharu dari pementasan yang pernah diadakan sebelum ini. Jadi siapa yang pernah menonton, pasti tidak rugi menonton persembahan teater muzikal Sudirmania ini kerana ada pembaharuan dan penambahan yang telah dilakukan,” jelasnya.

Sudirmania ini adalah penterjemahan dari lagu-lagu nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman menjadi naskhah pementasan yang telah digarap kemas menjadi jalan kisah di zaman kegemilangannya.

Lagu-lagu yang dipilih akan diolah menjadi sebuah cerita yang bertemakan kehidupan remaja, dewasa dalam gelombang percintaan. Sudirmania adalah gabungan empat kisah yang menjadi satu kronologi cerita yang mengisahkan tentang masyarakat yang meminati Sudirman sehingga menjadikan lagu-lagunya sebagai semangat hidup.

Di sebuah kampung, Ramlan, Tapa, Husin, Ani, Nina berbincang untuk ke konsert Sudirman di Jalan Chow Kit pada pertengahan 1980-an. Ia adalah konsert percuma Sudirman untuk rakyat Malaysia. Penduduk Chow Kit juga turut bergembira kecuali Din, Mael dan Basir iaitu mat ganja di Jalan Chow Kit.

Teater Muzikal Sudirmania akan berlangsung selama tiga hari, bermula 27 Disember hingga 29 Disember 2024 di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur.

Mereka ada perancangan jahat untuk dijalankan semasa konsert itu berlangsung. Dalam masa yang sama Yusof bapa kepada Ramlan tidak membenarkan Ramlan pergi ke Kuala Lumpur kerana Yusof ingin pergi ke konsert tesebut untuk bertemu bekas isterinya Laila.

Namun Ramlan pergi juga kerana sudah berjanji untuk bertemu kekasihnya Zeti yang dipaksa bertunang dengan Osman, anak orang kaya.

Banyak rintangan yang mereka lalui untuk pergi ke konsert itu. Ada rompakan, ada kes rogol, ada juga pergaduhan yang menyebabkan kematian. Semuanya berlaku dalam sebuah persembahan Konsert Gergasi Chow Kit Road.

Tiket-tiket berharga RM35.00 dan RM55.00 boleh didapati di laman sesawang revolutionstage.com.

Previous articleRamai penyanyi legenda di konsert Megahitz 3 Dekad Vol.1
Next articleSelamat Hari Natal 2024!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here