Oleh : Asmat Fikri
Antara makanan asas untuk amalan diet seharian bagi menambahkan khasiat dan mengurangkan rekahan pada tumit kaki ialah:
Makanan yang kaya dengan vitamin E seperti minyak sayuran, sayuran hijau, bijiran, gandum dan kekacang. Makanan yang kaya dengan mineral termasuk:
1. Kalsium: Susu, keju, yogurt, susu kambing, susu kacang soya, air mineral, ais krim, ikan, jus, bijirin dan brokoli
2. Zat besi: Daging, ayam dan ikan, telur, sayur, kacang legum
3. Zat zink: Tiram, ayam, ketam, kacang merah, yogurt, beras perang, spaghetti
4. Asid lemak Omega-3: Ikan salmon dan bijirin
Justeru pastikan dalam diet pemakanan harian terdapat sumber pemakanan seperti yang disebut di atas bagi memastikan kulit terjaga dengan baik dan sihat. Selain itu, pemakaian losyen di bahagian tumit juga dapat membantu melicinkan tumit dan mengurangkan rekahan. Amalkan setiap hari pagi dan sebelum tidur pada waktu malam agar tumit sentiasa dalam keadaan lembab.
Rawatan tradisional pulihkan tumit merekah
Di sini kami senaraikan beberapa cara untuk memulihkan tumit merekah dengan hanya menggunakan bahan-bahan yang ada di rumah anda. Bahan-bahan tersebut adalah:-
1) Minyak – Boleh gunakan minyak kelapa atau minyak almond, atau boleh juga gunakan minyak zaitun. Sapukan nipis di bahagian tumit itu agar meresap ke dalam kulit sekaligus mengekalkan kelembapan.
2) Lemon dan garam – Masukkan air perahan lemon ke dalam bekas dan ditambah garam. Rendam kaki buat seketika ke dalam bekas tersebut. Lemon mampu menyingkirkan sel-sel kulit mati pada kulit, manakala garam pula boleh mencegah jangkitan pada luka atau kulit kaki yang merekah.
3) Belimbing buluh – Belimbing buluh adalah antara bahan yang digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat beberapa jenis penyakit seperti batuk, jerawat, kegatalan dan bengkak. Kandungan vitaminnya dipercayai boleh membantu merawat kulit kaki yang kering dan merekah. Caranya, ambil beberapa biji buah belimbing buluh dan lenyek kasar. Kemudian, gosokkan pada tumit anda perlahan-lahan selama beberapa minit. Amalkan rutin ini setiap minggu untuk mendapatkan tumit yang lebih halus dan licin.
4) Madu – Difahamkan antara khasiat madu adalah boleh melembabkan kulit.
5) Getah betik muda – Petua tumit kaki pecah yang seterusnya adalah menggunakan getah betik muda. Caranya, gosok getah betik muda pada tumit kaki. Biarkan kering selama 10 minit dan bilas dengan air bersih. Amalkan dua kali seminggu dengan konsisten sehingga mendapat hasil yang diinginkan
Macam mana? Mudah bukan. Kebanyakan bahan itu semua ada di dapur kalian. Pastikan beri perhatian kepada masalah ini sekaligus dapat mengembalikan tumit yang bersih dan sihat tanpa rekahan.
Penutup
Walaupun ramai yang beranggapan itu adalah perkara biasa dan normal, namun implikasinya boleh jadi besar kepada sesetengah orang. Akibatnya, kaki merekah boleh membuatkan seseorang itu hilang keyakinan diri, malah menyukarkan untuk mengenakan kasut kerana ada kalanya tumit sakit dan mungkin boleh sampai berdarah.
Jadi, sebelum perkara ini berlarutan menjadi lebih teruk, pastikan kita menjaga kesihatan diri luaran dan dalaman agar sentiasa dalam keadaan yang sihat. Amalkan gaya hidup yang aktif serta jaga pemakanan adalah kunci utama bagi memastikan kesihatan luaran dan dalaman kita semua terjaga.
ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.