Sedia berpindah ke Semenanjung jika karier seninya berjalan lancar.

Oleh: Khadijah Ibrahim

MUNCUL sebagai juara dalam pertandingan nyanyian yang dianjurkan oleh GKR International Sdn. Bhd., melayakkan Fandy James menerima hadiah wang tunai bernilai RM10,000 dan berpeluang merakam lagu yang diterbitkan oleh syarikat tersebut.

Fandy James atau nama penuhnya, Mohd Fandy James, 29, dari Ranau, Sabah itu menganggap kejayaan yang diraih dalam pertandingan tersebut sebagai pembuka jalan untuknya meneruskan kerjaya dalam bidang seni suara.

Beliau yang pernah muncul sebagai Juara TikTok Asia Battle 2024 sebelum ini merasa teruja dan bersyukur kerana diberi peluang oleh GKR International Sdn. Bhd., untuk merakam lagu berjudul “Cinta Sebenar”, ciptaan dan lirik oleh penyanyi dan komposer Oja.

Fandy James bersama Oja yang mencipta dan menulis lirik lagu “Cinta Sebenar”.

Fandy yang berbangsa Dusun itu berkata, lagu berentak balada rock tersebut dirakam di studio Tunable Record Sdn. Bhd., Taman Danau Kota yang dimiliki oleh Oja itu, sementara penyanyi Khairool Idlan pula bertindak sebagai penerbit untuk lagu “Cinta Sebenar”.

Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, beliau tidak menghadapi masalah sewaktu bekerja dengan Oja untuk proses rakaman lagu tersebut.

“Tak susah cuma agak penat sedikit sebab proses untuk membuat rakaman ini agak lama juga. Apapun saya bersyukur kerana ini adalah satu pengalaman baharu buat saya.

“Saya berpeluang bekerjasama dengan insan seni yang berpengalaman dalam bidang ini iaitu abang Khairool Idlan dan Oja. Alhamdulillah, lagu ini menepati cita rasa kerana saya suka genre slow rock dan balada,” kata Fandy tentang single pertamanya dengan GKR International Sdn. Bhd., itu.

Aktif menyanyi di TikTok untuk mendekati peminat.

Fandy yang sudah berumah tangga dan ayah kepada seorang cahaya mata itu tidak menafikan lagu “Cinta Sebenar” ada sedikit persamaan dengan kisah hidupnya.

Jelas Fandy, beliau mula menyanyi sejak dari sekolah rendah dan aktif dalam bidang nyanyian pada usia 16 tahun.

“Saya sudah menyanyi sejak di bangku sekolah lagi. Apapun saya bersyukur kerana minat saya itu mendapat sokongan daripada ibu bapa dan keluarga. Saya tak pernah jangka, minat menyanyi saya membawa kepada peluang untuk menjadi seorang penyanyi.

“Bila sudah ada single, saya kena fokuskan kepada kerjaya ini dengan serius untuk memastikan kepercayaan dan sokongan yang diberikan kepada saya berbaloi,” katanya yang sering menyertai pertandingan nyanyian sejak dulu.
Fandy yang mempunyai kira-kira 107.1K pengikut di TikTok (FanDy_JaMes) dan sering menyanyi live di platform tersebut juga mempunyai kumpulan yang diberi nama Offbeat Band.

“Di Sabah, saya jarang mendapat tawaran mengadakan persembahan baik secara solo atau dengan Offbeat Band. Sebab itulah sekarang ini saya selalu buat live di TikTok sebagai pekerjaan sepenuh masa.

Video muzik “Cinta Sebenar” adalah arahan Oja.

“Saya harap single “Cinta Sebenar” mendapat tempat di hati peminat-peminat yang selama ini menyokong saya setiap kali saya live di TikTok. Insya-Allah.

“Sekiranya ada rezeki saya dalam bidang ini, saya sanggup untuk berpindah ke Semenanjung bagi mengembangkan karier saya demi masa depan keluarga,” katanya yang meminati penyanyi Amy Search dan Yabang Khalifah.

Sementara itu, Oja atau nama sebenarnya, Daninas Huza Daud, 45, yang juga seorang penyanyi, pemuzik, penggubah lagu, penulis lirik, pengarah muzik dan pengaturcara muzik itu berkata, beliau memang mencari seorang penyanyi yang boleh menyanyi dengan nada tinggi.

“Saya berhasrat mahu cipta lagu untuk penyanyi yang bekebolehan bernada tinggi seperti Fandy James ini. Waktu saya menjadi salah seorang juri dalam pertandingan yang disertai oleh Fandy, saya berharap dia menang dan rezeki dia muncul sebagai juara.
“Sebaik habis pertandingan tersebut, saya terus ciptakan melodi untuk single Fandy James. Waktu itu hanya melodi tanpa lirik. Kemudian penerbit, Khairool Idlan bersetuju dengan lagu tersebut.

“Selepas perbincangan, penerbit meminta saya mencipta lirik yang berkonsepkan ketuhanan. Maka terciptalah lagu yang berjudul “Cinta Sebenar”.

Fandy James mempertaruhkan single “Cinta Sebenar” untuk perjalanan seninya.

“Lagu itu memberi peringatan kepada kita bahawa tiada tempat lain yang kita boleh bergantung harap selain daripada Allah SWT yang maha pengasih dan penyayang,” ulas Oja mengenai lagu yang bergenre rock ballad itu.

Oja akui irama sebegitu sangat sesuai dinyanyikan oleh Fandy James kerana beliau sudah ada kelompok peminat yang mengenalinya dengan genre tersebut.

“Rakaman bermula pada Oktober 2024 di studio rakaman saya iaitu Tunable Record Sdn. Bhd. Tanggungjawab saya adalah menghasilkan audio dan video production sahaja, selebihnya adalah keputusan daripada GKR International dan penerbit lagu, Khairool Idlan.

“Memandangkan Fandy menetap di Sabah, jadi video muzik (MV) untuk lagu ini dilakukan sehari selepas rakaman vokal Fandy selesai. Kita kena terus buat penggambaran kerana Fandy tidak boleh lama di sini.

“Dalam MV ini saya selaku pengarah menampilkan pelakon lama iaitu Haeriyanto Hassan bersama isteri dan anak perempuannya. Saya harap lagu “Cinta Sebenar” dendangan Fandy James ini akan membuka ruang yang lebih besar untuk dia berkarya,” kata Oja.

Previous articleMakanan mengurangkan rekahan tumit pecah! (Bahagian 2)
Next article“Perjalanan” Soma berdasarkan karya akhir Allahyarham S.Atan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here