Kaka Azraff kini bergerak di bawah pengurusan AAA Entertainment.

Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Ehsan Kaka Azraff

TAHUN lalu dunia hiburan tempatan kecoh dengan berita perceraian artis. Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga pasti berdoa agar ijab kabul mereka itu sampai ke Jannah, namun manusia hanya merancang tapi Allah yang tentukan.

Antara selebriti yang tidak dijangka menemui titik nokhtah dalam perkahwinan adalah penyanyi Kaka Azraff bersama pasangannya, Adam Azriff yang disatukan pada 14 Disember 2018.

Pasangan itu hanya sempat memadu kasih selama enam tahun sahaja dan mereka bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 28 Oktober 2024.

Melakonkan watak ‘Zharfa’ dalam filem usaha sama Malaysia – Indonesia pada tahun 2019.

Meskipun bergelar ibu tunggal, Kaka atau Nor Atiqa Noor Azraff, 36, tidak gentar kerana baginya apa yang berlaku dalam kehidupannya adalah satu pengajaran, baik dalam berumah tangga ataupun dari segi kerjaya.

“Sebenarnya sepanjang tempoh tahun lalu banyak perkara yang saya pelajari. Selama ini, saya ingatkan sudah mengenali diri sendiri rupanya banyak perkara lagi yang perlu saya pelajari.

“Banyak pengajaran yang saya perolehi sebagai seorang ibu dan artis dalam melayari kerjaya. Sebagai seorang anak yang kehilangan ibu, seorang adik kehilangan kakak, rumah tangga dan karier. Meskipun melalui pelbagai dugaan, semua itu mengajar dan sekali gus menguatkan semangat saya.

Kaka Azraff dan Zizan Razak berduet menerusi lagu “Bawaku Pergi”.

“Apapun, saya bersyukur untuk segala yang telah dilalui. Alhamdulillah, saya dapat mengatasinya dan berharap tahun ini memberikan lembaran baharu yang putih dan kosong untuk saya corakan mengikut keperluan saya,” katanya tentang azam baharunya itu.

Pasangan duet Zizan Razak menerusi lagu “Bawaku Pergi” yang dikeluarkan pada 2012 dan “Infiniti Cinta” (2013) itu berkata, setiap kali dugaan melanda dirinya, beliau lebih suka bermuhasabah diri, bersendirian atau bersama keluarga.

“Selain muhasabah diri dan bersendiri, saya tidak perlu risau kerana saya ramai mak cik-mak cik yang umpama ibu saya. Mereka sering mengambil berat perihal saya dan anak-anak.

Tahun 2024 yang lalu banyak mengajarnya untuk mengenali diri sendiri.

“Saya mahu buka buku baharu dan muka surat baharu yang putih dan kosong kerana saya nak warnakan dengan warna-warna yang menarik, cantik dan indah bersama dengan anak-anak. Saya mahu pandang ke hadapan dan enggan toleh belakang lagi,” katanya semangat.

Kaka yang turut hadir memeriahkan majlis pelancaran jenama RockQueen milik ibu saudaranya, Ratu Rock Malaysia, Ella, baru-baru ini berkata, beliau tidak ada menyumbang sebarang idea untuk pengeluaran jenama tersebut.

Namun sejak kanak-kanak lagi, kalau ada di antara ibu saudaranya yang mahu mengeluarkan sebarang produk baharu, beliau akan dijadikan bahan eksperimentasi.

Kaka Azeaff beruntung kerana mempunyai ibu saudara (Ella & Jojie) yang sentiasa mengambil berat tentang dirinya.

“Bagi saya jenama RockQueen ini menitik beratkan soal kesopanan tapi masih lagi ada daring dalam fesyen. Saya tak ada bagi idea tapi lebih kepada sebagai pendengar saja. Kalau ada produk, kami akan bertukar-tukar pendapat dan sejak dari kecil saya akan jadi bahan ekperimentasi dia (Ella),” katanya tertawa kecil.

Kaka yang hanya berjaya menjadi finalis Anugerah Juara Lagu pada tahun 2015 untuk single berjudul “Bukan Hal Aku” bagaimanapun muncul sebagai juara pada Anugerah Juara Lagu Ke-35 pada 2020 menerusi lagu “Gila” gandingannya bersama Noki dan Loca B.

Sejak membabitkan diri dalam bidang seni suara pada 2012 hingga kini Kaka telah berkolaborasi dengan beberapa penyanyi iaitu Sleeq untuk lagu “Perjalanan”, Awi Rafael (“Ada JalanNya”), Caprice & Mimi Fly (“Experience It”), Jaz Hayat (“Karma”), Daniesh Suffian (“Karya”), Daniel Sher & Saint T.F.C (“Kita Pasti Boleh”) untuk runut bunyi filem ‘Gold’.

Kontrak Kaka Azraff ditamatkan oleh syarikat rakaman kerana didakwa mengeluarkan kenyataan kasar di media sosial.

Sebagai penyanyi syarikat rakaman Warner Music Malaysia sebelum ini, Kaka diduga apabila label tersebut menggugurkan beliau daripada bernaung di bawah syarikat tersebut pada 31 Disember 2023.

Alasan Warner Music Malaysia menggugurkan Kaka kerana beliau didakwa menggunakan bahasa kasar dalam sokongan beliau terhadap Palestin.

Meskipun sudah tidak bernaung di bawah label antarabangsa itu, kata Kaka, beliau masih tetap mendapat undangan menjayakan persembahan pentas.

“Sepanjang 2024, alhamdulillah walaupun tak ada keluar lagu tapi masih lagi dapat panggilan untuk show, saya anggap itu rezeki anak-anak. Dalam waktu terdekat ini, saya akan keluar dengan lagu baharu.

Kaka Azraff bakal muncul dengan single baharu dalam waktu terdekat.

“Insya-Allah akhir Januari ini atau awal Februari akan keluar single baharu. Doakan agar semua perancangan berjalan lancar. Muziknya masih lagi berbunyi Kaka Azraff tapi lebih matang dalam segi lirik dan penceritaan.

“Kali ini semua pengurusan sendiri. Buat pertama kali juga pada tahun ini saya nak ajar diri untuk menjadi seorang artis yang cuba berdiri di atas kaki sendiri. Selama ini saya bergantung dengan label saja. Kali ini lagu diterbitkan di bawah pengurusan AAA Entertainment yang membawa maksud nama anak-anak iaitu Azlan, Aryan dan Atta,” jelasnya.

Kaka tidak menafikan apabila bergerak sendiri untuk pertama kalinya, ada juga dilanda perasaan gementar kerana selama ini syarikat rakaman yang menguruskan perjalanan kariernya.

Wajah Kaka Azraff pernah terpampang di papan iklan Times Square New York.

“Bila bergerak sendiri sebenarnya rasa nervous. Sepanjang 13 tahun dalam industri ini dengan pengurusan walaupun keputusan itu datang daripada saya tapi yang menjalankan itu semua adalah team.

“Kali ini saya kena pastikan semua perancangan berjalan lancar seperti yang dirancang. Memang rasa nervous kerana saya yang merancang semua perkara di waktu yang sama teruja, macam-macam perasaan bercampur baur sebenarnya.

“Sejujurnya, saya tak sabar nak tunggu kelahiran single baharu nanti. Sebenarnya bila kita lalui sesuatu baru kita tahu bahawa kita kuat dan boleh buat. Kalau kita tak lalui benda itu kita tak akan tahu dan selalu bertanya pada diri. Apa yang saya lalui dalam 2024 itu semua positif untuk saya menjadi lebih baik.

Mahu fokus pada anak-anak dan kerjaya.

“Bila bergerak solo tanpa label, saya rasa lebih bebas, senang untuk membuat leputusan tanpa meminta pengesahan daripada orang lain. Semuanya daripada saya dan team, tapi tak adalah naklah syok sendiri saja,” katanya terus terang.

Selain menyanyi, Kaka juga seorang pelakon berbakat. Beliau pernah muncul dalam drama ‘Dunia Generasi Baru” pada 2015 sebagai Norelle yang merupakan drama pertama lakonannya. Manakala, ‘Aliff Dalam 7 Dimensi’ pula adalah filem pertama lakonannya sebagai Izreen pada 2016. Malah Kaka juga berpeluang berlakon dalam filem usaha sama Malaysia – Indonesia berjudul ‘Zharfa’, arahan Ruli Wanisar pada 2019.

Kaka juga pernah mencabar dirinya sebagai peserta untuk program ‘Duo Star’ bergandingan dengan Awi Rafael (2016), ‘Immortal Songs Malaysia’ pada 2020 dan pada 2024, beliau menyertai ‘The Hardest Singing Show’. Pernah menjadi pengacara untuk program #Supper pada 2014.

Previous articleKebaikan dan manfaat pokok kemangi untuk kesihatan
Next articleS. Atan tinggalkan karya ‘berhantu’

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here