Oleh : Nafsiah Jani
Buah pisang memang sedap dimakan sama ada secara mentah, digoreng, rebus, kukus mahupun dijadikan kek atau kerepek. Rasanya yang lembut dan manis membuatkan ramai yang menyukainya termasuk kanak-kanak.
Pisang mengandungi tiga jenis gula semulajadi iaitu sukrosa, fruktosa dan glukosa yang membekalkan tenaga dengan kadar segera dan berterusan. Kajian juga menunjukkan dua biji pisang mampu membekalkan tenaga untuk melakukan senaman selama 90 minit.
Pisang juga dikatakan dapat merawat beberapa jenis penyakit dan sesuai untuk dijadikan pemakanan seharian. Pisang juga kaya dengan potasium, serat, vitamin B6, vitamin C, antioksidan, mineral dan tenaga serta karbohidrat membuat badan anda lebih sihat dan bertenaga.
Pisang juga mengandungi banyak vitamin penting dan mineral yang dapat membantu untuk menurunkan kadar indeks gula, memperbaiki sistem penghadaman dan mempercepatkan proses pembakaran lemak.
Jadikan pisang rebus sebagai menu yang perlu anda ambil pada setiap hari kerana hidangan ini mempunyai banyak khasiat dan manfaat untuk kesihatan. Bagi yang ingin kurus, makanlah pisang setiap hari kerana kandungan potasium dapat membantu menurunkan berat badan. Begitu juga kandungan serat yang terdapat dalam buah pisang dapat mengawal nafsu makan dan berubah menjadi tenaga yang diperlukan tubuh.
Buah pisang juga sebenarnya mempunyai banyak manfaat untuk lelaki dari segi kesihatan umum dan juga kesihatan dalaman. Pisang kaya dengan nutrien yang penting untuk tenaga, kesihatan jantung serta kesihatan seksual lelaki.
Protein Triptofan yang terdapat dalam pisang boleh bertukar serotonin kepada tubuh menyebabkan seseorang berasa tenang dan gembira setelah mengamalkan pisang sebagai makanan diet. Manakala vitamin B yang tinggi juga dapat membantu menenangkan sistem saraf. Maka jadikan pisang sebagai menu wajib anda setiap hari untuk membantu memelihara kadar gula dalam darah dan kesihatan anda. Selamat mencuba.

1. Untuk hindarkan diri dari sembelit, anda digalakkan makan pisang setengah jam sebelum tidur pada waktu malam. Serat dan vitamin B6 dalam pisang dapat membantu membantu sistem metabolisme, melancarkan sistem pencernaan dan pembuangan air besar. Selain itu pisang nipah rebus juga dapat mencegah terjadinya kes sembelit dan cirit birit.
2. Buah pisang juga dapat membantu anda untuk menikmati tidur yang lena pada waktu malam. Kandungan nutrisi dalam pisang seperti triptofan, magnesium, vitamin B6, karbohidrat dan potasium mampu meningkatkan kualiti tidur anda.
3. Jika pengaliran darah tersumbat maka ia boleh menyebabkan penyakit berbahaya seperti strok. Agar peredaran darah sentiasa baik, lancar dan stabil maka disyorkan makan pisang rebus. Kandungan zat kalium pada pisang rebus dapat membantu melancarkan aliran darah yang tersumbat.
4. Pisang rebus juga kaya dengan vitamin A dan dapat mengatasi permasalahan mata dan kerosakan mata akibat usia yang sudah lanjut. Kandungan vitamin A ini sama fungsinya seperti mengambil lobak merah.
5. Buah pisang juga mengandungi prebiotic fructooligosaccharide yang baik bagi kesihatan. Prebiotik inilah yang membantu tulang untuk menyerap kalsium dengan lebih cepat dan pisang rebus juga membantu mencegah dan mengatasi masalah bengkak kaki yang selalu dialami ibu-ibu hamil.
6. Selain membantu menurunkan berat badan, amalan makan pisang rebus secara teratur akan membantu mengecilkan pori-pori wajah sehingga kulit wajah akan dilihat lebih cerah, tegang dan lebih halus.
7. Jika anda mudah letih dan penat selalu, amalkan minum jus pisang yang dicampur bersama madu dan susu. Jus pisang dapat menyejukkan perut dengan bantuan madu ia dapat membina semula kandungan gula dalam darah yang berkurangan akibat keletihan dan susu pula dapat memperbetulkan sistem hidrasi.
8. Pisang rebus juga dapat mengawal tekanan gula darah. Ini kerana kandungan kalium dalam pisang rebus memang cukup tinggi dan kandungan sodiumnya rendah. Kombinasi ini menjadikan pisang sangat baik untuk menormalkan tekanan darah. Ini menjadikan risiko untuk masalah hipertensi lebih mudah dihindari. Manakala kandungan gula pada pisang rebus cukup rendah dimana ia juga sangat baik untuk pesakit diabetes.
9. Selalunya masalah jantung dikaitkan dengan kolesterol dan untuk menurunkan kolesterol seseorang yang berbadan besar akan dinasihatkan menurunkan berat badan, lakukan senaman dan makan makanan tinggi serat. Kandungan potasium membantu mengawal tekanan darah, baik untuk jantung.
10. Untuk menghilangkan pelbagai masalah kulit, termasuk jerawat, kudis, parut, kurap, dan sebagainya, ambil sekeping kulit pisang, tampalkan sebelah dalam kulit pisang itu pada tempat yang ingin dirawat dengan menggunakan plaster luka biasa.

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.