Oleh : Nafsiah Jani
Buah kiwi boleh disifatkan sebagai buah yang mempunyai pelbagai vitamin semula jadi didalamnya. Ia dikatakan memiliki dua kali ganda khasiat vitamin C berbanding buah limau dan mempunyai enzim tersendiri untuk melambatkan proses penuaan.
Buah kiwi mempunyai banyak kandungan nutrisi yang baik untuk tubuh. Meski rasanya sedikit masam dan manis, namun buah ini terasa menyegarkan bila dinikmati. Buah kiwi juga kaya dengan pelbagai khasiat berbanding 27 buah lain seperti betik, mangga, limau, nanas, tembikai, epal, anggur, aprikot, strawberi, plum, pir, tembikai susu dan pisang.
Malah melalui beberapa kajian yang dilakukan pada buah kiwi mendapati khasiatnya sangat berkesan untuk mengekalkan kesihatan hingga ke usia tua. Buah ini memiliki kandungan vitamin A, C, K, dan E yang memberikan nutrisi tambahan bagi kulit.
Buah kiwi atau nama saintifiknya, Actinidia Deliciosa, suatu ketika dulu juga dikenali sebagai Chinese Gooseberry. Ia diimport ke New Zealand pada 1940-an dan dipasarkan dengan nama kiwi, sempena nama burung yang menjadi simbol negara itu. Hingga kini, New Zealand terkenal sebagai negara pengeluar utama kiwi di dunia.
Menurut European Journal of Nutrition selain vitamin C dan sejumlah nutrisi lain, buah kiwi juga mengandungi serat, vitamin E, folat dan pelbagai komponen bioaktif, seperti antioksidan, fitonutrien dan enzim.
Berdasarkan kajian, buah kiwi adalah sumber vitamin, mineral dan serat yang baik untuk kesihatan. Ini kerana ia mampu bertindak sebagai ejen untuk merendahkan paras kolesterol di dalam darah. Pengambilan buah ini dalam menu harian sejak kecil juga boleh mengurangkan risiko serangan penyakit barah dan sakit jantung.
Walaupun teruja mengambil buah kiwi, namun anda juga disarankan agar tidak mengambilnya dalam kadar yang berlebihan bagi mereka yang mempunyai penyakit diabetes.

Selamat mencuba demi untuk kesihatan anda.
- Buah kiwi dikatakan dapat membantu mengatasi masalah penyempitan saluran pembuluh darah, selain menggantikan sel mati yang boleh menyebabkan penuaan berdasarkan penyelidikan perubbatan dari Australia Brian Holding.
- Buah kiwi juga mempunyai nutrisi bagi menjaga mata. Kandungan zeaxanthin pada buah kiwi dapat mengurangkan risiko terjadinya degenerasi makula serta gangguan fungsi retina yang boleh menyebabkan buta. Namun, untuk mendapatkan manfaat buah kiwi ini, anda perlu mengamalkannya bersama buah dan sayuran yang kaya antioksidan jenis karotenoid.
- Buah kiwi juga dapat mengatasi gangguan tidur yang dialami oleh sesetengah orang dewasa kerana antioksidan dan serotonin yang terkandung didalamnya. Hasil kajian Taipei Medical University, kepada mereka yang mempunyai masalah tidur setelah makan dua biji buah kiwi satu jam sebelum mereka tidur dapati peserta yang berumur 20 – 55 tahun ini dapat tidur dengan lenanya.
- Kandungan Vitamin C dan vitamin K dalam buah kiwi dapat menyembuhkan luka dengan cepat. Vitamin C menghasilkan kolagen bagi pembentukan sel kulit dan bertindak sebagai antioksidan yang mampu memperbaiki kerosakan sel. Vitamin K pula mencegah perdarahan berlebihan dan mempercepatkan pembekuan darah.
- Kandungan Vitamin C yang tinggi dalam buah kiwi dapat membantu meningkatkan jumlah sperma. Ia juga dapat menghalang sperma daripada bergumpal dan melindungi DNA dalam sperma daripada kerosakan radikal bebas.
- Buah kiwi mempunyai kandungan kalium yang tinggi dan natrium yang rendah yang bagus untuk melancarkan pengaliran darah. Menurut kajian Blood Press pada tahun 2015 menyebutkan bahawa tiga buah kiwi dapat membantu menurunkan kadar kolesterol di dalam darah.
- Kiwi sarat dengan vitamin yang bertindak sebagai antioksidan. Buah ini juga dapat memperbaiki segala jenis kerosakan yang disebabkan oleh pancaran sinar matahari yang berlebihan.
- Buah kiwi mengandungi vitamin C yang sangat tinggi. Vitamin C adalah zat gizi yang penting untuk menguatkan sistem kekebalan tubuh, terutama dalam melawan penyakit jangkitan yang disebabkan oleh bakteria dan virus.
- Selain dimakan secara langsung, buah kiwi juga boleh dijadikan minuman segar dan membantu kulit lebih awet muda. Antioksidan tinggi di dalamnya dapat meneutralkan radikal bebas yang merosakkan sel-sel sihat, termasuk yang menyebabkan munculnya kerutan dan garis-garis halus pada kulit wajah.
- Buah kiwi memiliki sifat antibakteria dan antimikrob yang mampu mengawal minyak yang berlebihan pada kulit wajah. Secara tidak langsung ia juga dapat mencegah terjadinya jerawat. Untuk memastikan ia tidak berlaku selain makan buah kiwi, gunakan juga produk skincare yang mengandungi ekstrak buah kiwi.

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.