Dasha tampil dengan album "Legasi" sebagai penghargaan kepada ayahnya, Loga Alleycats.

Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Afhzahafiez Kamaruddin

SALAH satu nama kumpulan muzik yang diminati ramai kerana lagu-lagu dendangan mereka yang malar segar adalah Alleycats yang mula menghasilkan album pertama, “Terima Kasih” pada 1979.

Siapa yang tak suka dengar lagu “Andainya Aku Pergi Dulu”, Hingga Akhir Nanti”,” Senyuman Kuala Lumpur”, “Seribu Bintang”, “Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi”, Rayuan Di Puncak Genting” dan banyak lagi kerana hingga kini Alleycats telah menghasilkan kira-kira 28 buah album.

Vokalis utama Alleycats adalah Datuk David Arumugam, 75, dan adiknya, mendiang Datuk Loganathan Arumugam yang meninggal dunia pada 4 Jun 2007 akibat kanser paru-paru pada usia 53 tahun dan meninggalkan seorang balu, Datin Susan Lovie Boudville serta dua orang anak, Vigneshwaran dan Dasha.

Mengakui ayah dan David menjadi inspirasi kepadanya untuk menjadi penyanyi.

Bagi menyambung legasi Loga, anak keduanya, Dasha atau nama lengkapnya, Priyadashini Loganathan, 38, tampil dengan EP (Extended Play) berjudul “Legasi” yang memuatkan lima lagu Alleycats yang muziknya disusun semula oleh Melina Williams dan diterbitkan oleh Rozhan Razman.

Lagu-lagu yang menjadi pilihan Dasha adalah “Jika Kau Bercinta Lagi”, “Senandung Semalam”, “Seribu Bintang”, “Andainya Aku Pergi Dulu Sebelummu” dan “Sampaikanlah Salam”.

Bercakap mengenai EP ini, Dasha berkata, “Legasi” merupakan sebuah penghormatan kepada perjalanan muzik beliau yang dipengaruhi oleh warisan keluarga dan tradisi.

Akui sukar memilih lagu-lagu Alleycats untuk dirakam semula kerana banyak lagu yang popular.

“Sejak kecil saya menyimpan Impian untuk menjadi penghibur seperti bapa dan pak cik, mereka adalah inspirasi saya. Daripada mereka saya belajar tentang muzik dan persembahan.

“Idea untuk hasilkan EP ini tercetus pada 2007 tapi waktu itu belum berkesampatan untuk merakam semula lagu Alleycats kerana saya masih lagi berduka dengan pemergian ayah. Pada 2021, apabila saya bertemu dengan seorang kawan dia kata, kawan-kawan semua sedang menunggu apa yang akan saya buat seterusnya.

“Kami mula berbincang tentang projek ini sebelum Covid lagi. Saya makin bersemangat, apabila saya mendapat sokongan penuh daripada produser projek ini, Rozhan Razman dan Melina Williams. Lagipun, saya sudah didedahkan dengan lagu-lagu Alleycats sejak lahir lagi.

Turut berkolaborasi dengan pak ciknya, David Arumugam.

“Lagu-lagu Alleycats sangat bagus dan saya mahu semua orang mendengarnya setiap hari. Memandangkan Alleycats ada lebih daripada 100 buah lagu dan 30 hingga 40 buah lagu mereka cukup popular di kalangan peminat muzik tempatan, agak sukar juga untuk buat pilihan.

“Saya harap pendengar tua dan muda akan terus mendengar muzik Alleycats. Semoga album “Legasi” ini akan ada peminat generasi baharu yang meminati Alleycats. Hasil kerja Melina Williams dan Rozhan Razman, yang kreatif telah membawa keunikan dalam projek ini. Hasilnya adalah karya yang penuh jiwa dan semangat,” kata Dasha tentang albumnya yang turut mendapat sokongan MyCreative Ventures Sdn. Bhd.

Dasha yang teruja dapat bekerjasama dengan pak ciknya, David Arumugam, seorang ikon muzik Malaysia namun tetap mengakui bahawa sukar baginya menyanyikan lagu-lagu yang pernah dinyanyikan oleh mendiang ayahnya.

Dasha harap dengan kelahiran “Legasi” akan ada peminat generasi baharu Alleycats.

“Tidak ramai yang berpeluang mendengar suara orang tersayang selepas mereka tiada. Bagi saya, ini adalah satu rahmat dan juga ujian. Menyanyikan lagu-lagu yang pernah dinyanyikan oleh mendiang ayah saya amat sukar secara emosi.

“Seperti lagu “Andainya Aku Pergi Dulu Sebelummu” adalah lagu yang sangat dekat di hati saya. Walaupun ia mencabar, lagu ini mengingatkan saya tentang kehadirannya dan warisannya. Alleycats juga mempunyai banyak lagu yang mendahului zamannya, dan saya berharap dapat menghasilkan semula karya mereka di masa hadapan,” katanya tanpa berselindung.

Tegas Dasha, beliau kagum dengan Alleycats kerana kumpulan itu mempunyai begitu banyak lagu yang hebat serta permata tersembunyi dalam koleksi muzik mereka dari pelbagai album.

“Dalam memilih lagu-lagu ini, saya berharap ia akan membangkitkan minat dan emosi terhadap apa yang ingin saya lakukan, iaitu menghidupkan semula beberapa lagu yang kurang popular seperti “Cahaya Keinsafan”, “Dengar Lihat Fikir”, “Dimana” dan banyak lagi. Lagu-lagu ini sudah lama dekat di hati saya. Dan mungkin, ia juga mempunyai tempat istimewa di hati ramai orang.

Usaha Dasha merakam semula lagu Alleycats mendapat sokongan penuh daripada David Arumugam.

“Harapan saya adalah untuk menghargai legasi muzik Alleycats, menghidupkan semula lagu-lagu yang terlupa, menyentuh hati pendengar dan menghasilkan muzik abadi yang memberi inspirasi dan makna,” ujarnya jujur.

Selain merakam semula lagu dendangan Alleycats, Dasha juga menghasilkan muzik video untuk lagu “Jika Kau Bercinta Lagi” yang turut menampilkan David.

Ujar penyanyi yang terkenal dengan tagline ‘Terima kasih’ itu melahirkan rasa bangga dengan anak saudaranya kerana Dasha benar-benar menaruh seluruh hati dan perasaannya serta kesungguhan dalam karyanya.

“Saya taka da halangan lagu-lagu Alleycats dinyanyi dalam versi baharu kerana Dasha membawa lagu tersebut dengan gayanya yang tersendiri dan hasilnya terasa segar dan menarik,” ulas David mengenai hasil kerja Dasha.

Previous article“Madha Gaja Raja” tetap dapat sambutan walaupun terperap lama
Next articleRyzal Aziz tampil dengan lagu religi, “Ramadan”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here