Freddie Fernandez harap selebriti siasat dulu latar belakang syarikat sebelum setuju menjadi duta.

Oleh: Khadijah Ibrahim

MENYEDARI selebriti mempunyai pengaruh besar untuk tujuan promosi, maka banyak syarikat yang sering melantik golongan artis sebagai duta untuk mempromosi produk mereka.

Ini kerana mereka mempunyai ramai peminat dan pengikut, secara tidak langsung penampilan artis dalam kempen yang dianjurkan oleh syarikat berkenaan pasti mendapat sambutan hangat.

Tidak dinafikan selebriti dibayar setimpal dengan pembabitan mereka dalam setiap syarikat yang melantik mereka sebagai duta untuk mempromosi produk berkenaan.

Terkini, nama pelakon Datuk Jalaluddin Hassan, penyanyi Ziana Zain dan Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor menjadi bualan hangat kerana mereka adalah duta bagi syarikat perunding kewangan CSA Academy yang dikaitkan dengan penipuan ratusan juta ringgit yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Duta CSA Academy, dari kiri Jalaluddin Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif CSA Academy, Dr. Jay Ong Mun Ho, Ziana Zain dan Dr Sheikh Muszaphar Shukor.

Berikutan kes tersebut, Persatuan Karyawan menasihatkan golongan artis dan selebriti agar lebih berhati-hati dalam menerima tawaran sebagai duta atau penajaan. Langkah ini penting bagi mengelakkan mereka dieksploitasi oleh perniagaan yang menyalahi undang-undang.

Presiden Persatuan Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, dalam satu kenyataan menegaskan bahawa kes sebegini bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah berlaku beberapa kali sebelum ini.

“Para manipulator sering menggunakan selebriti kerana pengaruh mereka dalam masyarakat. Kehadiran artis dalam sesuatu produk atau skim mampu memberi keyakinan yang tinggi kepada orang ramai, menjadikan mereka sasaran mudah bagi syarikat atau individu yang ingin mengambil kesempatan,” ujarnya.

Mengulas mengenai isu tersebut, Freddie percaya bahawa artis atau selebriti yang terlibat mungkin tidak sedar bahawa mereka sedang dieksploitasi oleh pihak sindiket.

“Kebanyakan mereka menerima tawaran ini kerana selain daripada membuat persembahan, menjadi duta produk atau menerima tajaan juga merupakan sumber pendapatan utama mereka.

“Namun, saya percaya modus operandi sindiket sebegini sangat licik dan mengelirukan, seolah-olah mereka menjalankan perniagaan yang sah di sisi undang-undang, menyebabkan para artis bersetuju menerima tawaran mereka,” katanya.

Jalaluddin Hassan sedia memberi kerjasama jika dipanggil pihak SPRM untuk diambil keterangan.

Beliau menasihatkan agar golongan artis lebih berhati-hati dan membuat semakan teliti sebelum menerima sebarang tawaran, terutamanya jika bayaran yang ditawarkan terlalu tinggi atau luar biasa.

“Impaknya amat besar jika mereka terpalit dengan kes sebegini. Ia bukan sahaja boleh menjejaskan reputasi artis berkenaan, tetapi juga mencemarkan kepercayaan masyarakat terhadap industri hiburan secara keseluruhannya,” tambah beliau.

Sebagai langkah pencegahan, Freddie menyeru agar artis mengambil inisiatif untuk menyiasat latar belakang syarikat yang menawarkan tajaan atau kontrak duta.

“Dapatkan nasihat profesional jika perlu, terutama dalam hal-hal berkaitan kewangan dan perundangan. Jangan terburu-buru menandatangani sebarang kontrak tanpa memahami implikasinya,” tegasnya.

Sementara itu, Jalaluddin Hassan yang ditemui pada majlis Bulan Bintang Sedekad Menyinar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada Ahad (2 Februari) baru-baru ini mengakui, beliau terkejut dengan dakwaan berkaitan syarikat perunding kewangan CSA Academy itu.

Namun kata Jalaluddin, beliau tidak mudah melatah kerana pihak syarikat perunding kewangan berkenaan memberi jaminan dirinya bersama dua selebriti lain tidak terbabit dalam isu berkenaan.

“Bila isu ini timbul, saya agak terkejut. Jika dipanggil oleh SPRM, saya sedia memberi kerjasama, namun setakat ini belum ada panggilan daripada mereka. Pengasas syarikat perunding kewangan berkenaan beritahu, saya selaku duta tidak terkesan apa-apa,” katanya.
Tegas Jalaluddin, sebagai duta, beliau hanya melaksanakan tugas seperti tercatat dalam kontrak.

Sebagai duta CSA Academy, Ziana Zain menyanyikan lagu tema syarikat berkenaan yang berjudul Semangat Wira yang dilancarkan pada Mei 2024.

Malah kata beliau, sepanjang bergelar duta kepada syarikat pengurusan kewangan berkenaan tiada sebarang aktiviti mencurigakan.

“Saya hanya duta sahaja untuk hasilkan video dan mempromosikan syarikat. Itu sahaja tugas saya dan tidak lebih daripada itu. Bila saya tanya mereka kedudukan kewangan sejak dahulu hingga kini, semuanya puas hati dan tiada mencurigakan,” jelasnya.

Selain itu bekas pengacara program Who Wants to Be a Millionaire? turut menafikan beliau menerima bayaran sehingga RM400,000 seperti yang ditularkan.

“Alangkah bertuahnya saya mendapat wang sebanyak ini. Saya tidak mahu cerita dan menafikan perkara ini. Biarlah pihak berkuasa menyiasat. Saya lihat reaksi pihak syarikat pengurusan kewangan tenang sahaja. Saya harap semuanya dapat dijernihkan,” katanya lagi.

Sementara itu Ziana sebagai duta CSA Academy yang dilantik pada Mac 2024 dan turut menyanyikan lagu tema CSA Academy ‘Semangat Wira’ yang telah dilancarkan Mei tahun lalu, lebih senang mendiamkan diri.

Ujar Ziana, beliau hanya menyanyikan lagu saja dan faham dengan situasi yang sedang berlaku.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya akan memanggil beberapa selebriti termasuk artis terkenal yang dikaitkan dengan syarikat perunding kewangan CSA Academy yang tumpas dalam Ops Sky untuk membantu siasatan.

Keterangan akan diambil selepas siasatan mendapati terdapat sejumlah dana digunakan untuk selebriti berkenaan, termasuklah menjadi wajah kepada syarikat berkenaan.

Previous articleMaria Arshad seniwati ‘manja’ kekal jelita!
Next articleKonsert Rentas Masa satukan penyanyi pelbagai genre

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here