Oleh: Nafsiah Jani
Foto: Ehsan Khaty Azian/Koleksi Syed Wafa
Drama Opah begitu sinonim dengan pelakon Khaty Azian. Bagi apa saja watak kepadanya, emak mentua jahat, ibu tiri jahat, kekasih jahat, wanita lumpuh dan macam-macam lagi. Memang menjadi apa saja watak yang diberikan. Itulah dia pelakon versatile Khaty Azian, 59.
Khaty Azian bersyukur kerana dirinya masih bertahan dalam industri sejak pembabitannya dalam drama Opah bermula hujung 1983. Khaty juga bersyukur kerana kanak-kanak kecil zaman sekarang juga cukup mengenalinya kerana drama-drama lakonannya sentiasa dimainkan di kaca televisyen.


Jadi tidak hairanlah jika rakan-rakan artis seangkatannya ramai yang sudah menyepikan diri namun tidak kepada Khaty Azian yang semakin murah rezekinya dalam industri lakonan. Mana tidaknya dengan sikapnya yang bersahaja, `gila-gila’ dan sentiasa mengikut trend semasa membuatkan Khaty Azian bergerak seiring peredaran zaman.
Kata Khaty Azian atau nama sebenarnya, Norazian Salehan, memang ramai rakan-rakan seangkatan dah `berhenti’ berlakon berbanding dirinya yang masih lagi bertahan.


“Bukan ada tip… saya bertahan sebab saya percaya pada rezeki dan juga iklan terbesar adalah dari mulut ke mulut rakan seni dan krew produksi tentang saya. Mungkin dilokasi saya tak pernah timbulkan masalah, hormatkan semua orang dari pengarah hingga pekerja handy, mungkin mereka yang promote saya…mana tahukan.
“Begitu juga dengan bab bayaran. Nak kata saya tak berkira tentang bayaran tak jugak. Kalau bayaran rendah saya akan cakap… boleh tak up lagi bayaran. Kalau tak boleh cari orang lain dulu, kalau tak ada baru cari saya semula. Saya percaya bila orang call saya untuk sesuatu watak, mungkin mereka mengharapkan saya melakonkan watak tersebut…mungkin bersesuaian dengan saya.


“Mungkin mereka tak ada bajet tinggi. Paling senang pada saya mereka perlu berterus-terang. Tapi bajet tidaklah serendah dan teruk sangat bayarannya dan jauh daripada kadar harga yang saya tetapkan. Setakat hari ini, Alhamdulillah…kadang saya dapat lebih bayarannya.”
Menurut Khaty Azian lagi, untuk bertahan lama seseorang pelakon perlu mengekalkan disiplin kerja yang baik.

Untuk bertahan lama, selain disiplin, hubungan kita dengan orang sekeliling tempat berlakon juga perlu baik. Kita buat kerja kita dan cuba jangan campuri urusan orang lain. Selain itu bila ditawarkan sesuatu watak, saya akan cuba yang sebaik mungkin melakonkan watak yang diberikan. Mungkin itu yang buat saya masih mampu bertahan lama dalam industri lakonan ini.
“Walaupun berlakon bawah pengarah muda, namun saya tetap hormatkan mereka. Sebagai pelakon, saya hanya ikut apa yang pengarah dan produser kehendaki dan saya akan cuba melakukanya dengan sebaik mungkin. Bukan itu saja, sebagai pelakon kita perlu bertolak ansur dengan semua orang tak kira siapa mereka.


“Berlakon mungkin dah lebih 30 tahun lebih saya berada dalam industri dan bercakap mengenai watak, tak tahu watak apa yang saya inginkan lagi. Watak orang gila dah buat, watak sedih, watak kena dera dah buat, watak orang kaya baik dah buat, watak orang kampung jahat…rasanya saya dah pernah dapat semua watak-watak tersebut.”
Khaty Azian pelakon drama Dendam, Terima Aku Seadanya dan Setelah Terlafaznya Akad, anak kelahiran Negeri Sembilan ini menambah, “Selain bakat lakonan, usaha bersungguh-sungguh…seseorang pelakon itu juga perlu menghayati dan faham karakter yang diberikan.


“Sekarang ini pun saya masih lagi shooting. Kadang ada juga orang bertanya hingga bila saya nak berlakon. Jawaban saya senang saja, saya akan terus berlakon walaupun membawakan watak seorang nenek dan sehingga orang dah tak nakkan saya lagi.
“Dunia lakonan ini dah sebati dalam jiwa saya. Mungkin peringkat pertama dulu ketika menceburi bidang ini saya inginkan glamour, masuk peringkat kedua…kita nak duit… peringkat ketiga itulah yang ada dalam diri saya sekarang iaitu jiwa.


“Kalau tak berlakon tu saya akan rasa semacam. Badan rasa sakit, otak pun sakit jugak. Tapi bila dapat shooting memanglah kita akan rasa penat bila terpaksa keluar pagi ke lokasi dan balik pagi esoknya pula. Pada saya, bila kita seronok dengan kerja kita… Insya-Allah…Alhamdulillah semua berjalan lancar.”
Kini Khaty Azian sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bertajuk Epok terbitan RTM sebanyak 13 episod. Penggambaran di Bentong dan Selama, Perak ini diharap dapat menaikkan lagi taraf insan yang bisu dan pekak.


Selain sibuk dengan dunia lakonan, Khaty Azian juga sudah lama berjinak-jinak dengan bidang pengacaraan. Bagi menonjolkan bakatnya, Khaty Azian juga ada dua buah lagu yang dibuatnya secara suka-suka bagi memeriahkan upacara pembukaan sesuatu majlis menyanyikan lagu dari single pertamanya pada 2016, Blues Anjer dan Bahana Duit berduet dengan Nik Putra.
“Dah bertahun-tahun saya ikut karnival jualan sebagai pengacara majlis. Saya tak kisah, orang jemput acarakan majlis orang kahwin atau apa saja saya tetap akan lakukan tugasan tersebut. Sejajar dengan dunia Tik Tok sekarang ini, saya pun tak mahu ketinggalan zaman.

“Kini saya join team Bujang Terlajak Laris (BTL) dan gang-gang inilah yang mengajar saya berniagadi tik tok. Maklumlah kalau tak ada tawaran berlakon ada juga pendapatan lain. Selain meniaga di tik tok, kami juga buka booth di karnival. Selalunya sebahagian daripada hasil jualan akan kami peruntukkan untuk dana bantuan ke rumah anak-anak yatim, gelandangan dan macam-macam lagi.
Bila dah berumur ni..badan dah tak kuat…selain berlakon saya juga suka pada benda-benda hiburan seperti menghiburkan diri sendiri seperti jalan-jalan, bertemu kawan-kawan dan lain-lain lagi. Kami juga ada buat revieu untuk hotel, tempat pelancongan, homestay atau apa saja.


“Kalau tak berlakon, saya selalu dengan team BTL buat kerja-kerja amal dengan menyantuni golongan gelandangan, bagi bantuan pada rumah anak yatim dan banyak lagi aktiviti yang kami lakukan bersama. Kalau ada yang berminat nak menyumbang dan melakukan kerja amal ini silalah berjumpa dengan kami team BTL,” ujar Khaty Azian yang bangga dengan kebolehan gang-gangnya yang pandai buat poster, pandai memasak dan Hazran yang juga anak angkatnya juga sudah mempunyai lebih sejuta pengikut.
Khaty Azian merupakan ibu kepada enam orang anak, di mana empat orang anak bersama suami pertamanya, Zulkepli (meninggal) dan kini kesemuanya sudah berkahwin. Bersama suami keduanya, Azhar Mohd Yunus, 67, yang telah dikahwini sejak 36 tahun dahulu, kini mereka bahagia bersama dua anaknya Aznor Haiqal dan Melur Adrianna Sukma.

Selain drama, Khaty Azian juga pernah membintangi beberapa buah filem antaranya Salah Bapak (2006), Flat 3A, Budak Pailang, Lu, Gua, Bro! dan Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda.

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.