Oleh: Khadijah Ibrahim
PENYANYI dan komposer Faizal Tahir baru saja melancarkan album berjudul “Jati Diri” yang menampilkan beliau bekerjasama dengan rakan penerbit muda yang sedang meningkat naik iaitu Glowrush. Kedua-dua mereka bergerak sebagai duo ‘Let Zapin’.
Menurut Faizal, album “Jati Diri” bukan sekadar sebuah karya muzik, tetapi juga satu peringatan agar masyarakat tidak melupakan akar budaya dan identiti sendiri dalam arus globalisasi.

“Inspirasi utama saya adalah melihat betapa banyak jati diri kita yang semakin hilang. Saya mahu mengingatkan semua bahawa penting untuk kita memahami dan menghargai asal usul, budaya, dan agama kita agar kita tidak kehilangan arah,” jelas Faizal.
Malah untuk album ini juga, Faizal turut menampilkan dua figura hebat dalam industri muzik, Altimet dan Datuk M. Nasir, sebagai penyanyi undangan.

Jelasnya, pemilihan Altimet dan M.Nasir dibuat kerana pengaruh besar yang mereka miliki serta kebijaksanaan dalam menyampaikan mesej bermakna melalui karya masing-masing.
Malah katanya, dari segi susunan muzik dan lirik, “Jati Diri” berbeza daripada album-albumnya sebelum ini kerana ia lebih berakar kepada budaya dan warisan tempatan.
Untuk album ini, Faizal mengakui bahawa cabaran terbesar dalam proses rakaman adalah memastikan setiap elemen dalam album ini sejajar dengan visi dan mesej yang ingin disampaikan.

“Lagu “Orang Kampung” merupakan lagu pertama dari album ini yang akan dipromosikan dan ia adalah sebuah lagu yang ceria dan penuh semangat, meraikan keunikan serta nilai-nilai kehidupan di kampung.
“Dengan melodi yang rancak dan lirik yang menggambarkan keindahan budaya serta sikap mesra orang kampung, lagu ini membawa pendengar merasai kehangatan suasana desa. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi juga satu penghormatan kepada nilai-nilai dan semangat kebersamaan yang masih kuat dalam masyarakat kampung.
“Lagu ini sesuai untuk dinyanyikan bersama kerana “Orang Kampung” mengajak semua untuk menghargai asal-usul dan keindahan hidup sederhana yang penuh kebahagiaan.

“Saya berusaha menyampaikan mesej melalui muzik yang kreatif dan kontemporari tanpa mengorbankan nilai tradisional. Album ini menggabungkan elemen muzik tradisional dengan sentuhan moden agar kekal relevan di hati peminat muda,” katanya.
Video lirik “Orang Kampung” boleh ditonton di saluran YouTube Faizal Tahir dan album “Jati Diri” boleh didengari di semua platform penstriman digital.
Album ini dijangka membawa satu gelombang baharu dalam industri muzik tempatan dengan menampilkan gabungan identiti budaya, nilai tradisional dan mesej penuh makna.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.