Oleh: Khadijah Ibrahim
DI sebalik ancaman dari proliferasi muzik janaan kercerdasan buatan (AI), Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) tetap berdiri teguh dengan komitmennya untuk memupuk pertumbuhan pasaran muzik, memperkasa perlindungan hak cipta dan menyokong semua pengamal dalam ekosistem industri muzik tempatan.
Menurut Pengerusi RIM, Rosmin Hashim, pada tahun lalu persatuan tersebut berjaya melonjakkan industri muzik tempatan ke tahap tertinggi dalam sejarah.
RIM yang sentiasa berusaha untuk membangunkan industri muzik tempatan membuahkan hasil dengan pelbagai kejayaan membanggakan yang dicapai penggiat industri muzik tempatan pada tahun 2024.

Kata Rosmin, tahun lalu, pendapatan industri muzik tempatan meningkat 11.5% kepada RM339 juta daripada RM304 juta yang dicatat pada tahun sebelumnya dan merupakan pendapatan tertinggi dalam sejarah industri muzik tempatan.
“Tahun lalu membawa tuah kepada RIM kerana berjaya memecah rekod jumlah pendapatan tertinggi industri muzik tempatan sebelum ini sebanyak RM315 juta yang dicatat pada tahun 1996.
“Pencapaian luar biasa ini disumbang oleh peningkatan 14% dalam hasil pendapatan digital dan 7.6% peningkatan kutipan royalti tiga Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) muzik utama negara berbanding tahun sebelumnya,” jelasnya.
Katanya lagi, sepanjang 2024, RIM turut melaksanakan pelbagai aktiviti untuk pembangunan industri muzik tempatan dengan mengetengahkan lagu-lagu yang paling tinggi distrim di Malaysia dalam tiga bahasa utama melalui program ‘Carta RIM’ mingguan yang disiarkan di stesen-stesen radio Melayu, Inggeris dan Cina milik Astro Radio iaitu ERA, Hitz dan MY.

Program carta radio ini disiarkan kepada purata pendengar sebanyak 4,846,000 (ERA), 2,201,000 (HITZ) dan 2,355,000 (MY) setiap hari Sabtu dengan siaran ulangan pada hari berikutnya.
“RIM juga telah berjaya mendapat kerjasama stesen penyiar rasmi dalam penganjuran acara ‘Anugerah Industri Muzik’ edisi ke-24 (AIM24), acara anugerah berprestij yang dinanti-nantikan ramai yang bakal berlangsung pada tahun ini,” katanya.
Selain itu, Rosmin juga memberitahu RIM turut menggalakkan pelaburan dalam industri muzik tempatan, melindungi harta intelek ahli-ahli, penyerahan data relevan dalam pembentukan dasar kerajaan dan penggubalan undang-undang baharu berkaitan muzik serta pemberian bantuan kepada pemain industri muzik dalam kesusahan.
“Pihak RIM juga menjalin kerjasama rapat dengan kerajaan untuk melindungi kepentingan pemilik hak cipta RIM kekal proaktif dalam perhubungan dengan kementerian dan agensi kerajaan berkenaan untuk menggubal dasar dan undang-undang baharu yang menyokong pertumbuhan industri muzik tempatan.
“RIM turut mengadakan perbincangan dengan kementerian kerajaan yang berkaitan untuk meminda Akta Hak Cipta untuk melanjutkan tempoh perlindungan hak cipta karya lagu dan rakaman bunyi daripada 50 tahun ketika ini kepada piawaian antarabangsa baharu selama 70 tahun.

“Pihak kami juga turut mengawal selia penjanaan lagu menerusi AI bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), dengan mencadangkan penggubalan undang-undang baharu agar kebenaran pemilik hak cipta diperolehi dalam penggunaan lagu-lagu berhak cipta untuk melatih model janaan muzik menerusi kecerdasan buatan (AI),” katanya panjang lebar.
Dalam pada itu RIM juga tidak lepas pandang pada aktiviti cetak rompak yang berlaku dalam industri muzik tanah air. Bagi memastikan kegiatan tersebut tidak terus berleluasan, RIM bekerjasama dengan bahagian penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Antara langkah yang diambil adalah melindungi harta intelek ahli-ahli melalui penyingkiran penjual yang melanggar hak cipta di laman e-dagang popular dan serbuan ke atas premis perniagaan yang menggunakan atau memperdagangkan muzik berhak cipta tanpa lesen atau kebenaran pemilik hak cipta.
Di samping itu, RIM turut mengambil inisiatif penting melindungi hak ahli dengan merunding semula dan membuat pindaan yang diperlukan kepada perjanjian kerjasama berkaitan antara pemegang hak dan stesen penyiar.
Malah RIM turut melancar program amal ‘Sumbangan Rahmah Industri Muzik (SRIM) dan hingga kini telah memyalurkan bantuan kepada seramai 48 orang pengamal industri muzik tempatan yang terdiri daripada penyanyi, pemuzik, pencipta lagu, wartawan hiburan dan ramai lagi.

Sementara itu, RIM menjelaskan pada 2024, lagu tempatan yang paling tinggi distrim adalah lagu “Masing Masing”, nyanyian Ernie Zakri dan Ade Govinda. Manakala lagu antarabangsa paling tinggi distrim adalah lagu dendangan Lady Gaga dan Bruno Mars iaitu “Die With A Smile”.
Sementara itu, lagu Cina tempatan paling tinggi distrim pula dinyanyikan oleh DIOR dan Firdhaus yang juga merupakan artis Cina tempatan yang paling tinggi distrim. Manakala, kumpulan Insomniacks pula menjadi artis tempatan paling tinggi distrim dan artis antarabangsa pula milik Taylor Swift.
RIM turut menghargai kejayaan penyanyi-penyanyi Malaysia yang meraih kejayaan di luar negara seperti Ernie Zakri yang menerima Anugerah Soundtrack Sinetron Paling Ngetop (OST) di Anugerah SCTV di Indonesia menerusi “Masing Masing”.
Turut mengharum nama negara ialah Hael Husaini yang memenangi Anugerah ‘Lagu Tema Terbaik’ di Asia Academy Creative Awards 2024. Penyanyi Shila Amzah pula berjaya menjadi finalis program ‘Singing with Legends’ di negara China manakala kumpulan Dolla terpilih mewakili Malaysia dalam program realiti ‘Show It All’ juga di negara yang sama.
Firdhaus Farmizi menempa kejayaan dalam industri Mandopop menerusi duetnya bersama DIOR, “Divorce in Ghana” yang melepasi 17 juta aliran di Spotify. Manakala, Azora Chin (You Zhangjing) berjaya menang tempat pertama dalam program ‘Call Me by Fire’ oleh Mango TV di China, menjadi pemenang paling muda dalam sejarah rancangan itu.
Pada masa yang sama, Jeryl Lee memenangi tempat kedua dalam pertandingan nyanyian realiti TV China, ‘The Next Singer’ untuk tahun 2024. Chandhine Kaur dan Arulini Ashwiinaa Arumugam berjaya menjadi finalis dalam dua rancangan realiti berasingan di Zee TV dari India, manakala Zubir Khan mendapat perhatian antarabangsa untuk hit viralnya, “Yennode Macha” yang mencapai lebih 17 juta tontonan di YouTube.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.