Oleh: Khadijah Ibrahim
POPULARITI pelakon jelita Fasha Sandha membuatkan banyak pihak yang mahu beliau menjadi duta jenama mereka. Pemegang watak Datin Safieya dalam drama “Rampas Cintaku” bagaimanapun tidak mudah gelap mata, meskipun ditawar dengan jumlah yang besar.
Bagi Fasha atau Nur Fasha Sandha Hassan, 41, beliau lebih mengutamakan komitmen dan keserasian dalam setiap projek yang diberikan kepadanya.
Jelas ibu kepada Putra Rayfal Ramli Rizal Ashram, Putri Rasyha Jemyma dan Aisha Amaira, beliau sebenarnya selesa bekerjasama dengan jenama fesyen Alfaro sejak 2023.

“Alhamdulillah, rezeki masih berpihak kepada saya. Tahun ini sekali lagi saya menjadi duta Alfaro dan ini adalah tahun ketiga bersama mereka.
“Setiap tahun menjelang raya saya dan seluruh keluarga akan memakai pakaian dari Alfaro kerana kami sukakan material fabrik yang berkualiti dan paling penting selesa, bagi rekaan pula ada pelbagai yang mejadi pilihan mengikut cita rasa masing-masing.
“Bohonglah kalau saya kata tak ada tawaran daripada pihak lain tapi saya tetap setia dengan Alfaro. Menjadi duta sesuatu produk bukan setakat jual muka saja tapi kita kena jujur apabila diberi tanggungjawab.

“Saya pakai baju keluaran Alfaro bukan sebab saya sebagai duta semata-mata tapi kerana saya memang suka dengan kualiti pakaian yang dihasilkan kerana ia mengambil kira pelbagai sudut. Sebab itu saya masih setia dengan Alfaro.
“Lagipun harganya juga tidak terlalu mahal dan ramai orang mampu untuk memilikinya. Kita bayar untuk sesuatu yang berkualiti dan berbaloi untuk dimiliki,” kata Fasha terus terang.
Sementara itu, pengasas Alfaro, Farooq Ahmad, menjelaskan kenapa pihaknya terus mengekalkan Fasha sebagai duta mereka untuk tahun ketiga kerana yakin pelakon tersebut mampu memberikan impak besar kepada jenama tersebut.

“Sejak dari tahun pertama pelantikannya, Alfaro semakin dikenali dan jualan koleksi terutamanya pada musim perayaan mendapat lonjakan lebih tiga kali ganda.
“Fasha ni jenis orang yang komited pada kerja dan tahu tanggungjawabnya. Dia sentiasa dapat meluangkan masanya untuk aktiviti yang kami aturkan terutama program CSR sepanjang bulan puasa,” katanya.
Untuk pasaran tahun ini, Alfaro menawarkan koleksi pakaian yang diinspirasikan oleh komitmen dalam menawarkan fabrik berkualiti tinggi yang melambangkan keperincian jahitan yang terbaik dan reka bentuk yang penuh inovasi.

Jelas Farooq, untuk tahun ini koleksi yang diperkenalkan adalah gabungan abaya Arab yang elegan dengan pakaian tradisional Melayu.
“Gandingan abaya Arab dan pakaian tradisional Melayu ini menghasilkan satu padanan yang penuh gaya serta sentuhan moden. Keunikan koleksi ini dapat dilihat pada pemilihan fabrik yang berkualiti tinggi dan ketelitian dalam setiap jahitan,” katanya mengenai jenama yang sudah 18 tahun berada di pasaran itu.
Pada tahun lalu, jenama Alfaro dianugerahkan pengiktirafan ISO 9001 bagi pengurusan kualiti dan secara tak langsung pencapaian tersebut mengesahkan dedikasi mereka dalam memastikan setiap produk yang dihasilkan memenuhi piawaian tertinggi.
Dalam koleksi Raya 2025 ini, Alfaro telah memastikan rekaannya mampu memenuhi pelbagai keperluan pelanggan dari pelbagai latar belakang dan peringkat umur. Koleksi ini menawarkan gaya yang lebih elegan untuk semua serta pilihan pakaian yang inklusif untuk pelanggan dengan saiz lebih besar.

Menariknya, setiap reka bentuk disusun dengan tema yang konsisten, memastikan gabungan warna yang serasi serta reka bentuk yang dapat memenuhi cita rasa dan kehendak pelanggan yang berbeza.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Alfaro, Muhammad Irfan, memberitahu, untuk kali ini Alfaro turut memperkenalkan beberapa inovasi dalam penggunaan fabrik dan teknik jahitan dalam koleksi raya tahun ini.
“Fabrik yang digunakan adalah pilihan premium yang dipilih dengan teliti untuk memastikan kualiti yang terbaik. Di samping itu, teknik jahitan yang canggih dan teliti digunakan oleh tukang jahit yang berkemahiran tinggi di luar negara, menghasilkan rekaan yang bukan sahaja menarik tetapi juga tahan lama dan selesa dipakai.
“Bagi memudahkan pelanggan mendapatkan koleksi ini, Alfaro menyediakan hampir lapan cawangan di seluruh Malaysia, termasuk di Bangi, Shah Alam, Kuala Lumpur, Johor Bahru, dan Ipoh,” katanya.

Bagi memudahkan pelanggan, pembelian koleksi pakaian Alfaro juga boleh dibeli secara dalam talian melalui platform seperti TikTok, Lazada, Shopee, dan laman web rasmi Alfaro.
Harga yang ditawarkan oleh Alfaro sangat berpatutan, menjadikannya pilihan yang tepat untuk gaya raya pelanggan. Jenama ini juga memberikan penekanan kepada kepuasan pelanggan dengan menawarkan aplikasi kesetiaan yang membolehkan pelanggan menikmati pelbagai manfaat serta pilihan pembayaran yang fleksibel melalui Shopee PayLater, yang turut disertakan dengan potongan harga menarik.
Strategi ini membuktikan komitmen Alfaro dalam memberikan nilai terbaik kepada pelanggan mereka. Dengan visi yang jelas, Alfaro bertekad untuk terus menghasilkan rekaan yang unik dan berkualiti tinggi, khususnya pada tahun ini bagi memenuhi kehendak pelanggan dan sentiasa bersaing secara sihat dengan jenama-jenama lain di pasaran.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.