Ain Edruce dan Sherry AlHadad bersatu suara dalam lagu "Balik Kampung...Gosip Raya".

Oleh: Khadijah Ibrahim

SELALU kita tengok Ain Edruce, 34, dan Sherry Alhadad, 41, asyik berceloteh sahaja kerana tugasan mereka sebagai hos program. Mereka juga pernah digandingkan sebagai pengacara dalam beberapa program sebelum ini.

Namun untuk berkolaborasi sebagai penyanyi dalam sebuah lagu adalah kali pertama kedua-dua pengacara tersebut disatukan. Kerjasama antara mereka yang terkenal dengan ‘mulut bising’ itu dilaksanakan oleh pihak Sony Music.

Menurut Sherry, beliau tidak berfikir lama apabila pihak Sony menyatakan untuk mengeluarkan sebuah lagu raya. Tawaran yang diberikan kepadanya itu ibarat orang mengantuk disurung bantal.

Lagu raya dendangan Ain dan Sherry ini dipersembahkan dengan gaya santai.

“Sony Music hadir menyatakan hasrat mereka tentang sebuah lagu raya, pertama kali mendengarnya terus saya katakan ‘Yes!’ Tanpa berfikir panjang, saya pun terus setuju, begitu juga dengan Ain, dan semuanya siap dalam masa sebulan,” kongsi Sherry yang nama penuhnya Sharifah Ferry Mariam Sri Karisma Syed Abdullah AlHadad.

Tambah Ain atau Nurulain Edruce pula, beliau tidak ragu-ragu untuk berkolaborasi dengan Sherry kerana mereka sudah saling mengenali antara satu sama lain.

“Ini bukanlah kali pertama kami bergabung, tetapi kali pertama dalam sebuah lagu. Sebelum ini pun kami pernah bekerjasama beberapa kali dalam pelbagai program, dan sudah mengenali di antara satu sama lain. Bayangkan, kalau di set pun kami sudah ‘havoc’, apatah lagi dalam studio rakaman,” katanya.

Lagu “Balik Kampung…Gosip Raya” adalah ciptaan Eugene Lai, Ja’a, Karazey dan Wan Adam Kelly, manakala liriknya pula adalah gabungan daripada Adam Armin, Adly Kiddy, Eugene Lai, Fatto, Ja’a dan Yusuff Khan.

Pertama kali bergandingan dalam sebuah lagu raya.

“Balik Kampung…Gosip Raya” bukan sekadar lagu raya yang ‘biasa-biasa’, tetapi penuh dengan kisah realiti yang pasti mencuit hati. Ia adalah sebahagian daripada kisah lucu yang boleh dikaitkan, dan penuh drama tentang salah satu tradisi raya yang paling dikenali dan menyeronokkan iaitu berkongsi cerita dan berbalas gurauan perayaan.

Menurut Ain, proses rakaman bukan sahaja mudah, bahkan menyeronokkan kerana masing-masing cukup sinonim dengan gaya selamba dan humor.

“Kami berdua bukannya penyanyi profesional, jadi setiap kali selesai rakaman, pasti ada sesi gelak ketawa. Kadang-kadang sampai susah untuk diteruskan kerana kami ketawa terlampau lama,” katanya.

Sherry pula menambah, setiap kali selesai rakaman mereka seperti tidak percaya apabila mendengar suara sendiri.

“Paling lucu, apabila kami mendengar semula rakaman suara, kami sendiri tidak boleh bezakan! ‘Ini suara Ain atau saya?’ Sehingga perlu bertanya pada komposer untuk pastikan. Nasib baik ada Afif Tirmizie yang membantu di studio rakaman, kalau tidak… ‘kelautlah’ lagu ini,” katanya ketawa.

Untuk video muzik lagu ini, pihak Sony Music bekerjasama dengan AEON Malaysia.

Ain dan Sherry berharap “Balik Kampung…Gosip Raya” akan menjadi lagu wajib dalam senarai putar Aidilfitri pada tahun ini kerana perbualan raya, mereka dalam lagu tersebut mencerminkan realiti perbualan raya apabila bertemu dengan sahabat handai atau saudara mara.

Dengan lirik yang santai serta melodinya yang mudah diingati, Ain dan Sherry berjaya menyampaikan mesej tentang budaya bersembang tatkala sambutan Hari Raya dengan cara yang paling menghiburkan.

“Kami mahukan semua yang mendengar lagu ini akan terhibur, dan kalau boleh nyanyikan bersama-sama ketika dalam perjalanan pulang ke kampung. Pastinya akan lebih meriah,” kata Ain yang pernah menghasilkan single berjudul “Overthink” bersama dengan personaliti YouTube Akwa Ariffin pada Januari 2020.

Sherry juga berharap lagu yang menggabungkan elemen tradisional dengan susunan muzik moden yang segar dan ‘catchy’ itu bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi sebagai peringatan kepada orang ramai.

Ain pernah menghasilkan single berjudul “Overthink” sebelum ini.

“Saya berharap lagu ini bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi sebagai ‘wake-up call’. Bukankah lebih baik kalau kita fokus pada menikmati hidangan raya daripada sibuk bergosip tentang orang lain? Jadi, kalau tidak mahu menjadi bahan gosip, eloklah dengarkan lagu ini dan ambil iktibar,” katanya.

“Balik Kampung…Gosip Raya” dilancarkan sebelum Ramadan kerana mahu memberi masa yang cukup kepada pendengar untuk menghafal lirik dan bersedia untuk sesi karaoke paling epik dalam perjalanan pulang ke kampung.

Untuk video muzik “Balik Kampung…Gosip Raya” Sony Music Entertainment Malaysia telah bekerjasama dengan AEON Malaysia yang menampilkan tema “Seloka Raya – Dari Dulu Hingga Kini”.

Kerjasama ini menonjolkan komitmen AEON dalam meraikan tradisi raya yang abadi melalui keindahan fesyen raya. Dari baju kurung elegan dan kebaya berwarna-warni hingga kaftan kontemporari dan siluet moden, koleksi raya AEON menggambarkan semangat nostalgia yang dipadukan dengan keceriaan perayaan.

Ketua Pegawai Dagangan dan Pemasaran AEON Malaysia, Low Ngai Yuen berkata, pihak AEON memilih untuk bekerjasama dengan Sony Music Malaysia kerana keupayaan mereka menggabungkan budaya dengan muzik kontemporari secara kreatif.

Bakat nyanyian Sherry sudah terserlah setiap kali mengacara program’ Gegar Vaganza’.

“Keunikan Sony dalam menghasilkan muzik yang merentasi generasi selari dengan tema Raya AEON tahun ini: ‘Seloka Raya – Dari Dulu Hingga Kini.’ Istilah ‘Seloka’ melambangkan penceritaan yang santai dan bersahaja iaitu pertukaran kata yang bijak, puitis, serta lucu dan kehangatan, persis lagu “Balik Kampung…Gosip Raya” nyanyian Sherry dan Ain.

“Kerjasama ini mengingatkan kita bahawa walaupun zaman berubah daripada trend, gaya, hingga cara kita menyambut raya, intipati perayaan tetap sama iaitu berkongsi kegembiraan dan mencipta kenangan bersama insan tersayang,” katanya yang berharap lagu tersebut dapat membangkitkan semangat kebersamaan yang segar dalam kalangan rakyat Malaysia pada musim raya ini.

“Lagu “Balik Kampung…Gosip Raya” juga mentakrifkan semula maksud ‘gosip’ iaitu bukan sekadar berbual kosong, tetapi sebuah perkongsian cerita, tawa, dan perkembangan hidup yang mengeratkan hubungan serta mencipta kegembiraan bersama. Ia tentang meraikan hubungan antara keluarga dan sahabat, merentasi generasi lama dan baharu.

Selain Ain dan Sherry, video muzik lagu ini turut menampilkan Hafiz Hamidun, Vanessa Reynauld, Adrianna Cinta dan bintang hip hop terkenal, Kidd Santhe bagi memeriahkan suasana.

Previous articleKeyakinan Diri!
Next articleMarsha Milan, Velvet Aduk kembali dengan “Lintah Darat”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here