Amar tak sangka gurauannya untuk menyanyi bersama Jamal Abdillah dipersetujui oleh penyanyi legenda tersebut.

Oleh: Khadijah Ibrahim

PELAWAAN Amar Amran untuk mengajak penyanyi terkenal, Dato’ Jamal Abdillah berduet bersama, rupa-rupanya tidak dipersiakan oleh Raja Pop Malaysia itu.

Menurut Amar yang merupakan usahawan pakaian baju Melayu dan baju Kurung untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak dalam pelbagai rekaan dan saiz itu, persetujuan Jamal sedikit sebanyak memberi tekanan kepadanya.

“Asalnya gurau saja sebab saya dengan Dato’ Jamal berkawan baik dan juga rakan niaga. Tak sangka pula dia okey dengan pelawaan saya itu. Awalnya saya khuatir juga kalau saya akan merosakkan lagu ini.

Mendapat galakan daripada Jamal Abdillah supaya terus berkarya dalam bidang seni suara.

“Tapi Dato Jamal menyakinkan saya boleh menyanyi dan sehinggalah selesai rakaman dia mengesahkan suara saya okey. Bagi saya Dato’ Jamal seorang yang sangat profesional dan saya selesa bekerjasama dengan dia,” kata Amar.

Tambahnya lagi, beliau sendiri yang meminta komposer Apak Harry Khalifah untuk hasilkan lagu “Raya Sehati Sedondon” untuk mereka selepas dicadangkan oleh Jamal. Manakala lirik pula ditulis oleh Ajim Maze dan Amar Amran sendiri.

“Alhamdulillah, urusan saya sewaktu menghubungi Apak dipermudahkan. Sebenarnya, saya pun suka dengan lagu-lagu Apak kerana kena dengan cita rasa saya.

Lagu “Raya Sehati Sedondon” dendangan Amar dan Jamal Abdillah dicipta khas oleh Apak Harry Khalifah.

“Untuk lagu “Raya Sehati Sedondon” ini Apak ambil masa berbulan juga untuk menghasikan lagu ini kerana dia begitu teliti. Mungkin sebab lagu ini akan dinyanyikan oleh penyanyi legenda.

“Bila dah siap lagu ni memang tidak mengecewakan. Bagi saya, lagu ini sungguh indah melodi dan liriknya. Terasa mood dan vibe raya. Bila menyanyi auto rasa happy dan lagu ini benar-benar membangkitkan kemeriahan raya dan merasai suasana Aidilfitri,” katanya yang puas hati dengan hasil kerja Apak Harry itu.

Sebagai pendatang baharu dalam bidang seni suara, Amar tidak gentar jika ada yang mendakwa beliau menumpang populariti Jamal. Baginya, beliau menyanyi lebih kepada untuk berkarya dan menyampaikan mesej yang baik kepada masyarakat.

“Bagi saya tiada istilah menumpang populariti rakan duet kerana saya tidak pernah berniat atau berhasrat untuk menjadi popular. Sebenarnya, saya adalah seorang yang introvert kerana saya rasa kehidupan yang popular akan menjadikan saya hilang privasi. Mencari populariti bukan tujuan saya.

Amar Amran adalah pemilik Butik Amar Amran yang mempunyai cawangan termasuk di Thailand.

“Biar orang lebih mengenali lagu saya berbanding diri saya. Lagu ini lebih cepat popular kerana duet dengan Dato’ Jamal dan itu memang tidak dapat dinafikan. Aura dan populariti Dato’ Jamal semestinya memberikan impak yang besar kepada lagu “Raya Sehati Sedondon”,” akuinya.

Meskipun tidak mempunyai latar belakang dalam bidang seni dan menghadiri mana-mana kelas vokal, bakat Amar turut mengejutkan insan-insan yang rapat dengannya.

“Bila saya menyanyi dan membuat rakaman lagu ini, orang-orang yang rapat dan mengenali saya terkejut. Selama ini, menyanyi bukan kebiasaan dalam kehidupan saya. Kawan hairan dan ahli keluarga lagi merasa hairan kerana di rumah saya tidak menyanyi.

“Semasa rakaman lagu ni lebih kurang dua jam saya dibimbing oleh Apak yang banyak membantu. Bila sudah berjaya mencabar diri, rasa nak cuba terokai lagi bidang ini. Insya-Allah kalau tak ada aral melintang saya akan keluarkan single lagi.

Bagi Amar, seni fesyen dan seni suara saling berkait.

“Saya ingin mengisi kehidupan saya dengan perkara-perkara yang mencabar. Saya akan teruskan berkarya melalui baju dan lagu selama ianya tidak memudaratkan orang lain. Lagu adalah satu seni yang mewarnai kehidupan.

“Malah Dato’ Jamal selepas siap rakaman lagu ini memberikan komen yang positif dan menggalakkan saya untuk menyanyi dengan serius dan membuat album,” katanya.

Amar yang mempunyai 11 cawangan butik Amar Amran yang terletak di Shah Alam, Bangi, Isetan Suria KLCC, SOGO KL, Kota Bharu, Mayang Mall Kuala Terengganu, Dataran Austin Terengganu, Kuantan, Pattani, Narathiwat dan Yala, Thailand itu berkata, menerusi nyanyian beliau mengambil pendekatan untuk menyebarluaskan lagi konsep pemakaian baju raya sedondon.

Jenama Amar Amran yang sinonim dengan tagline ‘Sehati Sedondon’ dan juga boleh dibeli menerusi www.amaramran.my itu, mengakui menerusi lagu beliau mahu menyampaikan mesej kepada pengguna dan sekali gus menghibur.

Amar mahu berkongsi rezeki dengan orang ramai.

“Saya bukan menjual baju semata-mata tetapi mempromosi nilai kekeluargaan dan persaudaraan melalui pemakaian sedondon yang sinonim dengan tagline ‘Sehati Sedondon’.

“Bagi saya baju dan lagu adalah cara saya berkarya untuk memberi manfaat kepada semua kerana seni fesyen dan seni suara saling bersama,” jelasnya antara sebab kenapa beliau tampil dengan single “Raya Sehati Sedondon”.

Beliau turut mengharapkan lagu yang mendapat komen positif daripada orang ramai itu menjadi satu karya seni kepada industri muzik. Selain itu, muzik video “Raya Sehati Sedondon” yang dimuat naik di saluran YouTube, Amar Amran Channel sejak 14 Februari lalu mendapat lebih 60,000 tontonan.

Sempena lagu ini juga, Amar mahu berkongsi rezeki bersama penggemar lagu “Raya Sehati Sedondon” dengan menawarkan hadiah bernilai RM10,000.

Caranya mudah saja, mana-mana peserta lelaki atau wanita yang berumur 15 tahun ke atas layak untuk menyertai Pertandingan Cover Lagu “Raya Sehati Sedondon” yang bermula sejak 25 Februari lalu.

Apak Harry Khalifah dan Eddie Hamid adalah juri yang akan menentukan juara untuk pertandingan cover lagu “Raya Sehati Sedondon”.

Mahu menyanyi secara solo atau berduet berdasarkan minus one lagu tersebut yang tersedia di YouTube Amar Amran Channel iaitu https://bit.ly/AmarAmranChannel. Kemudian muat naik video nyanyian anda itu di TikTok masing-masing dengan hastag #RayaSehatiSedondon dan tag kepada @amaramran.my & @amar.amran

Jika video perkongsian anda itu mendapat Like atau FYP tertinggi, anda akan dipanggil untuk menyanyi secara langsung di pertandingan akhir yang akan ditetapkan kelak. Peserta akan diadili oleh juri profesional iaitu Apak Harry Khalifah dan Eddie Hamid serta undian online.

Selain suara yang dinilai, peserta perlu menitikberatkan juga soal gaya persembahan dan koreografi serta penampilan menarik, diikuti dengan view dan like tertinggi.

Juara pertandingan ini akan menerima hadiah bernilai RM5,000 iaitu duit raya RM3,000 beserta baju raya Amar Amran yang bernilai RM2,000. Tempat kedua pula akan menerima duit raya bernilai RM1,000 dan pakaian koleksi Amar Amran bernilai RM1,000, sementara tempat ketiga pula akan diberi wang tunai RM500 bersama pakaian bernilai RM500. Untuk pemenang keempat hingga ke-10, masing-masing akan mendapat baju raya bernilai RM300.

Untuk keterangan lanjut sila ikuti TikTok dan Instagram @amaramran.my dan @amar.amran

Previous article“Hey U” gandingan Kat Roshan bersama Adam E
Next articleAaron Aziz Terharu Terima Anugerah DPDDM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here