"Sebulan Raya" merupakan lagu raya pertama Bunga.

Oleh: Khadijah Ibrahim

SELEPAS enam tahun membabitkan diri dalam bidang seni suara, tahun ini baru Bunga berpeluang merakam lagu raya pertama yang berjudul “Sebulan Raya”.

Menurut Bunga atau Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari, 25, lagu “Sebulan Raya” penuh makna bagi dirinya kerana penghasilan lagu tersebut dilakukan dalam masa yang singkat. Paling menggembirakan beliau berpeluang bekerja dengan ramai pihak dalam menjayakan lagu raya tersebut.

Bunga mahu tampilkan suasana beraya di kampung untuk video muzik lagu tersebut.

“Saya rasa sungguh beruntung kerana dapat bekerjasama dengan abang Edry Abdul Halim yang bertindak selaku pencipta lagu ini. Memang ini antara kerjasama perdana yang sangat menarik sepanjang saya bergelar anak seni sejak 2019.

“Semuanya berlaku secara tidak sengaja apabila saya menghadiri acara Muzikal Lawak Superstar tahun lalu. Ketika itu lagu “Magika” yang merupakan runut bunyi filem “Magika” diperdengarkan dan sangat menarik perhatian saya.

Penggambaran untuk video muzik “Raya Sebulan” dilakukan di Sekinchan, Kuala Selangor.

“Dari situlah tercetusnya idea untuk menghasilkan sebuah naskhah baharu yang mempunyai ‘vibe’ seperti kebanyakan runut bunyi filem “Magika” yang ditayangkan kepada umum pada 2010.

“Bila mendengarkan sahaja lagu tersebut, saya teringatkan kemeriahan filem berkenaan memandangkan itu merupakan kenangan waktu kecil. Jadi saya jumpa abang Edry dan minta dia buat naskhah baharu,” kongsi Bunga.

Meriah apabila beraya dengan sanak saudara di kampung.

Bunga yang merupakan isteri kepada komposer dan penulis lirik Amzar Sabri sejak Oktober 2023 menjelaskan, banyak perkara yang beliau bincangkan dengan Edry sewaktu perjumpaan.

“Banyak perkara yang kami bincangkan bila berjumpa. Dia ada beri beberapa ‘beat’ untuk dipilih dan beri saya kebebasan untuk menambah baik karya berkenaan termasuklah memberikan idea kepada lirik dan sebagainya.

Raya kali ini lebih meriah kerana Bunga sudah bersuami.

“Ini antara pengalaman paling berharga buat saya kerana dapat bekerjasama dengan komposer yang sudah berpengalaman luas,” kata penyanyi yang popular dengan lagu “Intan Payung” ini lagi.

Bercerita mengenai video muzik (MV) pula, Bunga memberitahu untuk menampakkan suasana berhari raya bersama keluarga di kampung, penggambaran dilakukan di beberapa lokasi di Sekinchan, Kuala Selangor.

Bunga bakal mengeluarkan album penuh tidak lama lagi.

Jelasnya, sejak mula tercetusnya perancangan untuk merakamkan lagu tersebut, pelbagai idea sudah mula difikirkan olehnya untuk ‘dibawa masuk’ ke dalam MV ini selain menggunakan khidmat pasukan produksi berpengalaman.

“Ada beberapa idea saya beri dan mereka realisasikan dengan baik. Bagi saya ini adalah proses penting untuk memasukan hasilnya menggembirakan hati semua pihak termasuk peminat.

Bunga terharu, Edry KRU sudi mencipta lagu untuknya.

“Apa yang boleh saya katakan, memang MV kali ini meriah dan penuh dengan kejutan. Saya harap semua pendengar akan berpuas hati dan gembira menyambut kedatangan Syawal kali ini,” katanya yang bakal mengeluarkan album penuh tidak lama lagi.

“Sebulan Raya” yang diterbitkan oleh Warner Music Malaysia itu sudah dimuat naik secara rasmi di semua platform digital sejak 28 Februari lalu. Manakala MV single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran khas YouTube Warner Music Malaysia.

Previous articleIjmal Cinta Ramadan bersama artis terkenal
Next articleThai Charoen Seafood rai anak-anak yatim

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here