Gandingan Daiyan Trisha bersama Alfie Zumi dalam lagu "Jom Raya".
Oleh: Khadijah Ibrahim
SEMAKIN hampir Syawal menjelma, banyak pula lagu raya yang dikeluarkan bagi menyeri kemeriahan Aidilfitri. Malah ada di antara penyanyi yang pertama kali tampil dengan lagu raya dan peluang itu pasti menggembirakan mereka.
Antara artis yang pertama kali merakam lagu raya ialah penyanyi dan pelakon Daiyan Trisha, 31, yang tampil dengan single berjudul “Jom Raya” berkolaborasi dengan Alfie Zumi.
Daiyan Trisha teruja kerana mempunyai lagu raya sendiri.

Jelas Daiyan, beliau sangat teruja kerana impian untuk mempunyai lagu raya sendiri tercapai walaupun terpaksa melalui beberapa dugaan.

“Lagu “Jom Raya” sebenarnya sudah disiapkan setahun yang lalu namun tidak sempat melalui proses rakaman ketika itu. Bila dapat keluarkan tahun ini, sudah tentu saya rasa lega dan bersyukur.
“Sebenarnya lagu ini sudah pun separuh jalan disiapkan pada tahun lalu tetapi disebabkan kekangan masa, saya tangguh dahulu. Tahun ini saya hanya membuat beberapa penambahbaikan dan terus merakamkan “Jom Raya”. Rasanya ini antara projek paling mudah dan paling seronok untuk dihasilkan,” kata pelakon yang popular dengan drama ‘Projek High Council’.
Lagu raya ini dihasilkan memgikut situasi sekarang.

Daiyan bukan setakat menyanyi lagu tersebut, tapi turut bertindak sebagai komposer dan penulis lirik bersama dengan Glowrush dan Efry Arwis.

Ujar Daiyan, kerjasama antaranya dengan Glowrush dan Efry Arwis begitu baik kerana masing-masing sudah faham kehendak dan sedikit sebanyak memudahkan lagu proses produksi.
Idea untuk menghasilkan “Jom Raya” tercetus melalui pemerhatiannya kepada segelintir pengguna media sosial yang suka kepada ‘pick up line’ dan sering menggunakannya dalam kehidupan seharian.
Abu Hsvil bertanggungjawab sebagai pengarah video muzik untuk lagu “Jom Raya”.

“Saya perhatikan ramai antara mereka suka beri ‘pick up line’ berkaitan dengan jodoh di media sosial setiap kali tibanya lebaran. Saya selalu sahaja nampak ayat-ayat tersebut digunakan dan ia sangat menarik perhatian.

“Disebabkan itulah saya mahu realisasikan “Jom Raya” ini dengan menggunakan patah perkataan yang menarik. Saya mahu hasilkan sebuah lagu raya yang mengandungi ‘pick up line’ dan disukai oleh semua pendengar,” jelasnya lagi.
Bercerita mengenai gandingan bersama Alfie Zumi pula, mereka sebenarnya ada membuat perancangan untuk berduet dalam naskhah lain pada masa akan datang.
Namun, Daiyan mahukan Alfie bersama-sama dalam “Jom Raya” memandangkan kena dengan konsep dan tema ‘pick up line’ yang menjadi tema utama lagu ini.
Memilih rumah moden sebagai set lokasi untuk video muzik “Jom Raya”.
“Sebenarnya lagu ini ada dua versi termasuklah versi solo. Bagi saya kedua-dua versi mempunyai keistimewaan tersendiri dan pendengar boleh menikmati mana-mana versi yang mereka suka. Untuk “Jom Raya” versi solo, saya akan lancarkan pada 21 Mac ini di semua platform digital.
“Lagu “Jom Raya” merupakan gabungan antara ‘vibe’ moden dan tradisional. Kita cuba untuk penuhi selera semua pendengar dan saya harap mereka berpuas hati,” tambah Daiyan lagi.
Bagi mereka yang sudah menonton keseluruhan video muzik (MV) pasti akan merasai ‘vibe’ yang sedikit berbeza. Jika kebanyakan penyanyi lain memilih kemeriahan suasana kampung yang penuh warna warni, Daiyan pula sebaliknya.
Memilih rumah moden yang ada di tengah bandar sebagai lokasi utama, Daiyan mahu realistik dan menganggap inilah situasi yang sedang dilalui oleh kebanyakan daripada kita semua.
Turut menulis lirik bersama Glowrush dan Efry Arwis.

“Saya mahu mereka tonton dahulu MV ini dan nilaikan kemudian. Pasti ramai di antara kita boleh merasinya,” tambah Daiyan yang menggunakan khidmat Abu Hsvii sebagai pengarah MV tersebut.

Kasih Leona dan Jazmy Juma turut membintangi dalam video muzik ini, menjadikan jalan cerita lebih menarik dengan elemen keakraban dan kemesraan sempena Syawal.
“Jom Raya” sudah dilancarkan secara rasmi pada 28 Februari lalu dan MV pula boleh ditonton melalui saluran YouTube Daiyan Trisha.
Dengan pelancaran “Jom Raya”, Daiyan Trisha sekali lagi membuktikan keunikan seninya dalam mencipta karya yang dekat di hati peminat.
Previous articleTahniah…Rozita Ramelan Antara 10 𝗨𝘀𝗮𝗵𝗮𝘄𝗮𝗻 𝗪𝗮𝗻𝗶𝘁𝗮 𝗛𝗲𝗯𝗮𝘁 Di 𝗛𝗜𝗣!
Next articleSet Talam Istimewa Ramadan Restoran Rasa Rosz gamit memori berbuka bersama keluarga

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here