Oleh: Khadijah Ibrahim
SELARI dengan visi VFive Group yang sering membantu dan berkongsi rezeki dengan masyarakat yang memerlukan, oraganisasi Bumiputera itu setiap tahun tidak pernah lupa untuk menyantuni mereka yang memerlukan bantuan.
Sempena bulan Ramadan tahun ini, VFive terus komited memperkasakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan usaha untuk meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik.

Antara program yang dilaksanakan termasuklah sumbangan 750 pek makanan iftar harian, sumbangan baju raya percuma kepada anak-anak yatim, program singgah sahur, tajaan menunaikan umrah di bulan Ramadan, edaran bubur lambuk percuma dan pelbagai lagi bantuan kebajikan kepada masjid, surau, pusat-pusat Tahfiz serta institusi pendidikan.
Inisiatif-inisiatif berkenaan dilaksanakan oleh Yayasan VFive yang turut melibatkan kerjasama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta pelbagai institusi masjid, surau, madrasah Tahfiz dan seumpamanya di sekitar Lembah Klang.

Bukan sahaja di dalam negara, sumbangan kebajikan ini turut disalurkan kepada masyarakat Islam di luar negara menerusi program infaq iftar di Masjidil Haram, Madinah dan Indonesia.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Pengasas VFive Group, Datuk Mohd Syafiq Abdullah berkata, segala inisiatif CSR yang dirangka adalah bermatlamat mengurangkan bebanan golongan yang memerlukan agar sinar Ramadan dapat sama-sama dinikmati.
“Kehadiran Ramadan sebagaimana kita semua sedia maklum adalah sarat dengan kemuliaan dan keberkatan. Justeru amat rugi jika kita tidak mengimarahkannya dengan melakukan amal kebajikan yang memberi manfaat kepada Masyarakat.

“Ini juga adalah selari dengan visi VFive Group selaku organisasi Bumiputera untuk membantu dan sama-sama berkongsi rezeki dengan seramai mungkin masyarakat yang memerlukan.
“Insya-Allah, segala usaha kebajikan ini akan kita perluaskan lagi dari semasa ke semasa,” katanya di Majlis Iftar Perdana 2025 di Grand Barakah Hotel, baru-baru ini.
Majlis Iftar Perdana 2025 yang dianjurkan oleh VFive Group berkenaan merupakan wadah bagi mengeratkan ukhuwah antara warga kerja bersama pemegang taruh, di samping menyantuni tetamu jemputan yang antaranya terdiri daripada anak-anak yatim dan pelajar tahfiz.

Pada majlis tersebut, VFive Group turut menyalurkan sumbangan Infaq Mahabbah Ramadan kepada masjid, surau, pusat tahfiz, pertubuhan kebajikan dan juga komuniti penghantar makanan yang disampaikan dalam bentuk replika cek.
Yayasan VFive juga sedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak agar lebih ramai komuniti boleh dibantu dan dapat merasai nikmat kehidupan yang lebih baik.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif-inisiatif sumbangan Yayasan VFive, sila layari laman media sosial Yayasan VFive.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.