Pertama kali Black dan Adira digabungkan dalam lagu "Syawal Rindu".

Oleh: Khadijah Ibrahim

BAIK Black Hanifah ataupun Adira Suhaimi, masing-masing mempunyai aura tersendiri. Ditambah pula kebolehan mereka sudah teruji kerana Black muncul sebagai juara program Mentor musim ketiga, manakala Adira pula naib juara untuk Akademi Fantasia musim kelapan.

Buat pertama kalinya Black atau Hanifah Muhamad Hanafiah, 38, digandingkan dengan Adira yang nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 34, dalam lagu raya berjudul “Syawal Rindu”.

Selesa bekerjasama dengan Black kerana masing-masing tahu peranan mereka.

“Syawal Rindu” ciptaan Rudy Nastia, Aiman Zaidi, Aizad Khan dan Kelana serta lirik oleh Aiman Zaidi itu menampilkan harmoni vokal yang mantap antara Black dan Adira.

Lagu ini mengisahkan perasaan rindu dan kasih terhadap keluarga serta kenangan lebaran yang tidak dapat diraikan bersama orang tersayang. “Syawal Rindu” menggabungkan melodi syahdu dengan lirik yang menyentuh perasaan, menjadikannya lagu yang sesuai untuk didengarkan sepanjang musim perayaan Aidilfitri.

Lepas “Hijab Rindu” kini Black tampil dengan lagu “Syawal Rindu” pula duet bersama Adira.

Bagi Black, lagu ini mempunyai makna yang mendalam kerana ia menggambarkan situasi ramai individu yang tidak dapat pulang ke kampung halaman atau beraya bersama keluarga.

“Saya percaya ramai yang akan dapat menghayati mesej dalam lagu ini, lebih-lebih lagi mereka yang berjauhan dari insan tersayang pada musim perayaan.

Lagu dendangan Black dan Adira menggambarkan tentang kerinduan beraya bersama keluarga.

“Kesenian dalam lirik dan melodi lagu ini mampu menyentuh titik sensitif dalam jiwa setiap pendengar, membawa mereka merasai betapa pentingnya kasih sayang dan kebersamaan, terutama di saat-saat di mana jarak dan waktu menghalangi keinginan untuk bersatu di tengah riuhnya keramaian menyambut lebaran.

“Semua ini disampaikan dengan jelas dalam bait-bait lagu dengan alunan penuh penghayatan, sekali gus menciptakan gambaran yang sangat nyata mengenai kerinduan yang mendalam yang mungkin dirasakan banyak orang di dunia ini,” katanya.

Sementara itu, Adira pula turut berkongsi rasa teruja dapat bekerjasama dengan Black dalam lagu tersebut.

Adira teruja dapat bekerjasama dengan Black.

“Saya amat bersyukur dan teruja kerana dapat menyampaikan lagu ini bersama Black. Saya dapat merasakan sinergi kami semasa bekerja bersama sekali gus mencipta satu suasana yang kreatif dan penuh semangat.

“Kami saling memberi inspirasi dan sokongan untuk menghasilkan sebuah karya yang bermakna dan berkualiti. Pada masa sama, saya juga berasa bersyukur kerana dapat timba ilmu daripada Black, seorang penyanyi yang berpengalaman dan berbakat dalam industri muzik.

“Dengan adanya kolaborasi ini, saya yakin bahawa lagu yang dihasilkan ini akan menjadi sesuatu yang istimewa dan mampu menyentuh hati peminat muzik. Ditambah dengan liriknya yang cukup terkesan, saya berharap pendengar dapat lebih menjiwai sambutan Aidilfitri tahun ini menerusi lagu ini,” katanya.

Semoga gandingan antara Black dan Adira bakal diteruskan.

Lagu “Syawal Rindu’” terbitan Nova Music ini dilancarkan secara rasmi di semua platform penstriman muzik termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube.

Manakala video muzik rasmi lagu ini yang menampilkan konsep mengajak penonton merasai kemeriahan dan kesayuan menyambut Aidilfitri juga boleh mula ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ di pautan: https://youtu.be/Hc3caYxUNNM?si=CcKOWrW_zKwWEtCM

Previous articleAshraf Muslim memilih bertoleransi dalam semua hal
Next article“Oohaa Raya” gandingan Sharifah Zarina dan anak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here