Oleh: Asmat Fikri
Berikut dikongsikan tanda-tanda yang berkemungkinan anda menghidap penyakit hipotiroidisme.
1. Badan berasa sejuk
Jika anda mengalami hipotiroidisme, kadar metabolisme basal akan berkurangan, sekali gus mengurangkan jumlah haba yang anda hasilkan. Di samping itu, hormon tiroid sepatutnya akan memanaskan lemak perang dalam badan anda.Lemak perang merupakan jenis lemak khusus yang menjana haba dan ia penting untuk mengekalkan haba badan dalam iklim sejuk. Namun jika anda mengalami hipotiroidisme, ia akan menghalang fungsi lemak perang ini.
2. Cepat rasa letih
Anda mungkin mengalami rasa letih yang cepat, contohnya jika anda lewat makan tengah hari, anda akan mengeletar keletihan, cepat rasa gementar serta gelisah juga.
3. Kenaikan berat badan
Apabila tahap hormon tiroid menjadi rendah, metabolisme tubuh akan bertukar mod. Daripada membakar kalori untuk pertumbuhan dan aktiviti, jumlah tenaga yang anda gunakan semasa rehat atau kadar metabolisme anda akan berkurangan. Kesannya, badan anda cenderung untuk menyimpan lebih banyak kalori daripada diet dalam bentuk lemak.
4. Keguguran rambut
Keguguran rambut yang banyak, mungkin menyebabkan seseorang itu botak. Namun masalah ini dapat diatasi jika penyakit tiroid itu dirawat.
5. Sembelit
Menurut satu kajian, sembelit telah menjejaskan 17% individu yang mempunyai hormon tiroid yang rendah, berbanding 10% individu lain yang mempunyai tahap tiroid yang normal. Kebanyakan individu yang mengalami sembelit tidak mempunyai hipotiroidisme. Namun jika sembelit disertai dengan tanda-tanda hipotiroidisme yang lain, kelenjar tiroid mungkin menjadi puncanya.
6. Sakit otot dan sendi.
Hormon tiroid yang rendah boleh menyebabkan metabolisme badan bertukar ke arah katabolisme, iaitu apabila badan memecahkan tisu badan seperti otot untuk mendapatkan tenaga. Semasa proses katabolisme, kekuatan otot menjadi berkurangan dan berpotensi menyebabkan badan berasa lemah. Proses pemecahan tisu otot ini juga boleh menyebabkan rasa sakit pada otot dan juga sendi.

Kebaikan senaman bagi penyakit tiroid
Tiroid yang tidak aktif mampu menyebabkan degupan jantung menjadi perlahan dan berisiko membuat jantung pesakit ‘terkejut’ apabila bersenam.
Oleh sebab itu, pakar menasihatkan pesakit dengan hipotiroidisme untuk tidak melakukan senaman selama beberapa minggu sehingga keadaan mereka kembali terkawal.
Apabila pantang larang penyakit tiroid seseorang pesakit berjaya dikawal kembali dengan penggunaan ubat-ubatan, aktiviti senaman boleh dilakukan dan mampu membantu proses penyembuhan secara menyeluruh.
Mereka yang ada masalah hipotiroidisme sering keletihan dan kenaikan berat badan akibat penggunaan ubat tiroid. Senaman bukan sahaja dapat membantu meningkatkan tahap tenaga malah mengawal berat badan.
Senama mempunyai banyak manfaat yang tidak hanya mempengaruhi kesihatan anda secara keseluruhan tetapi dapat membantu melegakan beberapa gejala yang dimiliki.
- Meningkatkan tahap tenaga: Sekiranya anda mempunyai tiroid yang tidak aktif (hipotiroidisme), anda mungkin sering merasa letih, tetapi senaman yang kerap akan dapat mengatasi masalah tersebut.
- Kualiti tidur yang lebih baik. Apabila tiroid menghasilkan terlalu banyak hormon (hipertiroidisme), tidur seseorang itu mungkin terganggu, mengakibatkan tidur yang kurang lena dan tidak berkualiti. Justeru, bersenam mampu membantu seseorang itu tidur malam dengan nyenyak.
- Meningkatkan mood: Depresi adalah antara masalah mental dan emosi yang sering berlaku terhadap pesakit dengan gangguan tiroid, terutamanya hipotiroidisme. Maka, senaman dapat membantu dengan merembeskan hormon ‘bahagia’ (endorfin) dan secara langsung membuat anda berasa lebih sihat.
- Meningkatkan ketumpatan tulang: Kehilangan ketumpatan tulang boleh berlaku dengan penyakit hipertiroidisme, tetapi kajian menunjukkan bahawa senaman dapat membantu untuk mendapatkan kembali kehilangan tersebut.
- Meningkatkan metabolisme tubuh badan: Hipotiroidisme menyebabkan berat badan seseorang itu merosot, menyebabkan penambahan berat badan. Bersenam boleh menjadi `alat’ bantuan lain di samping ubat tiroid, membantu menyokong metabolisme yang sihat dengan membakar kalori dan mengembangkan otot serta menyingkirkan lemak berlebihan
Justeru, mana-mana wanita atau sesiapa sahaja yang mengalami masalah seperti yang dinyatakan di atas, mohon terus ke klinik atau hospital untuk melakukan ujian darah tiroid.
Selain itu, jika kita memiliki berat badan yang tidak menyenangkan, teruskan berusaha untuk turunkan berat badan. Terus lakukan diet, elakkan pengambilan gula putih, pilih pemakanan berkhasiat, briskwalk dan sebagainya biarpun hasilnya tidak menggembirakan.
Jangan pernah berputus asa, kenapa? Kerana paling tidak, badan kita tetap berisi dan fit. Daripada badan yang berisi tapi gelebeh sana sini. Nak raya kan? Jadi jaga pemakanan anda daripada sekarang!

ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.