Oleh: Asmat Fikri
Pernah tak anda rasa macam susah sangat nak lelapkan mata? Tengok jam sudah pukul 3 pagi, tapi mata langsung tak mengantuk. Tambah pula, kalau ada sesuatu yang sedang bermain-main di fikiran. Asyik memikir sahaja hingga langsung tak boleh nak tidur kerana kepala tengah berserabut memikirkan banyak perkara.
Ada juga sesetengah orang bila dah kerap sangat tidak dapat tidur di malam hari, ianya sudah menjadi kebiasaan ataupun habit (tabiat). Jadi persoalannya, adakah normal jika kita tidak dapat tidur malam ataupun ia sejenis penyakit?
Tidak boleh tidur malam ini juga disebut sebagai insomnia. Insomnia adalah gangguan tidur yang sangat biasa, di mana seseorang menghadapi kesukaran untuk tidur atau kekal tidur sepanjang malam. Ia boleh jadi juga pada seseorang terjaga pada waktu yang tidak diingini, atau sering terjaga pada waktu malam tanpa dapat tidur kembali. Insomnia bukan sekadar masalah kekurangan tidur, tetapi ia boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan mental, fizikal dan kualiti hidup secara keseluruhan.
Oleh itu, penting untuk memahami penyebab insomnia dan langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah ini. Untuk melihat lebih lanjut berkenaan insomnia, mari kita lihat terlebih dahulu tanda-tanda yang mungkin anda mengalami masalah insomnia ini.
Berikut adalah tanda-tandanya:
• Kesukaran untuk memulai tidur pada waktu malam
• Sering terbangun di tengah malam
• Bangun terlalu awal di waktu pagi
• Berasa lesu walaupun selepas tidur malam
• Keletihan atau mengantuk pada waktu siang
• Kerengsaan, kemurungan atau kegelisahan
• Kesukaran menumpukan perhatian, sukar untuk memberi tumpuan terhadap tugas dan sukar untuk mengingati sesuatu
• Kesalahan atau kemalangan yang semakin meningkat
• Kebimbangan mengenai tidur yang berterusan

Jenis insomnia
Insomnia ada beberapa jenis. Menurut Majlis Keselamatan Negara, berikut adalah jenis insomnia:
- Acute insomnia: Gangguan tidur yang berlaku dalam jangka masa pendek.
- Chronic insomnia: Gangguan tidur yang berlangsung selama sekurang-kurangnya tiga kali seminggu untuk tempoh lebih daripada tiga bulan.
- Comorbid insomnia: Berlaku apabila gangguan tidur berkait rapat dengan keadaan lain, seperti gangguan mental, masalah fizikal atau penggunaan bahan tertentu.
- Onset insomnia: Kesulitan yang dihadapi seseorang ketika mula tidur.
- Maintenance insomnia: Berlaku apabila seseorang sukar untuk tidur kembali setelah terjaga di tengah malam atau terlalu awal pagi.
Terdapat beberapa punca utama terjadinya insomnia. Kesukaran tidur ini juga mungkin bergantung kepada tahap keseriusan punca-punca yang dialami oleh seseorang itu. Punca utama yang sering dikaitkan adalah stres atau tekanan. Tekanan ini boleh jadi kebimbangan yang menyebabkan seseorang itu sering memikirkannya. Sebagai contoh, apabila seseorang menghadapi tekanan di tempat kerja, masalah kewangan atau isu peribadi, fikiran mereka sering terjaga dan tidak dapat tenang.
Ini menyebabkan kesulitan untuk tidur, kerana minda terus aktif dan tidak dapat ‘berehat’; Kebimbangan mengenai kehidupan sehari-hari atau masa depan juga boleh menyebabkan seseorang terjaga pada waktu malam, berfikir tentang pelbagai perkara yang mengganggu.
Selain tekanan, kemurungan juga akan menyebabkan tidak boleh tidur malam atau tidur sering terganggu. Gangguan mental seperti kemurungan dan kegelisahan juga boleh menyebabkan insomnia. Individu yang mengalami kemurungan mungkin merasa terjaga pada waktu malam atau terjaga lebih awal daripada yang diingini. Begitu juga dengan gangguan kecemasan, di mana seseorang yang cemas mungkin merasa resah dan tidak mampu tidur dengan nyenyak.
Terdapat juga beberapa masalah kesihatan kronik boleh menjadi penyebab insomnia, termasuk sakit kronik seperti arthritis, migrain atau sakit belakang yang boleh menyebabkan ketidakselesaan yang menghalang tidur yang nyenyak.
Gangguan tidur lain seperti sleep apnea (gangguan pernafasan semasa tidur). Apnea Tidur Obstruktif adalah gangguan tidur yang berpotensi serius. Ia menyebabkan pernafasan berulang kali berhenti dan bermula semasa tidur.
#Ikuti sambungan artikel akan datang apakah tanda-tanda dan gejala apnea tidur obstruktif yang boleh mempengaruhi tidur seseorang.

ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.