Oleh: Khadijah Ibrahim
KALAU tak ada unsur-unsur komedi bukan Ryan Bakery namanya. Namun kali ini pempengaruh yang dikenali kerana tompokan bedak di wajahnya itu memilih untuk tampil serius dalam filem pendek “Raya Dipelukan Mak’.
“Raya Dipelukan Mak” yang sarat dengan emosi dan pengajaran itu merupakan karya sulung Ryan Bakery yang dihasilkan khusus sempena kedatangan Aidilfitri kali ini.

Menurut Ryan, idea untuk menghasilkan filem pendek ini sudah ada sejak beberapa tahun yang lalu sementelah beliau melihat ramai rakan-rakan terdekat menghasilkan drama pendek raya sebelum ini.
“Selama ini orang hanya nampak kepada sisi lawak saya sahaja. Sudah tiba masanya untuk saya mencari dan meneroka sisi lain dengan terhasilnya “Raya Dipelukan Mak”.

“Melalui idea yang ada, kita kembangkan lagi jalan cerita agar lebih menarik sehingga naskhah ini disiapkan sepenuhnya,” kata Ryan yang mendapatkan khidmat Marr Mohamad sebagai penulis skrip.
Selain Ryan yang melakonkan watak Aman, pelakon lain yang terlibat dalam “Raya Dipelukan Mak”, adalah Khatijah Tan sebagai Mak Ani, Ellie Suriaty Omar, Fendi London, Uyaina Arshad, Adriana Adnan, Dafi dan To’ Puan Syamim Freida.

Turut sama memeriahkan karya ini adalah Badron Munirah, Farihin, Wanchai, Adam Bakery, Black, Riev Wafa, Rushdan Wafa selain kemunculan istimewa isteri Ryan, Eliya Ibrahim.
Jelas Ryan apa yang cuba disampaikan di dalam filem pendek kisah dua beranak yang hidup bersendirian tanpa kehadiran bapa menjadi intipati penting kepada perjalanan watak Aman dan Mak Ani ini merupakan isu biasa namun sering melanda hubungan sesama ahli keluarga.

“Ada banyak mesej yang saya cuba sampaikan di dalam karya ini. Anak-anak mungkin berhati-hati dalam menjaga hati orang tua tetapi dalam masa yang sama mereka sebenarnya sedang melukakan hati orang tua.
“Kisah sebegini memang banyak terjadi dalam kalangan kita tanpa disedari. Saya harap mesej ini sampai kepada mereka yang menonton seterusnya membawa kebaikan kepada semua,” ungkap Ryan lagi.

“Raya Dipelukan Mak” diterbitkan oleh Ryan dan Elyias Omar, mula ditayangkan mulai 27 Mac, menerusi saluran YouTube Ryan Bakery.
Link YouTube: https://youtu.be/v_xLBzje14A

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.