Oleh: Khadijah Ibrahim
SETIAP kali menjelang sambutan Aidilfitri, pasti penyanyi bersemangat untuk mengeluarkan single raya sebagai kenangan. Kalau lagu itu sedap dan kena dengan pendengaran orang ramai, kemungkinan besar karya tersebut akan menjadi lagu raya malar segar seperti lagu-lagu raya klasik yang sedia ada.
Justeru itulah ramai penyanyi cuba membuat kelainan sebagai daya tarikan dan salah seorang daripadanya ialah Ara Johari. Penyanyi lagu “Menjaga Jodoh Orang Lain” itu tampil dengan genre yang belum pernah beliau rakam iaitu irama zapin Melayu.

Lagu “Zapin Malam Raya” dendangan Ara atau nama penuhnya Nurfarrah Izzateie Johari, 28, adalah ciptaan Affan Mazlan bersama Syafiq Al Gambus yang turut menampilkan kumpulan pelawak dari Pantai Timur, Trio Latah sebagai penyanyi undangan.
“Sebenarnya, saya ada rancangan keluar lagu raya tahun ini tapi tak jumpa demo yang sesuai. Dalam pada sedang mencari-cari tu saya jumpa Affan dan alhamdullilah, hasil pebincangan singkat itu terhasil lagu ini,” ujarnya yang mengaku lagu tersebut menampilkan sisi lain dirinya yang sebelum ini tidak pernah membawakan lagu-lagu irama Malaysia.
Apa yang menarik, “Zapin Malam Raya” ini mengetengahkan dialek Negeri Sembilan dan Kelantan.

“Ini kali pertama saya bawa lagu genre irama Malaysia. Mungkin kedengaran sedikit berlainan dengan suara saya yang biasa dengan lagu rock.
“Saya begitu teruja apabila lagu ini menyelitkan dialek-dialek negeri iaitu Negeri Sembilan dan Kelantan yang mana jalan ceritanya tentang suami yang teruja apabila tiba giliran balik raya ke kampungnya,” katanya yang merupakan anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu.
Lagu “Zapin Malam Raya” edaran Universal Music Malaysia ini boleh didengari di semua platform digital dan video muziknya boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia.
Sementara itu, syarikat rakaman Suria Records juga tidak mahu ketinggalan dalam menerbitkan lagu raya untuk tahun ini. Kali ini SRC kembali merilis sebuah lagu bertajuk “Raya Twist” gabungan suara daripada Intan Maya, Mark Adam, Erika Foo, Fairuz Syazwan, Chaca Trisha dan Xpose.

Walaupun Suria Records popular dengan lagu-lagu raya yang ‘evergreen’, melihat peredaran zaman dan pergantian artis, lagu raya harus diberikan nafas baharu tanpa mengetepikan yang lama.
Melihat dari kejayaan dan sambutan yang luar biasa daripada lagu “Raya Dirumah Dinda’ ciptaan Eppy Xpose dan lirik Eppy bersama Taqim Xpose tahun lepas, lagu ‘Raya Twist’ yang dibuat sepenuhnya oleh Zik dan Nabilah ini amat bersesuai dengan karakter artis-artis Suria Records dan mengangkat mood gembira beraya bersama.
Walaupun masing-masing sibuk dalam mempromosikan single mereka sendiri, tetapi mereka sangat teruja untuk menyanyikan lagu “Raya Twist” bersama dan dapat di lihat keakraban artis-artis Suria Records di dalam lagu ini.

Bagi Furhan Xpose, hari raya merupakan hari yang patut diraikan dengan gembira tidak kira bangsa atau kaum.
“Walaupun hanya sebuah lagu raya, kekeluargaan dan kesefahaman dapat dirasai. Lagu ini boleh membuatkan anda turut bergoyang bersama kami apabila mendengar,” ujarnya.
Lagu “Raya Twist” boleh dimuat-turun di iTunes dan strim menerusi Apple Music, Deezer, YouTube Muzik dan Spotify.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.