Johan Hot FM ingin bergelar usahawan berjaya.

Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Johan

Dalam kesibukannya menjadi penyampai radio Hot FM, pelakon, pelawak dan pengacara Johan Raja Lawak lebih senang dengan gelarannya terkininya sebagai usahawan.

Johan atau nama sebenarnya Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz yang telah menjadi penyampai radio lebih dari 12 tahun berkata,“Buat masa ini saya perlahankan sedikit aktiviti lakonan sebab tumpuan kini lebih kepada restoran, Itik ke Ayam? di Taman Melawati yang saya usahakan sejak Oktober 2023. Saya suka makan itik dan sebelum ini kalau nak makan kena pergi ke Damansara dan Bangsar…dekat Ampang tak ada. Jadi saya bukalah restoran sendiri dan kini hari-hari saya boleh makan itik.

Johan (kiri) bersama Naufal Nafis Pengarah Pembangunan Itik ke Ayam Sdn. Bhd dan Datuk Fazley Yaakob.

“Tawaran berlakon pun dah kurang kerana saya sibuk dengan tugasan sebagai penyampai radio, jam lima pagi saya dah kena bersiap sedia untuk ke konti radio. Melainkan ada panggilan untuk cameo’ saya pergi juga sebab sekejap. Saya tak cakap tak rindu berlakon… cuma saya kena move on’ untuk benda lain. Saya kena fikir cari pendapatan lebih sebab anak saya ramai, enam orang. Jadi selaku ketua keluarga saya kena kerja keras dan kuat sikit. Saya akan buat apa sahaja demi mencari rezeki yang halal.

“Kini saya dengan Datuk Fazley Yaakob sibuk mengusahakan perniagaan `vending machine’ kami yang menempatkan produk itik dan ayam salai. Itik dan ayam ini saya ternak sendiri di ladang kami dekat Rembau. Kami ternak itik premium sebab kami nak sajikan kepada pelanggan itik premium yang bermutu tinggi dan berkhasiat. Johan Raja Lawak, Johan mula dikenali apabila muncul dalam pertandingan.”

Johan dan Fazley selepas pelancaran vending machinenya di AEON BIG Seksyen 23, Shah Alam baru- baru ini.

Produk yang mengunakan resepi Chef Fazley iaitu Itik Salai Masak Lemak Cili Api dan Ayam Salai Masak Lemak Cili Api ini telah memenangi pelbagai anugerah sebelum dijadikan sebagai produk RTE.

Produk Itik Ke Ayam? sedia dimakan “Ready To Eat (RTE)” ini boleh dibeli belalui vending machine yang terdapat di AEON BIG Seksyen 23 Shah Alam, AEON BIG Ampang, AEON BIG Wangsa Maju dan AEON BIG Tun Hussein Onn, Cheras.

Johan yang juga usahawan yang menjadi antara pelopor vending machine makanan di Malaysia turut berkongsi pengalaman dan cabaran dalam industri ini. Bermula dengan pelbagai rintangan, termasuk menerima komen negatif dan ditipu, Johan tetap cekal dan menganggap semua itu sebagai pelajaran berharga.

Lakonan Johan dalam filem Raya Tak Jadi! Pada 2011.

Tambah Johan lagi,”Fasa seterusnya akan mula dikembangkan ke banyak lagi cawangan-cawangan AEON, Lotus dan pasaraya-pasaraya lain di seluruh Malaysia. Sasaran kami untuk memiliki 100 ‘Vending Machine’ bagi tahun pertama dipasaran. Lepas ini, kami juga akan membuka peluang kepada sesiapa yang berminat termasuk usahawan dan penggiat seni untuk menceburkan diri dalam perniagaan berasaskan ‘vending Machine’ ini.

“Saya pilih pasaran cara `vending machine’ inni kerana kelebihannya yang unik. Kami tak perlukan pekerja, pelanggan boleh beli makanan bila-bila masa, dan mesin ini boleh diletakkan di lokasi strategik seperti universiti. Jadi, kalau mereka lapar, mereka boleh terus beli dan makan.

Ceria..Johan dan Ozzlyn selepas berkahwin.

“Saya boleh meniaga macam-macam dekat vending machine. Kalau nak tahu lebih lanjut, boleh cari saya di Itik Ayam, Taman Melawati. Saya sedia kongsi ilmu dan tunjuk cara untuk mula bisnes vending machine ini. Ini produk ‘baby’ saya. Manusia tak lari dari kesilapan. Komen daripada orang ramai mungkin boleh membantu saya menjadi lebih baik. Saya nak produk ini terus maju,” tambah Johann lagi yang tidak lokek berkongsi ilmu.

Berbicara mengenai restoran Itik ke Ayam miliknya pula, Johan bersyukur kerana sambutan yang diterima amat memberangsangkan. Restoran tersebut bukan sahaja menyajikan hidangan utama seperti nasi goreng itik dan ayam, tetapi juga memperkenalkan menu baharu seperti burger itik dan masakan salai.

Lakonan Johan dan Zizan dalam filem Abang Long Fadil 3 yang ditayangkan pada 2022.

Dalam perniagaan ini, Johan tidak bersendirian. Isterinya, Ozlynn, memainkan peranan penting dalam memastikan kualiti makanan terjaga dan menguruskan segala maklum balas pelanggan.

“Ozlynn yang jaga anak-anak dan juga QC makanan. Saya pula uruskan kedai. Kalau ada sebarang aduan, Ozlynn yang akan ambil tindakan,” jelasnya.

SIBUK DENGAN TUGASAN PENYAMPAI RADIO

“Di radio Hotfm sekarang saya dah bergabung dengan Fara dan Khairy Jamaluddin (KJ). Jun ini kami dah buat program perlawanan tinju dan selepas ini kami akan bersiaran dari dasar laut pula pada September nanti. Satu lagi kami plan nak kayuh basikal dari Kedah sampai Kuala Lumpur. Tahun ni saya kena kekalkan untuk fit dan terpaksalah saya buat beberapa latihan dan senaman. Ini komitmen antara saya dengan radio dan saya kena dahulukan kerjaya hakiki saya. Selagi cukup latihan, penjagaan pemakanan… InsyaAllah semuanya akan berjalan lancar.

Johan (tiga dari kanan) bersama penyampai-penyampai radio Hotfm

“Untung kerja bertiga. Mereka abang, kakak dan senior saya. Saya hanya ikut dan tambah-tambah saja perbualan agar tak jadi over ketika bersiaran. Sebagai penyampai radio, kita kena jaga percakapan sebab ramai yang mendengarnya.

Sebagai penyampai radio, Johan juga berasa terharu apabila masih diterima baik oleh pendengar. Walaupun telah bertukar stesen radio, Hot FM terus mendapat sambutan yang baik, malah baru-baru ini diiktiraf sebagai stesen radio nombor satu di Malaysia.

“Saya tak sangka pendengar masih setia. Alhamdulillah, ini bukan sahaja kejayaan kami, tetapi juga satu rezeki untuk anak-anak,” katanya.

Johan bergandingan dengan Zizan dalam filem Baik Punya Ah-Long

Mengakhiri perbualan, Johan mengakui kehidupan sekarang lebih mencabar, namun dia sentiasa berusaha untuk melakukan yang terbaik dalam setiap bidang yang diceburinya. Bagi Johan, selagi ada rezeki dan selagi tubuh masih mampu, dia akan terus bekerja keras demi masa depan keluarga tercinta.

Sepanjang penglibatannya dalam bidang seni, banyak anugerah dari pelbagai kategori yang telah dimenangi Johan selaku artis dan penyampai radio yang berkaliber. Antaranya pada 2011 bergelar Johan dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian sebagai Artis Komedi Lelaki Paling Popular (ABPBH-2011), 2012 Penyampai Radio MeleTOP (ERA FM), 2012 Penyampai Radio MeleTOP (JoHaRa Pagi Era) dan Anugerah MeleTOP ERA bagi kategori Artis Lawak MeleTOP.

Keluarga adalah keutamaan Johan yang sentiasa ingin membahagiakan anak- anak dan isteri tercinta.

Manakala pada 2015, Johan memenangi kategori Artis Top-Top MeleTOP (Lelaki), Penyampai Radio Lelaki Popular (ABPBH -2014) , Artis Romantis Popular, Artis Lawak MeleTOP, Couple MeleTOP, 2016 dipilih sebagai pemenang Penyampai Radio MeleTOP dan Artis Top-Top MeleTOP (Lelaki) dalam Anugerah MeleTOP ERA.

Bukan itu saja, dalam beberapa pertandingan lawak pula, Johan dengan kumpulannya pernah menjuarai dan bergelar naib juara untuk bergelar Naib Juara Maharaja Lawak 2011, Juara Maharaja Lawak Mega 2012, Naib Juara dalam Super Spontan (2012 dan 2013) dan Super Spontan All Stars (Naib Juara -2015) dan Juara Super Spontan Superstar (2014 dan 2016).

Johan bergambar kenangan bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Ab Rauf Yusoh di depan Restoran Itik ke Ayam? Milik Johan di Taman Melawati.

Manakala filem lakonannya pula yang merupakan filem pertamanya iaitu Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam 2009, Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010), Raya Tak Jadi, Libas, Bujang Terlajak, Uncle Usin, Berani Punya Budak, Pontanak vs Orang Minyak, Papadom 2, Ribbit, Wheely, Abang Long Fadil 3 dan Baik Punya Ah Long.

Previous articleIman Troye mahu mengukuhkan kedudukan dalam kerjaya
Next articleRahsia Restoran Rasa Rosz sentiasa `diserbu’ pelanggan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here