Safura wanita gigih yang serba boleh Safura!

Oleh : Nafsiah Jani
Foto : IG Safura/Koleksi Syed Wafa

Dulu wajah Safura Ya’cob, 53, sering menghiasi kaca televisyen ketika membuat persembahan pentas. Kini kelibatnya tetap menghiasi kaca televisyen tetapi sebagai pelakon drama pula.

Begitulah putaran hidup penyanyi, pelakon dan usahawan Safura yang kini sibuk dengan dunia lakonannya yang tidak putus-putus.

Album pertama Safura, “Sedalam Mana Cinta Mu” yang begitu mendapat sambutan.

“Alhamdulillah kini rezeki saya nampaknya banyak terarah dalam dunia lakonan pula. Ini pun saya baru habis shooting dan tengah berehat menunggu tawaran lain,” kata Safura Ya’cob, 53

Bercerita lanjut mengenai perkembangan terbarunya, tambah Safura, kali ini betul-betul minta maaf dan buat masa ini, tidak mahu mana-mana pihak menemuramahnya. Safura juga berharap pihak media memahami keadaannya buat masa sekarang.

Album Safura “Selamanya” menampilkan lagu-lagu hebat beliau.

Pada awal 1990an, Safura mula menjinakkan diri dalam dunia nyanyian sebagai penyanyi di kelab malam. Namun pada tahun 1996, beliau mula mengikat kontrak dengan BMG Music Malaysia sebagai penyanyi rakaman. Safura Ya’cob merakamkan album pertamanya pada usia 23 tahun menerusi album Sedalam Mana Cintamu pada tahun 1997.

Dalam Anugerah Industri Muzik ke-5, kehebatan vokalnya membuatkan Safura memenangi kategori Persembahan Vokal Wanita Terbaik dan Artis Baru Terbaik menerusi album pertamanya, Sedalam Mana Cintamu. Populariti Safura berterusan melalui albumnya Mencari Mahligai pada tahun 1998.

Ibu penyayang…Safura bersama anak-anaknya.

Sepanjang karier nyanyiannya, Safura mempunyai beberapa buah lagu popular yang sering menduduki kedudukan nombor satu carta muzik seperti Sedalam Mana Cintamu, Rinduku Semakin Kuat, Jangan Menangis Sayang, Andang Cintaku Menyala dan Dian Asmara.

Seperti penyanyi lain, Safura juga cuba berjnak-jinak mencuba bakat sebagai pelakon menerusi pementasan Ronggeng Rokiah. Beliau membawakan watak sebagai penari joget bernama Rokiah dan mendapat perhatian ramai. Pada tahun 2003, setelah tamat kontrak bersama BMG, beliau meneruskan karier sebagai pelakon.

Pasangan sehati sejiwa…Safura bersama suami tercinta, Sahronizam.

Lakonan pertamanya menerusi drama bersiri Persatuan Isteri Isteri Tua di RTM2. Puncak kejayaannya sebagai pelakon apabila beliau yang membawakan watak seorang pelacur menerusi drama Hari-Hari Terakhir Seorang Perempuan, Safura berjaya memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik dalam Anugerah Skrin dan Pelakon Wanita TV Terbaik dalam Anugerah Seri Angkasa (2006).

Selain berlakon drama, Safura turut membuktikan kehebatannya di pentas teater. Pada tahun 2010 beliau terlibat dalam teater muzikal Terima Kasih Cinta, Lantai T. Pinkie (2006) dan Gamat (2009).

Kenangan indah ketika umrah di Tanah Suci.

Safura mula membuat penampilan bertudung litup pada tahun 2008 ketika muncul dalam drama terbitan pelakon Sheila Rusly.

Safura kini bahagia bersama keluarga tercinta terutama anak-anaknya, Nurul Natasha Abdul Rani Muhammad Daniel Khaqim Mohd Khairi, Yusoff Firdaus, Zara Nur Aisyah, Ariana Sofia dan Nur Aisyah Mariam. Bagaimanapun, Nur Aisyah meninggal dunia ketika berusia tiga tahun.

Safura sentiasa dirindui oleh peminat.

Setelah hampir 14 tahun menyepikan diri dari dunia seni muzik tanah air, pada September 2018, Safura membuat kemunculan semula dengan menyertai program realiti Gegar Vaganza musim kelima. Ini kerana selama itu beliau aktif sebagai pelakon. Namun rezeki tidak berpihak kepada beliau apabila beliau telah tersingkir di konsert minggu kedua dan merupakan peserta pertama yang tersingkir daripada program realiti tersebut.

Antara album yang pernah dihasilkannya ialah Sedalam Mana Cinta Mu (1997), Mencari Mahligai (1998), Selamanya (2001), Dia Milikmu (2004) serta dua buah album kompilasi Best Of Safura (2003) dan The Essential Safura (2011).

Previous articleBlood Brothers: Bara Naga berjaya tarik perhatian penonton tempatan, kutipan melonjak
Next articleSyawal Penuh Kemaafan!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here