Oleh: Khadijah Ibrahim
TAHNIAH diucapkan kepada pengarah Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra kerana filem arahan mereka, “Blood Brothers: Bara Naga” yang mula ditayangkan pada 10 April lalu di 170 pawagam mendapat sambutan hangat daripada penonton.
Bayangkan dalam tempoh dua hari, filem aksi epik tempatan yang sarat dengan emosi dan ledakan visual itu berjaya meraih kutipan sebanyak RM9.2 juta. Jumlah kutipan terus melonjak hingga ke RM29.9 juta dalam tempoh tujuh hari tayangan dan tayangan awal.
Filem terbitan Skop Production dengan kerjasama Primeworks Studios itu dibintangi oleh barisan pelakon tersohor seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Amelia Henderson, Syazwan Zulkifly, Andy Teh, Irfan Zaini, Wan Hanafi Su, Zamarul Hisham, Ray Dap Dap, dan ramai lagi.

Menurut Syafiq, 33, beliau mengambil masa selama dua tahun untuk menghasilkan “Blood Brothers:Bara Naga” kerana setiap peringkat bermula daripada perancangan, penulisan, penggambaran, hingga pascaproduksi dilakukan dengan teliti. Malah seluruhkru dan pelakon juga memberikan komitmen yang padu.
“Saya yakin filem ini akan membuka lembaran baharu dalam industri filem negara dan memberi inspirasi kepada karyawan lain untuk menghasilkan karya yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” kata Syafiq sewaktu sidang media pada malam tayangan perdana filem tersebut sebelum ini.

Ternyata ungkapan pengarah muda itu mengenai filem “Blood Brothers: Bara Naga” yang menyematkan tema kepercayaan, pengorbanan, dan nilai persaudaraan dalam dunia yang sarat dengan tipu daya bukan omongan kosong.
Malah anak kepada penerbitterkenal, Datuk Yusof Haslam itu sebelum ini juga pernah mencipta sejarah tersendiri apabila filem arahannya, “Sheriff: Narko Intergriti” berjaya meraih kutipan sehingga RM60.5 juta. Selain itu filem “Polis Evo 3” arahan Syafiq juga berjaya mendapat kutipan mencecah RM50 juta.
Sementara itu, pengarah bersama,Abhilash Chandra turut mengakui bahawa beliau selesa berkolaborasi dengan Syafiq dan menganggap “Blood Brothers: Bara Naga” adalah satu perjalanan kreatif yang luar biasa.

“Kerjasama ini beri kami peluang untuk teroka idea baharu dan cipta satu cerita yang berkesan dan kuat. Setiap babak ada impak dan tujuan tersendiri, dan saya yakin penonton dapat rasa terhubung dengan jalan cerita yang kami bawakan ini,” katanya.
Setakat ini “Blood Brothers:Bara Naga” berjaya mencatat jumlah tontonan tertinggi adalah di Selangor, Johor, Kedah, Pahang dan Terengganu. Selain itu, filem ini juga turut mendapat perhatian di seluruh platform media sosial dan sekali gus mencetuskan perbualan hangat di kalangan peminat filem tempatan.
Filem yang menampilkan lagu“Bara Jiwa” sebagai runut bunyi yang didendangkan oleh Azlan Typewriter dan Muzza itu bakal melakukan siri jelajah ke Sabah pula hujung minggu ini.

Filem “Blood Brothers: Bara Naga” berkisar mengenai perjalanan Ariff (Syafiq Kyle), yang direkrut oleh Ghaz (Sharnaaz Ahmad) untuk berkhidmat di bawah naungan Dato’ Zul (Wan Hanafi Su), seorang ahli perniagaan berpengaruh yang juga merangkap sebagai ketua Mafia Naga.
Sejak itu, Ariff mengangkat bai’ah setia sebagai pengawal peribadi elit dalam syarikat kawalan keselamatan dipanggil Silent Guard, sekali gus terikat sebagai Blood Brother kepada Ghaz.
Namun, ketika sebuah pengkhianatan dahsyat menggoncang dunia mereka, Ariff tiba-tiba dituduh sebagai pembelot dan dijadikan suspek utama. Dalam keadaan terdesak untuk membersihkan namanya, Ariff terpaksa melarikan diri dan mendapatkan bantuan daripada abang
kandungnya yang sudah lama terpisah, Jaki (Syazwan Zulkifly).

Sementara itu, Ghaz diamanatkanuntuk memburu dan menangkap Ariff lantas menyerahkannya kepada pengadilan keluarga Naga yang dahagakan balas dendam.
Mampukah Ariff membuktikanbahawa dirinya tidak bersalah dan mendapatkan kembali kepercayaan Ghaz? Atau adakah nasibnya berakhir dengan kematian di tangan Blood Brother yang dianggap seperti abang kandungnya sendiri?

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.