Oleh: Syed Wafa
Foto: Ehsan RTM
Dalam menghargai jasa dan pengorbanan veteran RTM, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, pemimpin yang berjiwa rakyat telah meluangkan masa menyatuni mereka baru-baru ini. Beliau juga menyeru agar golongan veteran RTM memainkan peranan aktif dalam memerangi penyebaran berita palsu yang semakin berleluasa menerusi media sosial pada era digital masa kini.
Dalam ucapannya yang penuh harapan khas untuk bekas staf RTM di Majlis Sambutan Aidilfitri Persatuan Veteran RTM (PVRTM), beliau menegaskan bahawa penyebaran maklumat palsu bukan sahaja mencetuskan kebencian dan menggugat keharmonian, malah turut menjadi ancaman besar kepada perpaduan negara.

“Maklumat boleh tersebar dalam sekelip mata, tetapi impaknya boleh kekal untuk jangka masa panjang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu PVRTM menjadi rakan strategik kepada kementerian dalam menyampaikan maklumat sahih dan mendidik masyarakat agar lebih celik media serta bijak menilai sumber maklumat.
Datuk Fahmi turut menyatakan penghargaan atas jasa dan komitmen ahli-ahli veteran RTM dalam memperkukuh ekosistem komunikasi negara.

Beliau percaya, pengalaman luas mereka mampu dimanfaatkan dalam usaha mendidik masyarakat berinformasi dan bertanggungjawab.
Sebagai tanda sokongan terhadap usaha persatuan, kementerian turut mengumumkan komitmen peruntukan khas sebanyak RM30,000 kepada PVRTM.
Majlis yang berlangsung penuh mesra itu turut dihadiri oleh Tengku Permaisuri Selangor, DYMM Tengku Hajah Norashikin, selaku Penaung Di Raja Persatuan Veteran RTM, Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman, serta beberapa tokoh dan bekas personaliti RTM.

Turut dilancarkan ialah logo rasmi ulang tahun ke-30 PVRTM serta program PVRTM, podcast yang disempurnakan sendiri oleh DYMM Tengku Permaisuri Selangor.
Sebagai simbolik sokongan berterusan kepada persatuan, turut diadakan penyampaian mock cheque tajaan kepada baginda, selain sambutan ulang tahun ke-100 bekas tokoh penyiaran negara, Tan Sri Ahmad Merican.

SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.