Nama Amira Othman menjadi bualan ramai kerana sering dilihat bersama Fattah Amin.

Oleh: Khadijah Ibrahim

SEJAK Amira Othman tampil dengan single “Bila Nak Kahwin?”, ciptaan Omar K dan Iqie Hugh yang dikeluarkan pada 10 Januari lalu, nama penyanyi yang berasal dari Skudai, Johor itu mula menjadi perhatian ramai.

Pada tahun lalu, bekas peserta program Akademi Fantasia musim ke-10 itu pernah tampil dengan single “Sampan Mimpi” ciptaan Amir Jahari. Bagaimanapun lagu merdu tersebut tidak mendapat liputan meluas kerana video muzik “Sampan Mimpi” hanya tampilkan Amira seorang diri berbanding “Bila Nak Kahwin?” yang mengundang Fattah Amin sebagai penampilan khas.

Ternyata gimik yang dibuat untuk video muzik arahan Sharuddin Zain yang menampilkan Fattah Amin di akhir lagu itu sewaktu bertemu Amira di London menjadi titik mula, nama Amira menjadi perbualan ramai dan kebetulan pelakon kacak itu pun sudah bergelar duda.

“Hati-Hati” yang menaikkan nama Amira adalah ciptaan Faizul Sany, Hael Husaini dan Mike Chan yang dikeluarkan pada 2015.

Sejak itu boleh dikatakan kalau acara tersebut dihadiri Fattah, wajah Amira atau Nadia Amira Othman, 32, pasti ada juga. Mereka ini seperti ‘pasangan kembar’ atau kata orang pakej kerana Fattah dan Amira adalah duta untuk beberapa produk yang sama.

Justeru itu mereka sering muncul bersama untuk membuat konten secara langsung sama ada mempromosi atau menjual produk berkenaan.

Ternyata ramai yang suka melihat kemesraan mereka berdua dan mendoakan agar hubungan pasangan tersebut sampai ke jenjang pelamin sebagai jawapan kepada lagu dendangan Amira “Bila Nak Kahwin?”.

Drama pertama Amira bersama Hisyam Hamid mendapat sambutan hangat.

Orang terdekat mereka juga walaupun tidak menjawab soalan secara terang-terangan, namun sentiasa mengajak orang ramai supaya mendoakan yang terbaik untuk pasangan tersebut.

Bagaimanapun anak kedua daripada enam beradik itu berkata, setaka ini apa yang boleh dikongsi dengan peminat dan orang ramai, hubungannya dengan pemegang watak Awang dalam filem ‘Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan’ itu adalah sebatas rakan kerja sahaja.

“Memeranjatkan, raya tahun ini tak ada pula orang tanya bila nak kahwin. Mungkin lagu itu telah menjawab sebab ada liriknya jodoh ditakdir Tuhan. Jadi saya rasa mungkin orang pun tahu tujuan lagu itu dikeluarkan adalah meraikan soalan-soalan yang sama.

Menyertai ‘The Masked Singer Malaysia’ bersama adiknya  Irfan Haris.

“Apapun kehadiran lagu itu sebagai satu rezeki yang saya ingat dan syukur juga sebab saya tak sangka penerimaan lagu itu seluas itu. Saya percaya itu satu rezeki yang dipinjamkan dan saya harus ingat serta bersyukur selalu,” kata Amira yang muncul dengan single sulung, “Sesaat Untukku” pada 2013.

Tatkala ditanya, adakah raya tahun ini merupakan sambutan terakhirnya sebagai wanita solo kerana sudah ada calon? Bagaimanapun lulusan Diploma Jurusan Muzik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu amat berhati-hati apabila menjawab soalan media.

“Wallahu a’lam, saya tak tahulah adakah raya tahun ini yang terakhir sambut raya solo atau sebagainya. Saya cuma harapkan yang baik-baik sajalah. Tahun ini dah tak tanya bila nak kahwin, timbul pula soalan baharu, cuti sampai bila?

Peribadinya yang lemah lembut itu membuatkan ramai orang sayang Amira Othman.

“Apapun saya hargai peminat dan penyokong, doakan yang baik-baik saja, saya aminkan. Saya rasa adatlah soalan itu (perihal dirinya dengan Fattah) ditanya sebab kami banyak keluar berdua atas urusan kerja.

“Saya dah lama tak jawab soalan sebegini sebab dah lama tak hadiri acara, cuma akhir-akhirnya ini saja banyak dapat jemputan. Tak ada apa yang nak saya komen buat masa ini, kalau ada kerja kita keluarlah untuk jumpa di acara. Kalau sebaliknya memang atas rakan sekerja sahaja,” kata Amira menjawab soalan tentang keakrabannya dengan Fattah.

Tegasnya, sehingga kini beliau dan Fattah adalah rakan sekerja untuk jenama Jakel dan Rissa Skin. Amira yang melonjak naik dengan single “Hati-Hati” pada 2015 juga menyatakan bahawa beliau dan aktor tersebut bukanlah ‘pakej’ tapi mereka sering dilihat bersama atas kehendak kliens.

Lebih tumpu kepada karier nyanyian sekarang ini.

Sebagai ‘public figure’ yang sering menjadi sorotan ramai, Amira yang pernah berkolaborasi dengan adiknya, Irfan Haris menerusi lagu “Sambil” (2018), bersama Sufian Suhami untuk lagu “Takkan Berubah” (2019) runut bunyi filem ‘Motif’ dan Faizal Tahir menerusi lagu “Alah Bisa” (2022) tidak marah dengan usikan daripada netizen. Sebaliknya, beliau menganggap itu semua satu usikan.

“Biasalah kalau jadi anak seni ni tak lepas daripada gosip, ada kacau-kacau dan sebagainya. Asalkan tidak memudaratkan mana-mana pihak saya tak kisah. Saya tahulah apa yang yang terbaik dan bagaimana nak kendalikan perkara ini, asalkan semuanya dalam kawalan, insya-Allah okey saja.

“Seperti yang saya beritahu sebelum ini, apa-apa saja penerimaan selepas gimik video muzik “Bila Nak Kahwin?” saya terima, baik yang suka atau tidak suka, sudah tentu saya kena terima dengan hati terbuka.

Fattah dan Amira dianggap pasangan serasi, netizen harap hubungan mereka sampai ke jenjang pelamin.

“Sebagai manusia biasa, saya tidak tahu bagaimana rezeki yang telah ditakdirkan untuk saya tapi saya melihat mungkin ada banyak rezeki yang Allah pinjamkan. Apa yang saya boleh cakap hari ini, saya amat mensyukuri perkara-perkara yang baik-baik yang datang dalam kehidupan saya dan terima kasih juga di atas doa yang baik-baik dariapda penyokong dan peminat.

“Saya memang tak boleh meramal tentang kehidupan dan takdir saya. Saya ni orang yang sangat simple, dalam hidup saya percaya saya tidak dapat memuaskan hati semua orang. Apapun, saya percaya setiap urusan itu sudah ditentukan dan saya tak adalah stres. Yang lebihnya saya anggap sebagai asam garam bagi anak seni.

“Kalau mereka (peminat) harapkan yang baik-baik dan doa yang baik-baik, saya perlu sangat daripada semua orang. Sesungguhnya, saya harapkan yang baik-baiklah untuk saya di dunia dan akhirat,” katanya menghargai semua doa daripada orang sekeliling.

Amira amat rapat dengan adik-beradiknya.

Drama kurang kerana lebih nyanyian

Amira yang pernah menyertai program ‘The Masked Singer Malaysia’ musim keempat sebagai peserta Cili Padi Merah pada 2024, memulakan kerjaya lakonan menerusi drama ‘Abang Bomba I Love You’ (2016) menerusi watak Lily bersama pelakon Hisyam Hamid itu mengakui buat masa sekarang tumpuannya lebih kepada nyanyian.

Setakat ini drama lakonan Amira adalah ‘Red Velvet’sebagai Suhaila (2017), ‘Misteri Jenazah’ sebagai Zainab (2018) dan membawa watak Ros untuk drama ‘Patah Sayap Bertongkat Paruh’ (2019). Manakala filem yang pernah dijayakan adalah ‘Tiada Tajuk’ sebagai Cahaya yang dikeluarkan pada 2019.

Sikapnya yang mesra membuatkan peminat senang untuk mendekati Amira.

Selain berlakon, Amira juga berpeluang menjadi pengacara untuk program ‘Nasi Lemak Kopi O’ pada Februari 2017 bersama Talib Husin dan ‘Sembang Sahur’.

“Tawaran untuk berlakon drama ada juga tapi saya tak dapat nak beri komitmen sebab terikat dengan kerjaya nyanyian. Kalau ditanya, saya memang mengutamakan karier nyanyian tapi kalau untuk telefilem, insya-Allah saya tak menolak kerana penggambarannya tak mengambil masa lama seperti drama bersiri.

Amira Othman antara artis yang bebas daripada kontroversi.

“Sekarang ini, selain buat persiapan untuk telefilem tersebut, saya juga ada buat runut bunyi untuk sebuah drama yang bakal ditayang di Astro. Perancangan lain, mungkin saya akan keluarkan beberapa buah lagu lagi, termasuk duet bersama adik saya atau mungkin saya akan keluarkan lagu solo sendiri. Tapi masih lagi dalam proses untuk menyiapkan,” katanya yang baru muncul dengan single “Cinta Terakhirku”, runut bunyi untuk drama ‘Dari Rahim Yang Sama’.

Previous articleSaloma Kuala Lumpur kongsi rezeki dengan waris Biduanita Negara
Next articleSufian Suhaimi tak sabar tunggu kelahiran?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here