Oleh: Khadijah Ibrahim
SELEPAS berjaya mengangkat nama penyanyi cilik Tantari ke persada seni tanah air, kini komposer Eddie Hamid memberi tumpuan kepada seorang remaja yang berasal dari Jerteh, Terengganu iaitu Putera Bobo.
Putera Bobo atau nama sebenarnya, Putera Shah Nasratullah Mohd Nasran, 14, mula mendapat perhatian ramai apabila video dia menyanyikan lagu “Korban Perceraian” dengan memakai pakaian maskot beruang dimuat naik di TikTok dan meraih lebih daripada 5 juta tontonan.
Melihat daripada komen yang ditinggalkan oleh netizen, ramai yang mengaku sebak kerana lagu yang disampaikan oleh Putera Bobo itu sampai ke hati.
Kesinambungan daripada populariti yang diraih oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putra, Kampung Darau Jerteh, Terengganu itu, terciptalah lagu “Korban Rindu” ciptaan Eddie dan lirik dihasilkan oleh Jaju, Hakim Hakimi dan Te Ha.

Proses rakaman dilakukan di NAR Record, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur pada 21 Jun lalu dan lagu “Korban Rindu” terbitan Nova Music itu dilancarkan secara rasmi pada 2 Julai lalu.
Jelas Eddie, melihatkan nyanyian Putera Bobo yang berjaya menyentuh hati ramai pendengar, dia yakin remaja itu mempunyai aura tersendiri dan boleh pergi jauh dalam bidang seni suara.
“Putera ini ada aura tersendiri kerana dia menyanyi dengan hati dan sebab itulah lagu dendangannya sebelum ini sampai kepada pendengar. Saya harap single sulungnya ini dapat membantu Putera untuk melangkah lebih jauh lagi kerana dia masih muda.
“Kita perlukan bakat-bakat muda sebegini untuk menjadi pelapis bagi mengembangkan lagi lagu-lagu tempatan ke peringkat global. Mudah-mudahan menerusi lagu “Korban Rindu” ini Putera berjaya menggapai impiannya menjadi seorang penyanyi yang berjaya,” kata Eddie yang tidak mengambil masa lama untuk mencipta lagu tersebut.
Ramai yang memuji lagu dendangan Putera Bobo ini yang mengetengahkan vibe irama 90-an sampai ke hati tatkala mendengarnya buat pertama kali.
Mungkin ramai yang tidak tahu bakat menyanyi yang dimiliki oleh Putera Bobo datang daripada ibu bapanya, Elyani dan Mohd. Nasran yang aktif dengan kumpulan dikir barat Arwana Seri Muda, Kampung Bukit Rambutan Jerteh.

“Kesemua anak-anak saya boleh menyanyi termasuklah dua orang adik Putera yang berusia lapan dan empat tahun itu. Kakaknya yang sulung selalu menyertai pertandingan dan selalu menang. Abangnya pun aktif juga masa sekolah rendah dulu, cuma rezeki lebih berpihak kepada Putera untuk melangkah ke hadapan.
“Bakat menyanyinya dikesan sejak dari sekolah rendah lagi. Masa tu dia selalu masuk nasyid dan buat persembahan di sekolah. Masa darjah empat dah aktif menyanyi. Dulu masa kami menetap di bandar Kuala Terengganu, saya berhenti aktif dikir barat. Apabila pindah duduk di Jerteh, Terengganu ni abahnya aktif balik dalam dikir barat dengan kumpulan Arwana Seri Muda.
“Bila aktif balik dengan kumpulan Arwana Seri Muda, abah dia pun bawa Putera pergi nyanyi sama. Lepas tu banyaklah show-show yang dia pernah nyanyikan lagu “Korban Perceraian” sebelum viral.
“Dia mula viral seminggu sebelum nak raya hari tu. Ramai yang ingat abah dan maknya berpisah sebab dia nyanyi lagu tu dengan penuh jiwa. Sebenarnya tak pun, dia menghayati lagu saja dan lagu itu pilihannya,” cerita Elyani tentang Putera Bobo.
Tambahnya lagi, Putera suka menyanyikan lagu bergenre sedih walaupun anaknya itu mampu mendendangkan lagu rancak tapi minat Putera lebih kepada lagu yang penuh emosi.
“Saya ingatkan hanya lagu “Korban Perceraian” saja yang sampai ke hati pendengar, lagu lain pun kalau dia bawa orang akan terasa juga. Dia tak ada masuk kelas vokal, saya ajar sikit-sikit kat rumah. Dia memang semula jadi boleh menyanyi.
“Tahun lepas dia pernah sertai program The Chosen One musim kedua, tapi tak ada rezeki. Putera ni kalau karaoke, dia suka nyanyi lagu Lesti Kejora dari Indonesia. Mungkin dia selesa dengan lagu-lagu yang emosi,” katanya yang turut menemani Putera Bobo sewaktu prose rakaman lagu.
Jelas Elyani, selain menyanyi secara solo dan bersama kumpulan dikir barat Arwana Seri Muda, Putera Bobo juga menjadi vokalis untuk kumpulan sendiri iaitu Yuni Band dari Kampung Beris Baru, Kuala Besut.
Elyani bersyukur kerana impian anaknya untuk menjadi penyanyi rakaman tercapai dan sebagai ibu dia tetap menasihati anaknya agar tidak mengabaikan pelajaran dan sentiasa berpijak di bumi nyata.

Selain keluarga yang bersyukur melihat kejayaan Putera, pengasas produk kosmetik Rosel Whitening, Azian Zaid Khan atau mesra dengan panggilan Kak Long turut melahirkan rasa gembira.
Ini kerana, Kak Long bersama suami, Ayah Zack Janggut yang berusaha membuka jalan untuk Putera meraih impiannya.
“Kali pertama tengok Putera Bobo nyanyi kat Uptown Jerteh, masa Ramadan dan hati saya sudah tersentuh mendengar nyanyiannya. Cuma waktu itu, saya tak kenal dia jadi anggap macam biasa sahaja. Kemudian ada kawan, Matyie.Gsr kata dia kenal dan bawa Putera Bobo ke rumah saya.
“Matyie Gsr kata budak ni berbakat dan boleh pergi jauh kalau kena dengan caranya. Cuma tak ada orang yang nak bantu. Dari situlah baru kami kenal rapat. Apabila tengok video dia, hati saya terbuka untuk membantunya,” katanya terus terang.
Kak Long akui tujuan utama dia membantu Putera Bobo bukan kerana mahu menumpang populariti remaja tersebut tapi ikhlas untuk membuka jalan kepada remaja itu agar dapat mencipta nama dalam bidang seni suara.
Tambahnya, selepas bersetuju untuk membantu Putera Bobo mengatur kerjaya seninya, mereka untuk pertama kali diundang menjadi tetamu di konti Molek FM.
“Sewaktu menjadi tetamu Molek FM, kami berbincang dan saya sebagai ‘penjaga’ Putera Bobo dalam industri seni sepakat dengan Molek FM untuk memberi peluang kepadanya untuk ada lagu sendiri.
“Berdasarkan komen-komen daripada netizen dan Molek FM yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan Eddie Hamid, sekali lagi sepakat untuk menggunakan khidmatnya sebagai komposer untuk lagu yang bakal dirakam oleh Putera Bobo.
“Lagipun, masa video dia tular kat TikTok, ramai yang komen nak Eddie Hamid buatkan lagu untuk Putera Bobo. Kita pilih Eddie sebab tahu karyanya bukan biasa-biasa. Lagipun kita dah tengok perjalanan Tantari dan sebab itulah kita pilih Eddie Hamid,” kongsi Kak Long lagi.
Kak Long yang ikhlas mengeluarkan kos untuk perbelanjaan Putera Bobo sehingga menjalani proses rakaman single pertamanya tidak berkecil hati apabila ‘anak didik’nya itu menandatangani kontrak sebagai penyanyi di bawah label Nova Music.
“Bila dah jadi artis ni, dia bebas untuk bergerak. Kita tolong masa dia tak ada apa-apa. Sesungguhnya, saya rasa puas hati sebab mula-mula kenal dia, saya bagi tahu Putera Bobo yang saya dan suami akan bantu dia untuk pergi ke tempat yang sebetulnya.
“Apabila sudah berjanji dan janji itu ditepati, saya rasa bangga dan puas hati sebab dapat bantu orang lain mencapai impian mereka. Alhamdulillah, apabila kita ikhlas membantu orang, hati rasa tenang saja,” katanya terus terang.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









