Oleh: Khadijah Ibrahim
NAMA Cakra Khan sudah kedengaran biasa bagi peminat muzik tempatan kerana dia kerap berulang-alik ke sini sejak lagu “Harus Terpisah” yang dikeluarkan pada 2012 turut mendapat sambutan hangat di Malaysia.
Malah boleh dikatakan penyanyi yang nama sebenarnya, Cakra Konta Paryaman, 33, mungkin lebih banyak menjayakan konsert di sini secara solo atau sebagai artis jemputan berbanding penyanyi tempatan.
Bukan itu saja, dia juga sudah berkesempatan berkolaborasi dengan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi lagu “Seluruh Cinta” pada 2014 selepas mereka pertama kali disatukan di pentas Anugerah Planet Muzik 2013 berduet untuk lagu “Harus Terpisah”. Lagu “Seluruh Cinta” yang dirakam di Jakarta, Indonesia itu juga dimuatkan dalam album Siti yang berjudul “Fragmen”.

Pada Februari tahun lalu, Cakra menjayakan konsert Cakra Khan- A Decade – Live In Kuala Lumpur 2.0 di Plenary Hall, KLCC. Di lokasi yang sama, pada 2 Ogos ini, penyanyi kelahiran Pangandaran, Jawa Barat itu akan mempersembahkan Divine Concert – Cakra Khan yang dianjur oleh Shiraz Projects.
Cakra yang dikenali kerana memiliki suara yang khas dan powerful, serta lagu-lagunya yang bertema cinta dan kehidupan itu berusaha untuk memberikan persembahan yang terbaik untuk peminat yang sentiasa menyokong perjalanan kerjaya seninya itu.
“Jika konsert sebelum ini saya selalu dengan full orkestra dan tampak lebih serius. Kali ini saya berusaha untuk sesuatu yang lebih intimate dan akan ada string sesi tapi tidak sebanyak tahun lalu. Kita lebih kecil sedikit tapi susunannya lebih intimate dan bisa bercanda dengan teman-teman saya kerana band pengiring saya nanti adalah teman-teman yang iringi saya dari awal karier lagi.
“Saya memang cerewet bila soal kerja. Saya amat menitik beratkan soal bunyi kerana bukan orang di depan saja yang dengar baik, di belakang pun harus dengar baik. Itu juga saya persiapkan, kecocokan lagu dengan visual, penataan cahaya (lampu) yang disesuaikan dengan semua tema lagu. Saya sama team memang sering berkomunikasi,” katanya tatkala ditanya tentang persiapan konsert tersebut.

Tambah Cakra, untuk konsert itu nanti, dia akan mendendangkan lagu baharu yang dipetik daripada album “Divine” dan lagu lama yang dibuat susunan baharu.
“Setiap kali ada projek baharu, saya tidak hanya menyanyi sebaliknya saya akan terlibat dari mula lagi. Saya juga akan pastikan penataan cahaya itu sesuai dengan lagu yang akan saya nyanyikan. Justeru itu, untuk konsert ini saya lebih teliti lagi daripada beberapa konsert sebelum ini.
“Dari masa ke semasa, saya selalu belajar dan di konsert ini saya lebih teliti lagi mempersiapkan semuanya dari segi muzik dan panggung saya ikut campur. Fokus saya adalah untuk persiapan acara nanti biar shownya lebih menarik dan bisa dinikmati oleh semua orang.
“Saya latihan terus dan jaga kesihatan, kerana semua pemuzik dari Indonesia jadi lebih sering untuk mengadakan latihan. Total lagu awalnya saya pilih 30 dan selepas hitung durasinya terpaksa dikurangkan. Saya suka nyanyi dan biasanya kalau di pentas saya tak hirau waktu kalau penonton enjoy dengan persembahan saya teruskan saja,” katanya yang mengakui persembahan di Malaysia berbeza dengan penampilannya di Singapura baru-baru ini.
Untuk konsert di Malaysia, barisan artis yang bakal memeriahkan pentas nanti ialah Marsha Milan, Titi DJ, Ade Govinda, Faizal Lubis dan Trio XL.
“Ada beberapa perbezaan di Singapura dan Malaysia. Ada lagu yang saya tambahkan dan kurangkan untuk kedua-dua negara. Di Malaysia saya ada Titi DJ, Marsha Milan, Ade Govinda, Faizal Lubis dan Trio XL.

“Saya pernah nyanyi dengan Marsha sebelum ini di sebuah acara. Cuma untuk bergandingan dengan Marsha, saya belum pernah dan alhamdulilah, dia terima lamaran saya. Ada beberapa artis yang saya approach tapi tak ada jawapan.
“Triao XL menjadi pilihan saya kerana saya ingin memperkenalkan mereka yang popular dengan genre klasikal pop. Saya ingin berkolaborasi pop saya dengan cara mereka menyanyi. Saya sudah terfikir untuk ajak mereka sertai saya sewaktu mereka terkeluar dari CSOIAM (Calpis Soda One In A Million) lagi.
“Begitu juga dengan Mbak Titi, penyanyi legenda di Indonesia. Sebetulnya saya segan juga untuk mengajak dia, takut dia tak mahu. Saya tanya dan dia bersedia dan saya syukuri. Kebetulan kami baru selesai projek lagu duet “Layar” yang merupakan runut bunyi untuk filem ‘Siapa Dia’, arahan Garin Nuqroho.
“Dalam muzik ini saya selalu berfikir dengan siapa pun saya berkolaborasi selagi orang itu beri kerjasama saya dan saling mendukung saya setuju,” katanya yang selesa bekerjasama dengan artis baharu atau lama asalkan ada keserasian.
Bercerita lanjut mengenai album keduanya, “Divine” yang dikeluarkan selepas sekian lama tidak ada produk baharu. Kata Cakra, dia tidak menyesal mengambil masa yang lama untuk tampil dengan album baharu.

“Saya tak menyesal mengambil masa yang lama untuk hasilkan album, terlambat lebih baik daripada tidak menghasilkan sama sekali. Mungkin itu proses saya untuk menyiapkan dengan lebih teliti dan secara mental pun harus siap kerana kita tidak dapat menjangka apa yang akan dikomen oleh pendengar.
“Jadi ketika itu saya sudah bersedia dari segi mental. Setakat ini untuk album “Divine” ada lagu-lagu yang saya bikin sendiri dan di waktu yang sama saya juga terus belajar. Untuk album “Divine” dari segi muzik saya diberi kebebasan untuk memilih genre muzik mengikut kemahuan saya,” katanya yang pernah menyertai program realiti America’s Got Talent pada 2023.
Cakra akui kalau menyertai apa-apa pertandingan, dia sudah bersedia menerima sebarang komen daripada juri atau netizen. Cuma yang membuatkan dia tidak rasa selesa apabila dirinya dibandingkan dengan orang lain.
“Saya selalu anggap komen netizen sebagai hiburan kerana setiap orang ada pandangan tersendiri. Dari dulu setiap kali sertai perlumbaan mungkin saya rasa kurang nyaman kalau ada perbandingan.
“Kalau orang bilang suara saja jelek, saya sudah tak kisah. Bila ada byat perbandingan saya kurang setuju kerana kita semua ada bahagian masing-masing dan menurut saya tak ada yang bisa disamakan. Kerana saya belum tentu belum bisa seperti orang yang dibandingkan dengan saya kerana semuanya punya kelebihan masing-masing.

“Yang selalu dibandingkan dengan saya banyak. Contoh waktu saya seritan AGT, kita tak ada masalah apa-apa tapi kalau dibandingkan seolah-olah kita tak sehaluan pada hal tidak. Saya rasa kurang nyaman kalau dibandingka dengan orang lain.
“Saya orangnya memang sedikit berkongsi tentang peribadi, saya lebih suka kalau peminat mengikuti perkembangan tentang kerjaya saya. Bagi saya perkongsian tentang personal tidak baik kerana saya lebih kepada kerjaya. Kalau saya balas komen netizen pun secara jenaka dan tidak serius,” katanya.
Pencinta haiwan, pelihara 30 ekor kucing
Meskipun pada usia kini, Cakra masih bersendirian namun kehidupannya tidak pernah sunyi kerana di rumah dia ditemani oleh kira-kira 30 ekor kucing peliharaan atau ‘anak bulus’.
“Saya adalah orang yang mudah tersentuh, sebab itulah di rumah saya banyak kucing yang saya ambil di jalanan. Sehingga kini saya ada pelihara 30 ekor kucing di rumah saya di Jakarta, semuanya kucing jalanan.
“Kadang apabila saya pulang dari airport dan nampak ada kucing di jalan, saya ambil kalau tak ada yang punya. Saya sayang haiwan dan bukan kerana bakanya. Kalau kita pencinta haiwan kita tidak akan lihat bakanya, asalkan kucing itu sihat.

“Saya tidak perlu maid untuk saya tapi untuk kucing harus ada. Kita kalau merawat haiwan itu mesti selalu ada di rumah. Kos untuk penjagaan kucing dalam seminggu termasuk dengan rawatan veterina dan makanan mungkin Rp20 juta sekitar RM6,000.
“Saya tak peduli atau tak pernah takut kehabisan wang untuk merawat kucing-kucing peliharaan. Saya yakin semuanya pasti ada jalan. Kelmarin saya baru ambil seekor kucing, ia ada masalah jantung dan perlu oksigen, jadi saya beli oksigen generator untuk kemudahan kucing itu. Saya selalunya melakukan hal terkecil biar saya rasa diri saya berguna. Ketika rezeki ada di rumah saya ada bahagian rezeki saya untuk mereka,” katanya yang memelihara kucing sejak tiga tahun lalu.
Selain memelihara kucing sebagai teman dan terapi, Cakra juga suka berkebun terutamanya menanam sayur-sayuran. Minatnya pada aktiviti berkebun kerana sering melihat ibunya menanam sayur-sayuran di kampung.
“Saya suka menanam sayuran kerana ibu saya suka tanam sayuran juga dan memang ada kebun. Kalau tanam cili, hasilnya akan dikongsi dengan jiran.
“Di Jakarta, saya juga punya poko cili sendiri, moringa (pokok kelur) sendiri, papaya, halia dan kecombrang (bunga kantan). Berkebun ini bukan sekadar hobi tetapi juga sebagai satu terapi jiwa.
“Cara saya untuk recharge diri adalah dengan bekerja atau berlibur. Bersama haiwan yang saya pelihara dan menanam pokok di rumh juga sebagai salah satu cara untuk refresh my mind,” katanya tanpa berselindung.
Selalunya sayur-sayuran yang ditanam itu sering dijadikan bahan tambahan untuk makanan kegemarannya iaitu mi segera perisa kari yang sering dibeli setiap kali berkunjung ke Malaysia.
“Ibu selalu cakap kalau mau mi segera itu lebih enak, perlu ada rencah terutamanya sayur-sayuran, bukan sekadar rendam dalam air panas begitu saja. Tiap kali datang Malaysia, aku akan beli banyak mi segera untuk dibawa balik ke Indonesia dan pasti aku akan ‘ditahan’ pegawai imigresen,” katanya yang juga tidak melepaskan peluang menikmati mi goreng mamak setiap kali berkunjung ke Malaysia.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









