Oleh: Khadijah Ibrahim
SEDAR tak sedar sudah empat single dikeluarkan oleh penyanyi Kael bersama Alternate Records sejak 2021 iaitu “Cinta Jatuh”, “Sentuhan” (2022), “Teduhan Kasih” (2023) dan terkini, “Angkasa”.
Tidak dinafikan lagu-lagu dendangn Kael sedap didengar dan dijadikan runut bunyi untuk drama tempatan seperti ‘Mr Bibik” dan “Sentuhan Najwa”. Namun ramai yang masih tidak mengenali siapakah pemilik suara yang melantunkan lagu-lagu berentak pop balada itu.
Menariknya, pelantun suara itu bukan setakat menyanyi, dia juga pernah berlakon dalam drama tempatan seperti “Awak Suka Saya Tak”, “Jodoh-Jodoh Annisa” dan “Cupid Co” sebagai Tim yang disiarkan di platform iflix.
Melihat kepada nama dan nyanyiannya pasti ada yang menyangka Kael adalah penyanyi berbangsa Melayu tapi sebaliknya kerana Kael atau nama sebenarnya, Michael Lean Chien Er, 36, adalah pemuda keturunan Cina peranakan Siam.
Penyanyi yang berasal dari Klang, Selangor itu mula mendapat perhatian ramai selepas dia menyertai program realiti ‘Lagu Cinta Kita’ musim kedua pada 2021. ‘Lagu Cinta Kita’ adalah sebuah program realiti berdasarkan rancangan TV realiti Korea Selatan, ‘Love At First Song’ terbitan CJ ENM.

Kael tidak terdesak untuk melakukan publisiti bagi memastikan kerjaya seninya berjalan lancar kerana secara peribadi dia adalah seorang kaunserlor dan bekerja dalam bidang pembangunan belia dan pemegang Ijazah dalam kaunseling psikologi.
Namun Kael yang terlibat secara menyeluruh dalam penulisan, gubahan dan pembangunan visual untuk “Angkasa” single keempatnya itu meluahkan rasa terharu.
“Lagu ini sangat peribadi. Ia menonjolkan sisi saya yang sebenar dan paling tulen. Salah satu cabaran adalah untuk mencari perkataan yang tepat dari dalam hati sendiri dan membentuknya menjadi melodi yang puitis dan bermakna.
“Angkasa” merupakan sebuah lagu cinta paling romantis dalam zaman ini, dihasilkan dengan niat untuk menyentuh hati para pendengar. Romantis itu tidak boleh dipalsukan.
“Lagu ini saya dedikasikan kepada semua pasangan, sahabat dan pencinta. Ia sesuai dimainkan dalam majlis perkahwinan, ulang tahun, video istimewa, malah hanya untuk menyatakan betapa kita menghargai seseorang yang kita cintai,” katanya yang berkolaborasi bersama komposer Omar K dan penerbit muzik berbakat, Iqie Hugh.
Jelasnya, proses pembikinan lagu tersebut mengambil masa sekitar tiga bulan, termasuk penulisan, susunan muzik dan rakaman vokal. Manakala, sesi rakaman vokal utama pula hanya mengambil masa satu hari, hasil kerjasama yang cemerlang antara artis dan penerbit.

“Saya berharap lagu ini menjadi kegemaran semua. Doakan agar “Angkasa” dapat menembusi ke negara jiran dan membawa nama seni Malaysia ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya yang bersemangat melangkah lebih jauh sebagai seorang artis sejati.
Sementara itu, Omar K mengakui Kael sebagai artis yang amat profesional, bersedia dan bersemangat tinggi ketika berada di studio. Ini kerana “Angkasa” bukan sekadar sebuah lagu cinta, tetapi sebuah manifestasi emosi dua jiwa yang mencintai namun terpisah oleh realiti yang berbeza, ibarat siang dan malam yang berkongsi langit yang sama.
“Diilhamkan oleh konsep cinta dua dunia, “Angkasa” merangkumi tema kesetiaan, harapan dan keindahan dalam ketidaksempurnaan. Mesej utama lagu ini adalah tentang kepercayaan terhadap cinta yang tulus walaupun berada dalam situasi yang tidak ideal. Jika cinta itu ikhlas dan kuat, mereka tetap bersatu secara emosi dan spiritual di ‘Angkasa’ yang sama,” jelas Omar K.
Tambahnya, keunikan “Angkasa” terletak pada susunan muzik yang minimal tetapi sarat emosi, membolehkan vokal Kael menyerlah dengan penuh nuansa.
“Melodinya yang tidak konvensional, tampak lembut tetapi kuat, sedih namun penuh harapan, menambahkan elemen dramatik yang sinematik dan atmospherik.
“Dengan genre pop balada moden yang digabungkan dengan elemen elektronik minimal dan atmosferik, “Angkasa” memberi rasa ‘ethereal’ yang melambangkan kebebasan emosi di langit luas,” jelas Omar K tentang lagu yang boleh didengarkan di semua platform penstriman digital seperti YouTube Music dan Spotify.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









