Duta vokalis Sheila On 7 mendendangkan lagu-lagu popular kumpulan tersebut.

Oleh: Khadijah Ibrahim

SUDAH lama peminat-peminat tempatan menanti kehadiran kumpulan Sheila On 7 untuk beraksi di Malaysia. Akhirnya impian mereka untuk melihat kumpulan tersebut mengadakan persembahan di depan mata, menjadi realiti.

Selepas lebih sedekad tidak mengadakan persembahan di sini, 26 Julai lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil, kumpulan asal Yogyakarta itu muncul memeriahkan ‘Latihan Pestapora Malaysia 2025’, acara festival muzik mega anjuran bersama syarikat Hitman Solutions dan Boss Creator.

Sorakan bergema sebaik intro lagu pertama dimainkan, membuktikan kesetiaan peminat Malaysia terhadap Sheila On 7 masih lagi utuh. Ribuan peminat menyanyikan lagu bersama dari awal hingga akhir persembahan dengan penuh emosi dan tenaga.

Penonton teruja dan turut menyanyi bersama Duta.

Kumpulan yang dianggotai oleh Akhdiyat Duta Modjo (vokalis), Eross Candra (gitar utama) dan Adam Muhammad Subarkah (bass), mempersembahkan rangkaian lagu ikonik mereka seperti “Dan”, “Melompat Lebih Tinggi”, “Sephia”, “Kita”, “Sahabat Sejati” dan banyak lagi.

Selain Sheila On 7, festival yang diadakan di dua pentas utama, “Main Stage” dan “Hingar Bingar” menampilkan lebih 25 persembahan daripada .Feast, Hindia, Nadin Amizah, Barasuara X Efek Rumah Kaca, Bittersweet, Bunkface, Dolla, Pamungkas, Feel Koplo, Kunto Aji, Salammusik, Sheila on 7, Alvn, Aziz Harun, DJ CZA, Dukes, Elva Suyan, Fahimi, Empty Page, Gaston Pong, Ismail Izzani, Julia Duclos, Killa Driz, Lil J, Naki, Sonaone dan Yonnyboii.

Festival yang membawa konsep “latihan” menjelang edisi utama Pestapora Jakarta 2025 yang bakal berlangsung pada 5 – 7 September ini berjaya mencipta sejarah tersendiri sebagai platform kolaborasi dua hala antara artis Malaysia dan Indonesia.

Kumpulan Bunkface antara artis tempatan yang menjayakan Latihan Pestapora Malaysia 2025, baru-baru ini.

Secara tak langsung, festival ini mencerminkan kepelbagaian genre muzik serantau yang kini semakin mendapat tempat di peringkat global. Gabungan artis Malaysia dan Indonesia yang mewakili pelbagai genre seperti pop, rock, hip-hop, indie dan dangdut, menjadikan festival ini sebagai ruang ekspresi paling inklusif dan pelbagai.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Solutions, Rohit Rampal, kejayaan acara ini adalah bukti bahawa Malaysia mampu menjadi tuan rumah kepada festival antarabangsa berskala besar.

“Merealisasikan Latihan Pestapora di Malaysia adalah satu pencapaian besar. Ia bukan sahaja kejayaan produksi, tetapi juga simbol kejayaan budaya.

“Kami membawa satu IP (harta intelek) festival antarabangsa ke Malaysia dan berjaya membuka ruang untuk penonton tempatan dan luar negara menikmati pengalaman ini di tanah air sendiri,” katanya.

Tambah Rohit, meskipun pelbagai cabaran timbul, terutamanya menyelaras keperluan lebih 25 artis tempatan dan antarabangsa, semuanya dapat diatasi hasil kerjasama erat seluruh pasukan dan rakan strategik.

Kehadiran artis wanita turut memeriahkan acara yang menampilkan pelbagai genre muzik itu.

Melihat kepada sambutan luar biasa yang dihadiri kira-kira 25,000 penonton dan maklum balas positif daripada peminat serta media, penganjur menyatakan hasrat menjadikan Latihan Pestapora Malaysia sebagai acara tahunan.

“Kami yakin ini hanyalah permulaan. Dengan sokongan luar biasa, kami bersemangat untuk memperluas skala penganjuran dan membuka lebih banyak peluang kolaborasi seni rentas negara,” akui Rohit.

Latihan Pestapora Malaysia 2025 bukan sekadar festival, tetapi satu gerakan budaya yang menyatukan muzik, semangat dan jiwa dua negara serumpun. Dengan kehadiran ribuan peminat, festival ini membuktikan bahawa Malaysia bersedia menjadi pusat tumpuan baharu festival muzik serantau.

Sonaone mengadakan persembahan dengan gaya tersendiri.

Sementara itu, Pengarah Festival Pestapora & Pengasas Bersama Boss Creator, Kiki Ucup menyifatkan festival ini sebagai satu pergerakan budaya yang penting.

“Kami melihat sendiri bagaimana peminat dari Malaysia terbang ke Jakarta saban tahun untuk menyertai Pestapora. Kini tiba masanya kami bawa ‘latihan’ ke sini agar rakyat Malaysia juga dapat merasai magisnya. Ini lebih daripada sekadar konsert, ia adalah pengalaman membina komuniti dan semangat serantau,” katanya.

Walaupun mengekalkan semangat dan konsep asal Pestapora Jakarta, edisi Malaysia ini membawa kelainan tersendiri dengan platform untuk mengetengahkan bakat baharu dan alternatif tempatan, vendor makanan tempatan yang menonjolkan cita rasa Malaysia, serta aktiviti interaktif dan ruang bergambar yang sesuai untuk semua lapisan umur.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here