Oleh : Nafsiah Jani

Industri muzik tanah air semakin rancak dengan himpunan konsert tanpa henti. Dari artis solo sehingga berkumpulan, semuanya gah menggegarkan venue. Kini, tiba masa untuk barisan otai -otai lama yang mungkin sudah dilupakan, muncul kembali menghiburkan peminat dengan “killer song” mereka.

27 September ini, 10 otai tahun 90-an bakal menggegarkan RCDbig Studio, Level 5, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada jam 9 malam dengan persembahan memukau mereka dalam Konsert Jelajah Nostalgia Rockestra 90’an.

Konsert ini dibarisi oleh Blank (Gamma), Aan (Ways), Burn (Meditasi), Renggo (Arrow), Isa (Gravity), Azan (Scan), Shafie (Rio), Afee (Utopia), Wom (UG14) dan Aju (Success).

Atok Blank Gamma antara artis yang paling otai akan menghiburkan penonton yang hadir memberi sokongan.

Pengarah Projek 211 Event Empire, Intan Madura berkata,Lokasi yang dipilih, boleh menempatkan seramai 1200 orang penonton dalam satu-satu masa.

“Namun, peminat yang tidak berkesempatan datang ke Plaza Alam Sentral, masih boleh menikmati konsert secara streaming dengan bayaran RM20.00 walau dimana sahaja mereka berada.

“ Sehingga kini, lagu-lagu penyanyi yang kami pilih masih banyak dinyanyikan di pusat-pusat karaoke.Kami tahu mereka ada ramai peminat, namun peminat generasi baru tidak berapa mengenali mereka. Besar harapan kami, melalui konsert ini peminat akan lebih mengenali penyanyi pujaan mereka secara lebih dekat lagi.

“Setiap artis akan menyampaikan dua buah lagu yang pernah menjadi `killer song’ mereka pada satu waktu dulu. Persembahan mereka bakal diiringi kumpulan Orkestra Polis Diraja Malaysia (PDRM).”

Sementara itu Renggo Arrow yang ditemui menyatakan rasa gembira dapat bersama otai-otai lama atas satu pentas.

Renggo Arrow menjanjikan sebuah persembahan yang mantap.

“Dah lama tak jumpa gang-gang dan seronok rasanya. Walaupun tidak berapa sihat namun saya tetap akan memberikan persembahan mantap kerana dunia nyanyian adalah jiwa dan minat saya sejak dulu lagi,”.

Blank Gamma yang mesra dengan panggilan Atok juga berkata, dia tidak sangka masih ada pihak yang ingin dan berminat memanggil mereka untuk beraksi.

“Dah lama saya nanti saat ini kami otai-otai lama bergabung atas satu pentas. Harapnya persembahan kami nanti dapat sambutan hangat kerana lagu-lagu yang kami nyanyikan adalah lagu-lagu malar segar dan mudah untuk diingati liriknya.”

Tiket-tiket dijual pada harga RM188 untuk Bronze zone, Silver (RM288), Gold (RM388), tiket Platinum (RM488) dan tiket VIP dijual pada harga RM1888. Bagi penonton yang ingin menyaksikan konsert secara streaming, tiket dijual pada harga RM20 sahaja. Tiket boleh dibeli menerusi www.211eventempire.com.

Majlis ini turut mendapat tajaan beberapa pihak antaranya RCD Big Studio, Radii Acm Sdn., Bhd., USK Services Sdn Bhd, Zayaan Group International Sdn, Bhd.,Terminal Tech, Pro X Protection dan Stop Human Trafficking (SHUT).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here