AMT2025 mempertandingkan kira-kira 12 kategori yang bakal diketahui pemenangnya pada 3 Ogos ini.

Oleh: Khadijah Ibrhim

JARANG berlaku dalam dunia politik tempatan apabila keakraban ahli politik terutamanya yang berlainan gender dijadikan berita di media sosial. Bukan tidak ada ahli politik rapat dengan golongan selebiriti sebelum ini tapi hubungan tersebut tidak dihebohkan dan hanya yang terbabit sahaja mengetahui.

Namun dalam era digital sekarang, semua perkara perlu dikongsi di media sosial dan ia bergantung kepada pendirian individu berkenaan. Jika yang terbabit bersikap terbuka, ia tidak menjadi halangan untuk nama mereka menjadi bualan ramai.

Syed Saddiq dan Bella Astillah tercalon untuk kategori Selebriti Couple Goals di Anugerah Melodi Terhangat 2025.

Salah satu pasangan yang menjadi perhatian ramai adalah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 33, dengan artis Bella Astillah atau Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31. Mereka mula mendapat perhatian ramai selepas digandingkan sebagai duta bagi satu jenama baju raya pada tahun ini.

Siapa sangka dek keakraban itu, pasangan yang digelar BASS yang mendapat sokongan netizen itu turut tercalon bagi Kategori Selebriti Couple Goals Terhangat di Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT2025) yang akan berlangsung pada 3 Ogos ini di Dewan Putra, Pusat Dagangan Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Fattmira gabungan nama Fattah Amin dan Amira Othman juga tercalon untuk kategori Selebriti Couple Goals.

Selain BASS, pasangan popular lain yang turut tercalon dalam kategori tersebut adalah Fattah Amin dan Amira (FattMira), Syafiq Kyle dan Mimi Lana, Dini Schatzmann dan Janna Nick serta Nabil Mahir dan isteri, Ayda Jebat.

Namun gurauan manja Syed Saddiq dan keselesaan yang terpancar dalam hubungan mereka menjadikan pasangan ini unik dan antara calon terkuat merebut gelaran tersebut tahun ini.

BASS tidak hanya serasi di mata, tetapi seolah-olah dua jiwa yang ditemukan pada waktu yang tepat untuk saling melengkapi. Populariti yang tercetus secara semula jadi inilah yang mendorong mereka tersenarai sebagai calon dalam kategori Selebriti Couple Goals Terhangat, sekali gus menempatkan mereka sebagai pasangan paling mencuri tumpuan di AMT2025.

Janna Nick dan suami, Dini Schatzmann juga tercalon untuk AMT2025.

AMT2025 yang bakal dikendalikan oleh Ain Edruce dan Fikry Ibrahim itu turut menampilkan beberapa kategori lain yang menjadi rebutan penggiat seni.

Antara kategori yang dipertandingkan adalah Selebriti Drama Sangat Terhangat, Tonton Original Terhangat, Selebriti Ikon Terhangat, Selebriti Maskulin Terhangat, Selebriti Feminin Terhangat, Selebriti Muzik Paling Onz & Terhangat, Selebriti Trending Terhangat, Selebiriti Stailo Terhangat dan Selebriti Newcomer Terhangat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here