Oleh : Asmat
Pernah tak, tengah lena tidur, tiba-tiba rasa betis mengeras, jari kaki menegang, rasa macam nak menjerit tapi suara tak keluar. Orang lain mungkin tak nampak, tapi mereka yang pernah alami, tahu betapa peritnya saat itu.
Itulah yang dipanggil ‘simpul biawak’ atau Tarik mengkarung. Ia merujuk pada kekejangan otot betis. Lazimnya berlaku sewaktu bersukan atau tidur waktu malam. Lagi parah ia kerap berlaku pada wanita sedang hamil. Sakitnya itu hanya Allah yang tahu.
Menurut seperti yang dikongsi Public Health Malaysia antara tindakan kecemasan yang boleh diambil jika berdepan situasi getir itu.
1. Tarik jari kaki ke arah badan regangkan otot perlahan.
2. Urut perlahan kawasan kejang
3. Letak tuala suam
4. Bernafas tenang jangan panik
5. Letak kaki lebih tinggi selepas reda, untuk bantu aliran darah.

Punca terjadinya ‘simpul biawak’
Jika anda alami tarik mengkarung lebih dari 3 kali seminggu, sangat sakit, atau tidak lega selepas beberapa minit, elok berjumpa doktor untuk pastikan tiada masalah kesihatan tersembunyi.
Terdapat banyak punca terjadinya `simpul biawak’ ini, namun paling utama sekali adalah kerana dehidrasi. Iaitu kurang minum air, kehilangan banyak air melalui peluh dan kencing. Selain itu juga boleh jadi disebabkan kurang garam mineral dalam badan. Garam mineral ini juga termasuk kekurangan sodium, potassium yang boleh didapati dari pisang, bayam dan yogurt.
Antara sebab lain juga adalah kepenatan atau kecederaan: senaman atau aktiviti fizikal mengejut atau berlebihan. Ia juga boleh jadi disebabkan posisi tidur yang tidak betul seperti tidur dengan kaki tertindih atau terlibat sehingga menjejaskan peredaran darah. Akhir sekali mungkin disebabkan pengambilan ubat seperti ubat kolesterol (statin), hydroclorothiazide iaitu ubat darah tinggi dan lain-lain lagi.
Namun di bawah ini kami kongsikan juga beberapa faktor lain juga yang menyumbang kepada masalah ‘simpul biawak’ ini. Faktor itu adalah seperti:
1. Pesakit diabetes: kerana berlaku kerosakan saraf dan salur darah pada kaki.
2. Penghidap hipotiroid: kekurangan hormon tiroid ganggu fungsi otot.
3. Wanita hamil: lazimnya kerap berlaku pada trimester ke-3
4. Warga emas: penuaan menjejaskan fisiologi dan pemulihan tubuh.
5. Pesakit buah pinggang: kawalan keseimbangan garam mineral terjejas.
#ikuti sambungan akan datang mengenai `simpul biawak’ ini dengabn lebih mendalam lagi.#

ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.









