Oleh : Asmat
Kekejangan atau ‘simpul biawak’ ini amat cukup menyakitkan. Apabila ia menyerang, memang tak boleh buat apa, terpaksa tahan. Namun ada beberapa keadaan yang membimbangkan bila kekejangan ini menyerang. Jika berlaku seperti ini, segeralah berjumpa doktor.
1. Kesakitan yang teruk: Ini boleh menjadi tanda keadaan yang lebih serius, seperti trombosis urat dalam atau bekuan darah.
2. Bengkak: Ini boleh menjadi tanda pembekuan darah atau keadaan serius lain.
3. Sesak nafas: Jika anda mengalami kekejangan kaki bersama-sama dengan sesak nafas, ia boleh menjadi tanda pembekuan darah di dalam paru-paru.
4. Sejarah pembekuan darah: Jika anda mempunyai sejarah pembekuan darah atau masalah perubatan lain yang meningkatkan risiko pembekuan darah anda, amat penting untuk mendapatkan rawatan perubatan jika berterusan pada masa yang lama atau teruk.
Jika terkena ‘simpul biawak’, nak buat apa?
Jika punca kekejangan kaki anda dikenal pasti, mungkin ada peluang untuk menangani dan merawat puncanya. Namun, jika punca kekejangan kaki anda tidak diketahui (kejang kaki idiopatik utama), gabungan senaman dan ubat penahan sakit adalah disyorkan.
Walau bagaimanapun ada beberapa cara yang mungkin boleh dilakukan jika terkena ‘simpul biawak’. Anda boleh mengikut semua cara-cara di bawah bagi mendapatkan keredaan.
1. Tuam otot dengan air, balut ais dalam tuala kecil, dan tekap pada otot betis. Tuam keseluruhan tempat kerana ‘simpul biawak’ biasanya menyerang betis. Urut dan tuam hingga rasa lega.
2. Ambil ubat tahan sakit seperti Paracetamol (Panadol).
Ubat tahan sakit boleh beri kelegaan sekejap dengan kadar segera. Jika tidak mampu, ambil dua biji dan baring.
3. Gunakan Air Panas atau Pad Haba
Menurut Arthritis Foundation, haba membantu melancarkan peredaran darah dan melegakan otot yang tegang. Anda boleh menggunakan pad haba elektrik, botol berisi ais panas, atau tuala yang direndam dalam air suam dan diletakkan pada kawasan yang mengalami kejang.
4. Latihan Regangan
Regangan Otot Betis:-
5. Berdiri kira-kira satu meter dari dinding, dengan kedua-dua tapak kaki rata di atas lantai.
6. Sandarkan badan ke dinding dengan tangan lurus ke depan dan telapak tangan menyentuh dinding.
7. Pastikan tumit tidak terangkat.
8. Tahan posisi ini selama 10 saat dan ulangi 5–10 kali.
Regangan Otot Hamstring
1. Duduk di lantai dengan kedua-dua kaki diluruskan ke depan.
2. Tarik jari-jari kaki ke arah lutut sehingga terasa regangan di bahagian belakang paha.
3. Tahan selama 30 saat.
Regangan Otot Paha Depan
4. Berdiri tegak sambil berpegang pada kerusi atau dinding untuk sokongan.
5. Tarik salah satu kaki ke belakang ke arah punggung dan pegang pergelangan kaki untuk mengekalkan posisi.
6. Tahan selama 30 saat dan tukar kaki.

Amalan untuk elakkan terkena simpul biawak
Sebenarnya mungkin ramai tidak tahu ‘simpul biawak’ ini boleh dikurangkan risikonya jika kita berjaga-jaga. Antara tips berjaga-jaga yang boleh dilakukan Adalah seperti berikut:
Amalkan Pengambilan Suplemen
Mengambil suplemen tertentu juga boleh dijadikan sebagai salah satu cara hilangkan kejang kaki ketika tidur, terutamanya jika puncanya berkait rapat dengan kekurangan mineral penting dalam badan.
Gunakan Stoking dan Selimut Tebal
Bagi mereka yang terdedah kepada suhu sejuk, penggunaan stoking dan selimut tebal adalah sangat berguna sebagai cara hilangkan kejang kaki ketika tidur. Ini kerana apabila kaki menjadi terlalu sejuk, ia dikhuatiri salur darah boleh mengecut dan menyebabkan aliran darah ke otot menjadi tak lancar. Keadaan ini boleh mencetuskan kejang secara tiba-tiba, terutamanya di bahagian betis.
Memakai stoking yang selesa dan tidak terlalu ketat boleh membantu mengekalkan kehangatan kaki sepanjang malam, manakala penggunaan selimut tebal pula memastikan seluruh badan, termasuk kaki, sentiasa berada dalam suhu yang stabil.
Minum Banyak Air Kosong
Minum air kosong yang mencukupi setiap hari adalah asas penting dalam menjaga kesihatan otot dan mencegah kejang kaki, terutamanya pada waktu malam. Dehidrasi boleh menyebabkan gangguan fungsi otot dan mencetuskan kekejangan secara tiba-tiba.
Amalkan Pemakanan yang Sihat
Kajian mendapati kekejangan otot sering dikaitkan dengan kekurangan nutrien penting seperti magnesium, kalsium, kalium dan vitamin B yang berperanan dalam fungsi saraf dan otot.
Dengan mengamalkan diet seimbang yang kaya dengan buah-buahan, sayur-sayuran berdaun hijau, bijirin penuh, kekacang, produk tenusu rendah lemak serta sumber protein yang sihat seperti ikan dan telur, anda dapat memastikan tubuh mendapat bekalan mineral dan vitamin yang mencukupi untuk menyokong fungsi otot yang normal.
Misalnya, pisang, avokado dan air kelapa kaya dengan kalium; bayam dan kekacang membekalkan magnesium; manakala susu dan yogurt memberikan sumber kalsium yang baik.
Penutup
Justeru, jika anda atau orang tersayang mengalami ‘simpul biawak’ atau kekejangan, janganlah ambil mudah. Dapatkan nasihat perubatan dengan segera apatah lagi ia kerap berlaku. Kekerapan itu dikhuatiri ada kaitan dengan masalah kencing manis, hipotiroid, buah pinggang, dan sebagainya. Semoga bermanfaat

ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.









