Oleh : Nafsiah Jani
Bayangkan. Umur belum mencecah 30 tahun, tapi rambut sudah putih. Sudah pasti ini akan mengganggu keyakinan diri, menjejas imej dan keterampilan seseorang tak kira lelaki ataupun perempuan.
Tiada siapa yang mahu mengalami keadaan seperti itu. Boleh tertekan jadinya hanya disebabkan masalah rambut yang beruban. Namun sebenarnya, rambut yang berwarna putih atau kelabu adalah tanda penuaan normal pada mereka yang telah berusia.
Sebenarnya folikel rambut mempunyai sel pigmen yang menghasilkan melanin yang berfungsi sebagai zat yang memberi warna pada rambut. Lazimnya, semakin usia meningkat sel-sel ini akan mula mati dan pigmen akan berkurangan. Apabila tidak mempunyai pigmen, setiap helai rambut akan mula menjadi lebih ringan.
Lama kelamaan, perlahan-lahan rambut juga akan bertukar menjadi warna putih. Ini proses yang normal bagi orang-orang yang sudah berusia.
Menurut kajian, ada juga rambut hitam yang bertukar menjadi putih sebelum masanya selalunya mempunyai kaitan dengan masalah seperti genetik, kurang vitamin, stres atau tekanan, pengambilan ubat-ubatan, penggunaan produk rambut yang tidak bersesuaian, faktor gaya hidup dan sebagainya.
Selain itu disebabkan kerap mewarnakan rambut, merokok mempunyai risiko rambut beruban sebelum usia 30 tahun dan adayang mempunyai masalah kesihatan dan perlu mengambil ubat-ubatan, ia juga meningkatkan risiko rambut cepat beruban walaupan usia baru mencecah 20-an dan 30-an tahun.

Jadi, apakah puncanya dan bagaimana cara untuk melambatkan proses penuaan awal ini?
- Ambil makanan yang kaya dengan antioksidan juga boleh melambatkan proses rambut beruban dan pastikan ia berkhasiat, selain mengamalkan gaya hidup sihat. Antara makanan yang dicadangkan ialah buah beri, buah, sayuran hijau dan anggur merah.
- Minyak kelapa juga boleh digunakan. Bila nak tidur malam, lumur dan urut minyak kelapa pada rambut serta kulit kepala dan bilas ia selepas bangun dari tidur. Menurut kajian, mengurut rambut dengan minyak kelapa dapat membantu meningkatkan peredaran darah, memulihkan warna rambut dan mencegah uban.
- Daun kari dihancurkan hingga menjadi pes dan bancuh pes 1/4 daun kari bersama 1/2 yogurt dan sapukan ia pada rambut serta kulit kepala dan basuh selepas 30 minit. Ulang 2 ke 3 kali seminggu. Insya-Allah anda akan gembira dengan hasilnya.
Cara lain, rebus segenggam daun kari bersama 3 sudu makan minyak kelapa. Angkat, sejukkan dan saringkan minyak. Biarkan sejuk kemudian urut di kulit kepala selama 15 minit dan usapkan rata pada rambut. Biarkan selama 30 minit atau semalaman. Kemudian bilas bersih dan cuci rambut dengan syampu dan perapi. Ulang dua hingga tiga kali seminggu. - Kisar bawang merah hingga menjadi pes. Dua kali seminggu, lumur dan urut pes ini pada rambut dan kulit kepala. Biarkan selama 30 minit dan selepas itu bilas dengan air bersih dan anda akan teruja dengan kesannya.
- Buah amla bukan sahaja boleh dilumur dan disapu pada kepala, malah buah amla segar ini juga boleh diminum untuk kesihatan rambut dan kulit kepala anda.
- Rosemary kering juga boleh digunakan bersama minyak zaitun extra virgin. Campur kedua-dua bahan ini dan biarkan di tempat cerah selama enam minggu. Dalam pada itu kacau-kacau selalu bahan ini. Setelah enam minggu, gunakan sebagai minyak rambut dan ia mampu menghilangkan uban.
- Parut satu sendok halia dan campurkan ke dalam air teh yang dicampur bersama madu. Selain mengelakkan rambut beruban, ia juga membuatkan rambut kelihatan sihat dan bersinar.
- Lidah buaya kaya dengan pelbagai khasiat dan sering digunakan sebagai pewarna semula jadi mewarnakan rambut. Ia bukan saja mampu menghitamkan rambut, tapi juga melebatkannya. Ambil bahagian lidah yang bertekstur seperti gel. Sapukan pada rambut, sapu rata dan kemudian bilas bersih dengan air sejuk. Kemudian cuci rambut bersih dengan syampu. Amalkan dua hingga tiga kali setiap seminggu.
- Menurut kajian, biji buah betik mengandungi pigmen yang serupa dengan melanin dan khasiat dari zat ini dapat membantu untuk menghitamkan rambut. Caranya jemur biji betik hingga kering. Kemudian tumbuk atau kisar hingga halus dan campurkan dengan minyak kelapa secukupnya. Kemudian sapu dan urut pelahan-lahan dikepala. Biarkan 30 minit atau sampai kering. Kemudian bilas bersih dan syampu rambut.
- Masker bunga raya dapat menguatkan, memelihara folikel rambut dan merangsang penumbuhan rambut yang sihat serta mencegah rambut beruban secara pramatang. Ia juga boleh menjadi agen pewarna rambut. Caranya ambil 10–15 kuntum bunga raya dan bilas hingga keluar lendir. Basahkan rambut terlebih dahulu dan lumurkan lendir tersebut pada rambut. Biarkan selama 3-5 minit dan bilas rambut hingga bersih. Ulangi cara ini 2-3 kali seminggu. Hasilnya mungkin tidak dapat dilihat serta merta. Namun ia dapat melambatkan proses penuaan rambut. Selamat mencuba!

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.









