Penyanyi yang suka merendah diri...Syamel Amzah

Oleh : Nafsiah Jani

Walaupun tidak memenangi sebarang gelaran ketika menyertai pertandingan Gimme The Mic Malaysia 2024, namun ini tidak mematahkan semangat penyanyi Syamel Amzah,34, yang akan terus menyanyi selagi diperlukan.

“Syamel adalah syamel dan bukannya saya main buat-buat suara nak tiru penyanyi Datuk Nash atau sesiapa. Suara Datuk Nash lagi power. Dah memang begini suara saya yang sebenarnya serak-serak.

“Saya juga pernah masuk sebuah program TV membawakan lagu Chakra Khan dan juri kata jangan tiru atau nampak macam suara penyanyi lain. Saya bukan meniru…tapi inilah suara saya. Suara saya memang serak sejak kecil hingga sekarang ini dan ada yang gelar suara saya macam orang tua,”kata Syamel anak kelahiran Kluang, Johor ini.

Syamel ditemui selepas mengadakan Mini Showcase Mickey Klaxson & Syamel Amzah anjuran 211 Event Empire di IDEAS Hotel, Kuala Lumpur yang menyatukan artis-artis ternama dari Malaysia dan Aceh, sekali gus menjadi jambatan budaya dua negara serumpun.

Selain Syamel dan Mickey Klaxson majlis turut dihangatkan dengan penampilan John Bear Si Nakal, Ameerais Forteen dan The Potai’s Band. Turut hadir memeriahkan acara ialah rombongan khas dari Aceh termasuk Yang Terhormat Tengku Irsyadi serta Ustaz Fauzan, memberi simbolik kepada ikatan persahabatan antara Malaysia dan Indonesia.

Lebih istimewa, penonton bukan sahaja berpeluang menyaksikan persembahan secara langsung di dewan hotel, bahkan mereka yang berada di luar Kuala Lumpur dan Indonesia juga boleh mengikuti siaran secara live streaming dengan harga tiket berpatutan.

Penganjur menawarkan dua pilihan kepada peminat, sama ada hadir secara fizikal dengan tiket berharga RM100 yang disertakan sesi Meet & Greet, jamuan hi-tea serta barangan eksklusif, atau mengikuti siaran secara langsung pada harga RM10 (bersamaan IDR40,000). Apa yang menarik, setiap pembelian tiket turut melayakkan penonton menyertai cabutan bertuah.

Syamel (kiri) bersama Mickey Klaxson ketika majlis sidang akhbar Mini Showcase Mickey Klaxson dan Syamel Amzah.

Menurut Syamel Amzah yang turut terlibat dari peringkat idea awal mini showcase ini menyifatkan kerjasama bersama 211 Event Empire sebagai langkah positif untuk memberi peluang kepada artis-artis muda menonjolkan bakat.

“Memang idea asal daripada saya, tetapi semua ini tidak akan jadi kenyataan tanpa sokongan pihak penganjur dan peminat. Saya bersyukur dapat berada di sini. Persembahan hari ini juga merupakan sebuah platform penting dalam mempertemukan peminat dengan idola mereka. Ia juga menjadi satu bentuk kerjasama budaya yang menghubungkan Malaysia dan Indonesia melalui muzik dan seni persembahan.
“Ini hanyalah permulaan dan saya mahu melihat bakat Malaysia dan Indonesia berkembang bersama. Insya-Allah selepas showcase ini, akan ada lebih banyak projek yang mempertemukan artis-artis hebat dari kedua-dua negara di pentas lebih besar.”

Menurut Syamel yang juga merupakan seorang penjawat awam Majlis Perbandaran Kluang,Johor, hingga kini dia masih aktif bersama ahli keluarganya bermain muzik.

“Kami sembilan adik-beradik yang terdiri daripada tujuh lelaki dan dua perempuan semuanya bermain muzik dan dikenali dengan nama SA Family kerana kami main secara akustik saja. Dulu saya hanya bermain gitar tapi kini saya juga menyanyi bersama adik perempuan saya.”

Ditanya mengenai jodoh, Kata Syamel lagi,“Kalau tak ada halangan Oktober ini saya bakal mendirikan rumah tangga dengan Asmidar seorang usahawan di Melaka. Kami dah berkenalan lebih 1 ½ tahun dan saya senang ketika bersamanya kerana dia baik dan setia. Sekarang ini dialah yang menjaga segala aktiviti seni saya.”

Sementara itu Ketua Pegawai Operasi, 211 Event Empire, Intan Madura berkata, “Kami pilih Syamel dan juga Mickey berdasarkan rekod mereka. Yang pertama sekali mereka sangat viral di TikTok, baik di Malaysia mahupun di Indonesia. Setiap hari tontonan mereka melebihi satu juta. Itu yang membuatkan kami berminat. Mereka juga masih segar, sedang dikenali, jadi platform ini sesuai untuk membawa mereka lebih ke hadapan,” katanya.

Bagi Mickey Klaxson anak kelahiran Aceh ini pula, showcase ini merupakan penampilan istimewa kerana ia adalah kali pertama beliau menjejakkan kaki ke Malaysia. Nama Mickey mula meniti di bibir peminat apabila tular di media sosial dengan vokalnya yang dikatakan mirip legenda rock tanah air, Allahyarham Saleem dari kumpulan Iklim.

Namun, Mickey menegaskan bahawa gaya nyanyiannya lahir secara semula jadi. “Memang ini cara saya. Saya menyanyi lebih kepada menjiwai dan bermain dengan perasaan. Kadang-kadang orang rasa macam tersentuh dan terharu. Itu datang daripada jiwa saya, bukan meniru sesiapa. Minat ini bermula sejak kecil ketika saya menjadi muazin di pesantren. Saya selalu berlatih vokal dengan nada tinggi melalui qasidah sebelum beralih kepada genre popular.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here