Konsert BCL: Eternal Love -Timeless Romance berlangsung di Dewan Plenary, KLCC, baru-baru ini.

Oleh: Khadijah Ibrahim

MENONTON konsert BCL: Eternal Love – Timeless Romance anjuran Pulse Project Asia yang berlangsung di Dewan Plenary, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) baru-baru ini, umpama menelusuri kisah kehidupan Bunga Citra Lestari yang dipentaskan.

BCL, 42, hanya memulakan persembahan sekitar jam 9.52 malam dengan lagu “Ingkar” diiringi enam orang penari kerana sebelum itu penonton dihiburkan dengan persembahan daripada Dennis Lau, pemain violin, Fajar Noor dan Jaclyn Victor.

“Jangan Gila” adalah lagu kedua dendangan BCL, sebelum dia membuat kejutan kepada penonton dengan mengundang Yuna untuk berduet dengannya menerusi lagu “Watak Utama” yang dikeluarkan pada 2024.

“Apa khabar semua. Walaupun sedikit lelah kerana menari tadi, tapi saya sangat gembira dapat kembali ke Malaysia yang merupakan rumah kedua saya. Malam ini keluarga dari Jakarta juga datang. Terima kasih kerana Malaysia selalu sambut saya dengan hangat dan ini satu kebahagiaan buat saya.

“Kerana bagi saya setiap lagu itu ada keistimewaan tersendiri dalam hidup seseorang. Saya selalu bawa lagu dengan jiwa sebab lagu-lagu itu ada cerita tersendiri. Kalau ingin menangis saya akan dengar lagu galau. Saya mahu lagu galau lebih intimate dengan peminat.

BCL membuat kejutan dengan menampilkan Yuna sebagai pasangan duetnya untuk lagu “Watak Utama”.

“Saya tahu ada di antara lagu-lagu dendangan saya menjadi runut bunyi (OST) dalam kehidupan orang lain. Sebelum ini saya ada buat satu kempen di sosial media untuk segmen bual bicara ini. Peminat yang terpilih untuk bersama saya di pentas ini adalah Nurhidayah dan Mariana,” jelasnya sebelum memulakan segmen tersebut.

Menerusi segmen yang berbicara soal cinta yang tak kesampaian itu, BCL sempat mendendangkan lagu “Memilih Dia”, “Kecewa”, “Pernah Muda”, “Aku Tak Mau Sendiri” dan “Menghapus Jejakmu” duetnya bersama Ariel Noah yang dirakam semula pada 2020.

Penutup untuk segmen tersebut, BCL bergandingan dengan Jaclyn mendendangkan lagu “Love Story” (Where Do I Begin) dendangan asal oleh Andy Williams.

Selepas menukar pakaian, BCL tampil meneruskan persembahan dengan lagu “Wanita Terbahagia”. Katanya, lagu tersebut berkisar tentang kisah peribadinya dan “Wanita Terbahagia” dihadiahkan khas buat Allahyarham suaminya, Ashraf Sinclair.

“Di segmen ini saya akan bercerita kisah peribadi saya dan lagu-lagu yang beri erti besar dalam kehidupan saya. Lagu “Wanita Bahagia” saya hadiahkan kepada almarhum suami saya. Kehadiran Ashraf dan Noah menjadikan saya wanita bahagia.

“Hidup tidak disesuaikan dengan apa yg kita rencanakan. Saat kehilangan Ashraf adalah sangat mengejutkan. Semua rencana harus diganti di saat belum bisa melepaskan seorang partner in crimes pergi.

“Selama 12 tahun saya dan Ashraf stay together. Pemergiannya memberi kesan besar kepada saya, kemudian seorang sahabat ajak saya buat lagu untuk memberi inspirasi kepada saya. Ini kerana setiap hari saya menangis untuk melepasi proses kesedihan itu.

“Lagu “12 Tahun Terindah” adalah lagu pertama yang saya tulis. Manfaatkan sebaik-baiknya dengan orang tersayang kerana kita tak akan tahu bila mereka akan tinggalkan kita,” kongsi BCL tentang isi hatinya sebelum mendendangkan lagu “12 Tahun Terindah” dengan diiringi gesekan violin oleh Dennis Lau.

Fajar Noor, naib juara Indonesian Idol musim ke-13 menjadi pilihan BCL untuk ditampilkan di konsertnya.

Manakala lagu “Selalu Ada Di Nadimu” yang merupakan runut bunyi untuk filem animasi Jumbo, BCL tujukan khas buat anak tunggalnya, Noah. Katanya, di saat dirinya kehilangan seorang suami, anaknya pula kehilangan seorang hero.

“Kalau bicara tentang anak pasti ada air mata. Lagu dan video bukan untuk nangis hanya mahu kongsi perjalanan saya dan bagaimana saya lihat hidup dan saya memasuki chapter baharu. Saya berani cuba lagi dengan memula kehidupan baharu.

“Keberanian untuk mula chapter dalam hidup adalah satu keberanian. Di saat kita membuka diri bukan bererti kita lupa apa yang kita lalui dengan orang sebelumnya. Suami saya (Tiko Aryawardhana) ada di sini.

“Saya ingin kongsi kegembiraan apabila Tiko mahu terima keluarga Sinclair. Kalau saya sudah jadi anak umi (ibu Ashraf) dan Tiko sudah jadi menantu umi. Ini adalah segmen my life. Saya ada lagu tentang perasaan saya dan ada tayangan videonya juga,” ungkap BCL sebelum mendendangkan lagu “Memulai Kembali” dan “Cinta Sejati”.

Perjalanan cinta BCL diteruskan dengan lagu “Sinaran” lagu dendangan Dato’ Sheila Majid. Tatkala dirinya disinari cahaya cinta daripada Tiko, BCL menggambarkan dirinya umpama “Putri Iklan”, yang dinyanyikan oleh Fajar Noor.

Mereka kemudian bergandingan menyanyikan lagu “Aku Dan Dirimu”. Sewaktu mendendangkan lagu “Karena Ku Cinta Kau”, BCL meminta penonton menyalakan flashlight daripada telefon bimbit masing-masing. Persembahan pada malam itu diakhiri dengan lagu “Badai Telah Berlalu”, seolah-olah menggambarkan bahawa kini BCL berada di dalam dunia percintaan abadi bersama insan tersayang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here