Oleh: Datuk Sri Rozita Ramelan Yang Berada Di
Mauritius Sempena African Asia Pacific Choir Games 2025
Sungguh membanggakan, selepas mencapai kejayaan penuh cemerlang di “Sing For Gold” di Sepanyol pada tahun lalu, Vocal Pizzest dari Malaysia sekali lagi mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas di “African Asia Pacific Choir Games 2025” : “Sing in Paradise” yang berlangsung pada 27 September hingga 5 Oktober di Mauritius baru-baru ini.
Kumpulan koir yang sungguh berbakat ini terdiri daripada 15 pelajar yang purata berusia10 tahun dari Cempaka International School dan Cempaka National School yang mewakili Malaysia dalam pertandingan berprestij anjuran INTERKULTUR. Dengan lebih 35 tahun rekod kejayaan, INTERKULTUR terkenal sebagai penganjur pertandingan koir antarabangsa yang menyatukan komuniti muzik koral dari seluruh dunia. Edisi tahun ini menghimpunkan penyertaan dari 14 buah negara merangkumi benua Afrika, Eropah dan Asia Pasifik.


Pelajar yang terlibat telah mendapat bimbingan oleh konduktor Melinda Sik. Vocal Pizzest bertanding dalam kategori Children’s Choirs serta Pop, Jazz, dan Show, mempersembahkan kehebatan mereka di hadapan barisan juri antarabangsa dari Sepanyol, Norway, Afrika Selatan, Australia dan Mauritius.
Dalam pertandingan Children’s Choirs (Open Competition), mereka menampilkan persembahan rancak dengan gabungan lagu rakyat Malaysia yang diatur semula oleh Wong Shen Vee iaitu Jong Jong Inai, Chan Mali Chan, Lenggang Kangkung, Rasa Sayang, Ikan Kekek dan Wau Bulan serta lagu Sayang Kinabalu dan Can’t Stop Dancing.

Persembahan bertenaga dan serasi itu telah melayakkan Vocal Pizzest menerima Anugerah Tahap Emas (Gold Level Award), sekaligus menempatkan mereka sebagai satu-satunya koir yang layak ke Champions Competition.
Pada Majlis Anugerah Rasmi, kumpulan ini mencatat markah tertinggi dalam kategori Children’s Choirs dan dinobatkan sebagai Pemenang kategori tersebut.


Kejayaan ini menjadi lebih bermakna apabila lagu kebangsaan Malaysia dimainkan sewaktu mereka menerima pingat emas di pentas kemenangan.
Selain pertandingan, acara ini turut meraikan persahabatan dan pertukaran budaya. Dalam Perarakan Koir (Choir Parade) di mana para peserta berarak megah melalui jalan-jalan utama Port Louis, dari Champ de Mars ke Majlis Bandaraya Port Louis, sempena Majlis Perasmian Rasmi, menghidupkan suasana kota dengan nyanyian yang penuh warna-warni.

Vocal Pizzest turut mempersembahkan lagu mereka dalam Konsert Persahabatan (Friendship Concerts) di Mahebourg Waterfront dan Cascavelle Mall, menjalin hubungan dan semangat muhibah bersama peserta antarabangsa yang lain.
Sebagai sebahagian daripada pengayaan seni mereka, para ahli koir muda ini turut berpeluang mengikuti bengkel khas bersama Profesor Basilio Astulez, pendidik koir terkemuka dari Sepanyol satu pengalaman berharga untuk mempertingkatkan kemahiran vokal serta pemahaman mereka terhadap seni persembahan koral.


Di luar pentas, para peserta turut menikmati keindahan dan keunikan budaya Mauritius melalui lawatan ke Casela Nature Park, Vallée des Couleurs Adventure Park, Taman Botani serta Muzium L’Aventure du Sucre, di mana mereka mempelajari warisan tebu dan kepelbagaian budaya pulau tersebut.
Pengalaman ini bukan sahaja memperkukuh bakat dan semangat mereka, malah meninggalkan kenangan manis yang akan dikenang sepanjang hayat. Di sebalik jadual latihan yang padat dan persediaan yang rapi, setiap usaha membuahkan kejayaan merangkul emas yang membanggakan negara.


Lebih daripada sekadar pingat, para penyanyi muda ini pulang dengan ilmu, persahabatan dan kebanggaan kerana berjaya mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Selepas kami memenngi dua pingat emas dalam pertandingan koir sedunia “ SING FOR GOLD” yang berlangsung di Calella & Barcelona, Sepanyol tahun lalu, sekali lagi kejutan buat kami di atas segala pengorbanan selama ini dan bukan senang untuk memenangi pingat emas kerana saingan yang sungguh hebat, kemenangan ini amat bermakna bagi kami dan pastinya hadiah untuk semua rakyat Malaysia,” kata Mawar Mikaila Datuk Omar Mustapha penuh semangat iaitu antara peserta yang terpilih untuk menyertai “Vocal Pizzest”.


Kami rakyat Malaysia amat berbangga dengan kejayaan ini dan semoga kejayaan emas dari Sekolah Cempaka menjadi sumber inspirasi kepada anak-anak muda di tanah air tercinta.











