Drama 24 episod ini mendapat perhatian ramai sekarang ini.

Oleh: Khadijah Ibrahim

SEBELUM ini ke mana saja Zahiril Adzim pergi, orang akan panggilnya dengan nama Falah, gara-gara watak lelaki idaman yang dilakonkannya dalam drama ‘Andai Tiada Dia’.

Sekarang ini tak tahulah sama ada orang akan teruja apabila bertemu dengannya atau peminat tegar drama akan melontarkan kata-kata tidak puas hati terhadapnya.

Tika ini drama lakonan Zahiril yang melakonkan watak Uzzam Zulkarnain dalam drama ‘Mutiara Dalam Debuan Kabus’, jauh berbeza dengan karakter Falah yang dilakonkan sebelum ini.

Sejak episod satu ditayangkan pada 6 Oktober lalu menerusi slot MegaDRAMA di saluran Astro RIA pukul 10 malam, Isnin hingga Khamis, Uzzam tampil dengan karakter seorang lelaki yang sakarstik, garang dan pemarah terhadap pasangannya, Aslin lakonan Emma Maembong.

Sebelum ini watak lelaki idaman, sekarang Zahiril Adzim tampil sebagai lelaki ‘red flag’.

Zahiril atau Muhammad Zahiril Adzim Mohd Mokhtar, 41, berkata, gara-gara karakter Uzzam, membuatkan dirinya dilabelkan sebagai lelaki red flags. Red flags adalah bahasa mudah bagi lelaki yang menunjukkan tingkah laku atau ciri-ciri yang menandakan hubungan yang tidak sihat, toksik atau berpotensi membahayakan bagi diri pasangannya.

Bercakap mengenai komitmen dalam drama 24 episod yang menampilkan dirinya seperti lelaki red flags, Zahiril mengatakan sikap kejam itu terpaksa ‘dikeluarkan’ kerana berdepan dengan kejahatan pasangannya.

“Dia sebenarnya nampak macam red flags tapi apa yang dilakukan adalah perkara yang sepatutnya dia buat kepada Aslin. Dia buat kerana kejahatan Aslin yang patut dibalas begitu. Uzzam bangkit dan lawan,” jelas Zahiril.

Malah Zahiril juga mengatakan sikap red flags yang ada dalam diri Uzzam sangat bertentangan dengan dirinya.

“Saya rasa Uzzam sangat berjauhan dengan diri saya. Saya susah nak marah. Marah macam mana pun…tinggi suara macam tu je marah. Kalau betul-betul melampaui tahap kesabaran yang saya tak tahu tahap mana. Saya diberitahu supaya tak tidak marah.

“Sebab kalau saya meletup, bahaya. Saya dipesan dan pernah dipesan, orang macam saya jangan marah. Efek nanti kena pada diri saya sendiri.

“Tapi karakter saya pula jenis yang marah-marah, tegas dan sangat garang. Jadi saya kena garang dalam cerita ini. Hakikatnya saya tidak begini dan tidak pernah membawa watak red flags ini ke rumah kerana di rumah saya ada penyejuk hati,” jelas Zahiril.

Menerusi ‘Mutiara Dalam Debuan Kabus’ Zahiril Adzim bergandingan dengan Emma Maembong.

Selain harus membawa watak lelaki red flags, Zahiril mengaku cabaran lain yang perlu dipenuhi adalah melafazkan dialog yang cukup panjang dan banyak.

“Hampir kesemua scene dalam 99.9 peratus mempunyai dialog panjang- panjang. Semuanya kena hafal. Kena deliver setiap scene macam tak lari tiga hingga empat muka surat. Hari-hari kita ada 18-19 scene. Semua panjang- panjang. Cerita ni banyak dialog dan merupakan sesuatu yang agak baharu untuk saya,” katanya lagi.

‘Mutiara Dalam Debuan Kabus’, arahan Harris Fadzillah, terbitan SR One Sdn Bhd yang disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, 10 malam di saluran Astro RIA itu diadaptasi daripada novel popular, ‘Mutiara Dalam Debuan Kabus’ yang merupakan kesinambungan novel ‘Dedaun Hijau Di Angin Lalu’.

Plot yang dIpersembahkan dalam ‘Mutiara Dalam Debuan Kabus’ ini malah dibikin semirip mungkin dengan novel yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan pembaca.

Sejak ditayangkan pada 6 Oktober lalu, penonton sudah mula mengikuti ‘Mutiara Dalam Debuan Kabus’ dengan ‘tekun’ kerana geram dengan sikap penuh muslihat Aslin dan keluarganya yang mata duitan.
Ramai yang teruja melihat Zahiril memainkan watak Uzzam dengan cemerlang, dia bertahan di sebalik perangkap yang dipasang demi memastkkan harta miliknya tidak jatuh ke tangan Aslin.

Konflik yang ditonjolkan dalam ‘Mutiara Dalam Debuan Kabus’ mungkin dikatakan klise tetapi ini adalah realiti sebenar yang dihadapi dalam masyarakat kita.

Dengan rekod cemerlang dari SR One Sdn. Bhd menerusi karya-karya yang dihasilkan sebelum ini, ‘Mutiara Dalam Debuan Kabus’ adalah satu lagi naskhah wajib tonton kerana konflik yang berlaku dan ditonjolkan sangat dekat dengan masyarakat.

Selain Emma dan Zahiril, ‘Mutiara Dalam Debuan Kabus’ turut dibintangi oleh Watie Elite, Jasmin Hamid, Safura Ya’akob, Natasya Mahyan, Khaty Azian, Manan Sulaiman dan Faye Kusairi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here