Gandingan Syamel (dari kiri), Ernie, Ziana dan Anuar memang mantap kerana masing-masing ada aura tersendiri.

Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Ehsan Anuar Zain Network

MESKIPUN keempat-empat mereka mempunyai vokal yang ‘power’, namun tidak ada seorang pun daripada mereka yang cuba menonjolkan diri untuk menjadi ‘I am the best’ sewaktu menjayakan Konsert Empat Live in Kuala Lumpur 2025 yang berlangsung di Mega Star Arena, Plaza Sungei Wang, 18 Oktober baru-baru ini.

Mungkin kerana Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel disatukan dengan tali persaudaraan, jadi tidak ada ‘perlumbaan’ antara mereka. Lagipun kata Syamel, konsert malam itu ibarat ‘Family Day’ bagi mereka.

Konsert yang bermula kira-kira 8.44 malam itu dimulakan dengan tayangan video memperkenalkan penyanyi dari dua generasi berbeza itu.

Bagi menghormati dua penyanyi senior, Maklong dan Pakngahnya, Ernie memulakan persembahan dengan lagu “Ku Bersuara” dan diikuti oleh suaminya, Syamel menerusi lagu “Lebih Sempurna”. Kemudian keluarlah Maklong Ernie dengan lagu “Madah Berhelah”.

Lagu ” Madah Berhelah” kalau Ziana Zain tak dendang macam tak lengkap persembahannya.

Sementara Anuar pula memulakan persembahannya dengan lagu “Keabadian Cinta” yang kemudiannya disambung oleh Ziana, Ernie dan Syamel yang turut memperdengarkan lagu tersebut di bahagian korus mengikut versi masing-masing.

Konsert yang dihadiri oleh kira-kira 4,500 penonton, rata-rata terdiri daripada penggemar-penggemar Syamelovers, Ernienators, Zianafolks Official dan Anuar Zain FC.

Walaupun masing-masing sudah ada kelab peminat sendiri, namun dengan adanya konsert ulung yang menggabungkan mereka, penyanyi anak beranak itu harap akan adanya kelab peminat Empat kerana Empat merupakan jenama terkini untuk mereka.

Jelas Ernie, manifestonya sejak kecil adalah untuk mengadakan persembahan bersama dengan ibu dan bapa saudaranya kerana dia membesar dengan lagu-lagu dendangan Ziana dan Anuar.

Pada malam itu segmen persembahan yang diatur untuk konsert tersebut memang menarik kerana masing-masing tidak hanya mendendangkan lagu sendiri, sebaliknya diberi tangggungjawab untuk menyanyikan lagu orang lain mengikut versi tersendiri.

“Selepas buat cabutan, saya kena nyanyi lagu Ziana iaitu “Dingin”. Ini merupakan satu perjalanan seni yang menarik untuk kerjaya saya. Lagu berikut ini sangat special buat saya kerana bila nyanyi ia penuh dengan rasa cinta. Saya juga tidak pernah jemu untuk mengucapkan aku cinta,” katanya yang kemudian mendendangkan lagu “Aku Cinta” bersama dengan Syamel.

Syamel pula sanggup menjadi “Hamba Cinta” kepada isteri tercinta sebelum tampil dengan lagu “Beribu Tanda Tanya” ciptaan Edry Abdul Halim yang turut hadir bersama isterinya menonton konsert Empat.

“Lagu ini sangat istimewa untuk saya sampaikan kepada anda semua kerana setiap baris ada tanda soal. Malah lagu ini juga yang paling mahal pernah saya rakam sebab saya perlu ke Manchester untuk buat rakaman.

Empat bersaudara buat pertama kalinya menjayakan konsert bersama di Mega Star Arena, Plaza Sungei Wang, baru-baru ini.

“Sesungguhnya saya amat berbesar hati mendapat naskhah ini. Terima kasih Cikgu Edry,” katanya yang turut berduet dengan Ziana menerusi lagu “Waktu” yang dianggapnya sukar tapi beruntung kerana mendapat pasangan duet yang best.

Tiba pula giliran Ziana untuk menyampaikan lagu dendangan Syamel dengan gayanya yang tersendiri iaitu “Hidup Dalam Mati”.

“Saya jarang menyanyikan lagu orang tapi malam ini kena nyanyi lagu anak buah. Impian kami untuk mengadakan persembahan bersama, akhirnya menjadi kenyataan dan saya sangat berbesar hati.

“Walaupun terpaksa bergelut dengan pelbagai perkara, alhamdulillah, Allah beri peluang untuk kami jayakan konsert ini,” katanya yang turut mendendangkan lagu “Kesuma Hati’ ciptaan Allahyarham Adnan Abu Hassan.

Ziana kemudiannya memberitahu lagu “Menadah Gerimis” ciptaan Azmeer adalah pilihan adiknya, untuk mereka berduet kerana itu lagu kegemaran Anuar. Malah Anuar turut menyanyikan lagu “Gundah” yang merupakan dendangan Ernie itu dengan stailnya tersendiri.

Secara keseluruhan, konsert Empat memang menarik kerana persembahan secara solo, berduet atau berkumpulan berjaya dilaksanakan dengan begitu baik walaupun kebanyakan lagu yang disampaikan bernada tinggi.

Konsert terbitan Anuar Zain Network dengan kerjasama Altus ProHouse yang menampilkan Jennifer Thompson selaku pengarah konsert dan Lee Sze Wan pengarah muzik perlu diteruskan lagi dan “Jangan Henti” di situ saja seperti mana lagu yang dihasilkan demi konsert Empat itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here