Oleh: Khadijah Ibrahim
BELUM pernah penulis menonton konsert sambil sibuk mencari makna di sebalik lirik yang dilantunkan oleh penyanyi. Sewaktu menonton konsert Spider Unplugged di Megastar Arena Kuala Lumpur pada 25 Oktober, bukan sahaja hiburan yang penulis dapat, malah ilmu juga.
Ini kerana setiap lagu yang dinyanyikan oleh vokalis dan gitaris kedua Spider, Tam atau Rustam Mustafah, ada dipaparkan judul lagu dan lirik di skrin LED kiri kanan pentas.
Dengan adanya lirik yang dipaparkan, memudahkan penonton untuk turut serta menyanyi bersama. Berdasarkan lirik tersebutlah, penulis mula mencari makna ‘sublimu’ yang terdapat di antara barisan lirik untuk lagu “Telinga Ke Tulang” yang dimuat dalam album studio keempat dendangan Spider iaitu “Bintang 12” yang diterbitkan pada 2007.

Lagu ciptaan Tam dan lirik oleh Allahyarham Loloq atau Rosli Khamis yang merupakan runut bunyi untuk filem ‘Cicakman’ itu membuatkan penulis tidak senang duduk selagi tidak tahu apa makna ‘sublimu’.
“Sublimu” atau “sublime” membawa maksud mengagumkan, menakjubkan, mulia, suci, atau tinggi. Ia boleh merujuk kepada sesuatu yang mencapai tahap keagungan dan keindahan yang luar biasa, sama ada dalam pemahaman rohani atau pengalaman estetika.
Boleh dikatakan banyak lagu dendangan Spider, liriknya dihasilkan oleh Loloq sebelum dia meninggal dunia pada 30 Januari 2008. Jika diamati, lagu-lagu dendangan Spider disertakan dengan lirik yang penuh metafora.
Metafora ialah pemakaian kata-kata yang menyatakan sesuatu maksud yang berbeza daripada makna asalnya, yang digunakan sebagai perbandingan atau kiasan untuk menghasilkan kesan yang lebih indah atau mendalam.
Spider yang turut dianggotai oleh Pown Hasril (gitar), Iss (bass) dan Aie Nasir (dram) pada malam itu memulakan persembahan kira-kira jam 8.30 malam dengan lagu “Rasakan Resapkan”, ciptaan Tam dan lirik oleh Datuk M. Nasir.
Walaupun Tam hanya duduk sambil memetik gitar mendendangkan 24 buah lagu hits Spider, itu sudah cukup membuatkan penonton teruja kerana persembahan unplugged yang merupakan idamannya itu berjaya disampaikan dengan begitu santai.

Antara lagu yang disampaikan sepanjang konsert anjuran Naga Legend Entertainment itu adalah “Kacap Terlabik”, “Ngam Ho”, “Waduh Tijah”, “Bila Nak Saksi”, “Laukku Cukup Masin”, “Nak Lantak”, “Mabok”, “Kekal”, “Jangan Kau Berputus Asa”, “Ngam Ho”, “Mama”, “Tapi Bagaimana”, “Kasih Latifah”, “Rela Ku Pujuk”, “Buat Seorang Putri” dan “Aladin”.
Untuk konsert tersebut juga buat pertama kalinya, Spider mendendangkan lagu “Sungguh Ku Telah Jatuh Cinta” single terkini mereka dan lagu cover “Impian Seorang Nelayan” dendangan asal oleh Kembara.
Dalam keseronokan menikmati persembahan Spider, selepas Tam mendendangkan lagu “Cinta Dewa Dewi” dia mengumumkan bahawa penganjur akan membuka gate untuk penonton dari belakang datang ke hadapan.
Masalahnya, penonton dari bahagian belakang (yang berdiri) apabila dibenarkan datang ke bahagian depan (tempat duduk), tanpa rasa malu dan tidak beradab berdiri di atas bangku dan sekali gus menghalang penonton yang asalnya memang membeli tiket untuk duduk di bahagian tersebut.
Walaupun tinggal lagi dua lagu “Nazraku” dan “Mungkinkah Terjadi” sebagai penutup persembahan, rasanya tidak patut dibuka gate untuk penonton yang berdiri di belakang penonton duduk.
Jika mereka tampil ke depan tanpa menganggu pemandangan (kerana berdiri di atas bangku) si pemegang tiket di kawasan tersebut, masih boleh diterima. Harap di masa mendatang penganjur lebih peka.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









