Oleh: Khadijah Ibrahim
PASTI ada di kalangan penggemar drama tempatan, suka dengan lakonan Wanns Ahmad atau pemilih nama sebenar, Wan Nursalam Wan Ahmad.
Sejak 2020, Wanns, 34, kerap muncul dalam drama bermula dengan ‘Seindah Tujuh Warna Pelangi’ yang merupakan drama pertama lakonannya menerusi watak Iskandar.
Sebelum terlibat dalam drama, Wanns terlebih dahulu mencuba bakat lakonannya dalam filem ‘Bo-Peng’ pada 2016 sebagai Azhar, arahan Helmi Yusof yang diterbitkan oleh Pencil Pictures. Setakat ini anak seni yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu telah berlakon lima buah filem termasuk ‘Pontianak 200kg’ sebagai Malik yang ditayangkan pada September 2024.

Manakala drama lakonan Wanns pula hampir 20 buah drama termasuklah ‘Bukan Sekadar Lafaz 2’ yang ditayangkan di slot Akasia pada Februari lalu. Lain-lain drama lakonan Wanns adalah ‘Dedaun Hijau Di Angin Lalu’, ‘Adnan Runner’, ‘Jangan Menangis Cinta’ dan banyak lagi.
Dek penampilannya kerana dalam drama tempatan, sehinggakan ada yang terlupa bahawa awal kemunculan Wanns dalam bidang seni adalah sebagai penyanyi. Single pertama dendangannya adalah “Terus Mencintaimu” yang dikeluarkan pada 2014, diikuti dengan lagu ‘Syayangku’ pada 2023, kemudian lagu ‘Makhluk Jalang Terbuang’ dan tahun lalu Wanns muncul dengan lagu “Bulan Ku”.

Menariknya setiap lagu yang dikeluarkan adalah ciptaan sepenuhnya daripada Wanns. Dia bukan sekadar mencipta dan menulis lirik, sebaliknya Wanns turut mencuba satu lagi bidang baharu iaitu mengarah untuk video muzik “Bulan Ku” yang turut menampilkan pelakon Amyra Rosli.
“Walaupun lagu ini sudah release awal tapi video muziknya baru sahaja dibuat sebelum puasa tempoh hari dan baru-baru ini saja (8 Mei) baru sempat dimuat naik di saluran YouTube NSR Music.
“Saya ambil masa lama untuk lancar sebab saya dan Amyra, masing-masing sibuk dengan penggambaran dan perlu cari waktu yang sesuai. Saya sedia menunggu Amyra kerana saya memang nak dia juga dalam video muzik “Bulan Ki”.

“Amyra menjadi pilihan saya sebab kami pernah berlakon sama. Bagi saya, Amyra ada sesuatu dan merupakan wanita yang hebat. Nampak ciri-ciri bulan itu pada Amyra kerana lagu ini untuk seorang isteri.
“Penggambaran dilakukan di Kuala Selangor dan bila penggambaran dah siap dan sewaktu buat suntingan, saya asyik tak puas hati jadi beberapa adegan yang menyanyi dengan rakaman drone tu saya buat penggambaran lain di Kelantan sewaktu balik raya hari tu,” jelas Wanns kenapa video muzik arahannya itu lewat keluar.
Wanns akui sebagai pengarah dan penyunting, dia sangat cerewet dan sebab itulah, kalau ada yang tidak puas di hati, dia sanggup lakukan semula.

“Apabila dah selalu buat kerja yang sama, saya jadi begitu cerewet dan kali ini saya sudah nampak caranya. Saya memang suka dengan bidang pengarahan dan jika ada peluang, saya teringin nak mengarah drama juga.
“Untuk permulaan, susah sikit nak dapat kepercayaan orang, jadi kita kena mulakan dulu, itulah saya mengarah video muzik. Saya bukan setakat mengarah video muzik tapi menguruskan juga produksi untuk video muzik ini.
“Ini adalah pengalaman yang saya timba untuk dapatkan kepuasan dan secara tak langsung saya tahu kerja di belakang tabir ini bukanlah mudah. Untuk kerja, saya memang teliti dan cuba buat yang terbaik dan sentiasa belajar dari hari ke sehari. Dalam minda saya tak pernah terfikir untuk buat kerja setakat lepas tangan,” katanya terus terang.

Kata Wanns, selepas lagu “Bulan Ku” dikeluarkan, dia mahu kembali aktif dalam bidang nyanyian walaupun rezekinya lebih kepada lakonan buat masa sekarang.
“Saya tidak boleh memilih, mana rezeki datang dulu, saya ambil. Saya bermula dengan menyanyi cuma sekarang ini rezeki saya lebih kepada bidang lakonan. Saya tak pernah mengalah sebab menyanyi adalah passion saya. Kalau kita buat perkara yang kita suka, tak ada niat pun untuk orang kenali. Kalau kita kejar populariti, kita akan kecewa dan berhenti melakukan apa yang sudah dimulakan
“Sekarang ini walaupun orang nampak sebagai pelakon tapi saya tak pernah lupa bidang nyanyian dan muzik kerana saya juga ada mencipta lagu dan justeru itulah saya mahu orang kenali saya sebagai komposer juga.

“Selain cipta lagu untuk diri sendiri, saya juga pernah cipta lagu “Sampai Bila” dendangan Shaffy yang merupakan anak saudara Zara Zya itu. Bagi saya mudah saja, kalau buat kerana passion, orang cakap apa pun kita akan tetap teruskan minat itu.
“Kita seronok dengan apa yang kita buat dan pada masa sama boleh menjana pendapatan untuk kehidupan seharian. Kalau ada rezeki yang lebih lagi, alhamdulillah bonus Allah bagi,” ujarnya yang turut mencipta lagu untuk Zara Zya yang bakal keluar dalam waktu terdekat ini.
Tambah Wanns, dia memang rapat dengan Zara dan lagu tersebut sudah dicipta hampir dua tahun lalu untuk pelakon tersebut.
Wanns yang kini rapat dengan Khalida Balqis atau mesra dengan panggilan Akish mengakui sejak berlakon bersama dalam drama ‘Menantu Dari Amsterdam’, Januari 2024, hatinya terus terpikat kepada wanita tersebut.

“Akish adalah seorang wanita yang saya sedang mengenali hati budinya sekarang ini. Sejujurnya dialah yang teristimewa di hati saya ketika ini. Sudah setahun lebih, kalau Tuhan permudahkan dan murahkan rezeki dan kalau itu jodoh saya kenapa tidak.
“Ini memang cinta pandang pertama saya tapi tak tahulah tentang dia. Saya ambil masa lama juga untuk berkawan dengan dia, gigih berusaha untuk memikat dia. Dia ada sesuatu yang menarik hati saya iaitu pesonanya. Biasalah, sebab cinta pandang pertama semua nampak menarik,” katanya sambil tersenyum.
Sebagai menghargai wanita yang berjaya mencuri hatinya, Wanns bercadang untuk menghasilkan sebuah lagu untuk Akish yang berjudul “Alien Dari Pluto”.
“Insya-Allah lagu seterusnya saya nak buat adalah “Alien Dari Pluto”. Tajuknya macam pelik kan? Sebenarnya lagu itu khas untuk wanita. Kaum hawa ni apabila sudah lama kenal, kita sebagai lelaki kena banyak mengalah dan memahami mereka,” Katanya yang turut mendapat restu keluarga tentang hubungannya dengan peserta Gadis Panca itu.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.