Latihan Pestapora Malaysia menggabungkan artis tempatan dan Indonesia yang akan berlangsung di Surf Beach, Sunway Lagoon pada 26 Julai ini.

Oleh: Khadijah Ibrahim

JIKA sebut nama Boss Creator, penggemar muzik di Indonesia sudah mengenali bahawa itu adalah penganjur perusahaan muzik dan festival di sana. Salah satu festival muzik anjuran Boss Creator adalah Pestapora yang berlangsung selama tiga hari itu sudah bermula sejak empat tahun lalu.

Kali ini festival muzik tersebut juga akan diadakan di Malaysia atas kerjasama antara Hitman Solutions, penganjur konsert terulung di Malaysia dengan Boss Creator yang sudah berpengalaman luas dalam menganjurkan Pestapora itu.

Untuk festival muzik di Malaysia, acara tersebut diberi judul Latihan Pestapora Malaysia yang bakal berlangsung di Surf Beach, Sunway Lagoon pada 26 Julai ini.

Aziz Harun rasa gembira dapat turut serta di festival muzik Latihan Pestapora Malaysia.

Latihan Pestapora Malaysia bukan sekadar persembahan pentas biasa. Ia adalah platform untuk kolaborasi budaya Nusantara yang diraikan melalui muzik. Lebih istimewa, ia turut membuka peluang kepada peminat untuk merasai previu kepada edisi utama Pestapora di Jakarta pada September nanti.

Baru-baru ini Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal dan Pengarah Festival Pestapora & Pengasas bersama Boss Creator, Kiki Ucup mengumumkan barisan artis yang bakal membuat persembahan di Latihan Pestapora Malaysia.

Antara barisan bintang tempatan yang bakal menjayakan Latihan Pestapora Malaysia ialah kumpulan Bittersweet, Bunkface, Dolla, SonaOne, Aziz Harun, Salammusik dan ramai lagi. Manakala, penyanyi dari Indonesia yang akan menjayakan festival tersebut terdiri daripada .Feast, Hindia, Barasuara x Efek Rumah Kaca, Feel Koplo, Kunto Aji dan Pamungkas.

Kerjasama antara Kiki Ucop dari Boss Creator Indonesia (kiri) dengan Rohit Rampal mewakili Hitman Group secara tak langsung mengetengahkan kolaborasi budaya Nusantara untuk penonton.

Jelas Rohit Rampal, festival tersebut bakal menyajikan pelbagai genre seperti pop, rock, alternatif, hip-hop hingga ke indie untuk peminat yang dahagakan pengalaman muzik serumpun.

“Setiap tahun ribuan peminat Pestapora dari Malaysia akan ke Jakarta untuk hadir ke festival tersebut. Melihat keupayaannya menyatukan orang ramai melalui muzik, kami mahu rakyat Malaysia turut merasai magisnya.

“Lebih 2,000 tiket terjual tanpa ‘lineup’ membuktikan ramai yang mengetahui tentang dan percayakan jenama Pestapora untuk bawakan pengalaman muzik, seni, komuniti dan gabungan budaya dalam satu festival.

“Latihan Pestapora adalah seperti ‘preview’ kepada rakyat Malaysia yang tidak berpeluang untuk terbang ke Jakarta untuk festival utama serta buat peminat yang ingin bersiap sedia untuk acara utama dengan hadir di latihan dahulu,” katanya.

Peminat Kunto Aji pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk menonton persembahannya nanti.

Sementara itu, Kiki Ucup, menjelaskan bahawa pada tahun ini pihaknya cuba buat kelainan untuk Pestapora dan memilih untuk bekerjasama dengan penganjur dari Malaysia.

“Latihan Pestapora tahun ini kami cuba sesuatu yang baru iaitu melebarkan sayap ke Malaysia bersama Hitman Solutions kerana kami melihat potensi besar Pestapora di Malaysia. Harapannya, Latihan Pestapora Malaysia dapat menjadi fasilitator buat para penggiat seni dan komuniti dari kedua-dua negara untuk saling memperkenalkan dan menonjolkan karya masing-masing kepada para peminat,” ujarnya.

Bagi peminat muzik yang ingin turut serta di Latihan Pestapora Malaysia, anda boleh membeli tiket pada harga RM129 ke atas (General Admission), RM199 ke atas (Rockzone), RM70 (kanak-kanak) dan Akses Express Lane dengan tambahan sebanyak RM100.

Pembelian tiket boleh dilakukan di laman web www.latihanpestaporamalaysia.com. Untuk maklumat lanjut sila hubungi talian +6012-2655783 atau emelkan ke [email protected].

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here