Oleh:Khadijah Ibrahim
JIKA sebelum ini kita sering menonton program realiti hiburan yang dianjurkan oleh stesen televisyen tempatan. Kini untuk julung kalinya, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Generasi Digital Malaysia (PGDM) mengambil inisiatif menganjurkan program sedemikian.
Program penganjuran PGDM itu lebih besar daripada apa yang kita tonton di saluran TV tempatan yang hanya menampilkan peserta dari Singapura, Brunei atau Indonesia sahaja kerana program Asian Pop Stars (APS) 2025 ini melibatkan peserta dari pelbagai negara Asia.
APS 2025 bakal memulakan siaran langsungnya setiap hari Sabtu bermula 29 November 2025 di saluran nasional RTM, pada jam 9 malam hingga 11.30 malam.
Pengerusi PGDM, Datin Seri Dr. Harnie Mohamed berkata, pihaknya berbesar hati dan menyahut cabaran untuk menganjur serta menerbitkan pertandingan ini dalam usaha mencari bakat yang mampu bergelar bintang bertaraf dunia dari benua Asia dan Malaysia khasnya.
Ujarnya, program tersebut adalah sebagai usaha memperkasa industri seni dan budaya serantau melalui penggunaan teknologi digital serta jaringan kolaborasi antarabangsa.

“Lebih teruja, ini kali pertama buat kami dan julung kali juga sebuah NGO menganjur dan menerbitkan pertandingan realiti seumpama ini di negara kita.
“Program ini bakal menghimpunkan 20 peserta berbakat dari seluruh Asia yang akan melalui latihan intensif dan persembahan mingguan selama lima minggu.
Minggu pertama hingga tiga memperlihatkan persembahan tanpa penyingkiran, diikuti minggu keempat yang menyaksikan 12 peserta disingkirkan. Seramai lapan finalis akan berentap di Konsert Akhir pada 3 Januari 2026, yang dijangka berlangsung di PICC Putrajaya,” katanya pada majlis pelancaran APS 2025 di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) baru-baru ini.
Pada majlis yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan itu, pelakon Fauziah Ahmad Daud diumumkan sebagai Pengetua dan dibantu oleh dua tenaga pengajar iaitu Isabella Soliano (vokal) dan Azmie Z. Abdden (koreografer).
Tambah Dr.Harnie, pemenang tempat pertama bakal membawa pulang hadiah utama berupa USD20,000, piala pusingan dan sijil pengiktirafan.
Lebih menarik lagi kesemua finalis akan menerima biasiswa khas pengajian seni persembahan selama satu bulan di ASWARA dan dua bulan di Korea Selatan sebagai persiapan khas untuk mengekalkan momentum mereka sebagai bintang selepas pertandingan berakhir.
Selain itu, peserta juga akan menyertai penjelajahan khas “Cuti-Cuti Malaysia” selama sembilan hari sempena promosi Tahun Melawat Malaysia 2026, yang merangkumiy sembilan negeri dengan pelbagai aktiviti pelancongan dan kebudayaan.
Menurut Dr.Harnie, pihaknya percaya bahawa seni bukan sekadar persembahan, sebaliknya, seni adalah identiti, kekuatan dan bahasa penyatuan.
“Dalam era digital hari ini, seni mesti bergerak, berubah dan berkembang. Itulah misi PGDM untuk mengangkat budaya digital sebagai alat perhubungan, perubahan sosial dan pembangunan insan.
Kami bukan hanya melahirkan artis, kami mahu membina pemimpin seni masa depan dengan fikiran global dan jiwa tempatan dengan hati yang penuh cinta terhadap warisan Asia.
“Kami membina Asia Pop Star bukan kerana mahu mencipta bintang segera, kami membinanya kerana mahu mencipta generasi seni yang beridentiti berdaya tahan dan berskala dunia,” jelasnya tentang objektif program tersebut.

Selain itu, katanya, penganjuran program tersebut juga membuktikan bahawa Malaysia bukan hanya lokasi pelancaran tapi Malaysia adalah nadi kepada pentas budaya Asia.
“Kami mahu jadikan Malaysia hub pentas seni Asia, lokasi penggambaran dan destinasi pelancongan. Saya percaya seni mampu menyatukan semua benua dan suara seorang insan jika diberi ruang dan peluang serta bimbingan boleh menggoncang dunia.
“Maka kepada semua anak muda Asia di luar sana, jangan takut untuk bermimpi dan berusaha.Jangan sesekali memadamkan cahaya di dalam diri sendiri kerana dunia sedang menunggu untuk menyaksikan sinar mu.
“Jika punya impian, semangat dan keberanian untuk mencuba pentas ini akan terus dibinau ntuk kamu,” katanya yang berharap ramai anak-anak muda tempatan menyertai Asia Pop Star yang menetapkan bayaran USD18 untuk setiap penyertaan.
Sementara itu, Fauziah atau Ogy yang pernah diundang menjadi juri dalam beberapa program realiti sebelum ini, menganggap inilah masanya untuk dia berkongsi ilmu dan pengalamannya dengan generasi muda.
“Bila saya ditawarkan begini, saya cakap inilah masanya untuk saya beritahu mereka inilah performing arts dan this is art. Maka itu saya inginkan team yang bersama saya ini memahami apa itu seni, bukan main asal boleh.
“Sebenarnya ramai di luar sana yang mempunyai bakat. Saya pernah jadi juri program realiti dan lihat ramai yang berbakat tapi disebabkan tiada luarannya, peserta tersebut tidak diterima. Itu sangat mengecewakan saya kerana bakat ini tidak boleh dibeli kerana you born with it.
“Kita ingin mencari seseorang yang bukan sekadar menyanyi atau performer tapi yang boleh mewakili Asian. Ia bukan satu kerja yang mudah, itulah fasa kita sekarang ini,” katanya yang gembira dapat bekerjasama dengan Bella Soliano yang padanya adalah seorang penyanyi yang hebat.
Jelas Ogy, sekarang ini pihaknya dalam usaha mencari peserta walaupun sudah ada yang mendaftar, namun perlu begitu teliti kerana tidak mahu apa yang dipaparkan itu modul yang sama.
“Saya melihat daripada persembahan seni. Apa yang saya ingin corakan sukar untuk saya memaklumkan sekarang kerana peserta belum ada. Saya cakap pada Bella, awak perlu warnakan vokal peserta kerana saya tidak mahu tone yang sama,” katanya.
Bagi yang berusia18 tahun ke atas dan rasa diri berbakat, tak kiralah pernah ada single atau belum boleh mencabar diri untuk menjadi peserta Asia Pop Star.
Maklumat lanjut berhubung APS boleh didapati menerusi platform sosial [email protected] dan laman web https://asianpopstars.asia.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









