Isa Azry mula dikenali di TikTok dan kini tampil dengan single "Nadhif".

Oleh: Khadijah Ibrahim

SEKARANG ini untuk menjadi penyanyi memang mudah. Jika anda aktif di media sosial dan jika lagu yang dimuatnaik itu mendapat tontonan yang ramai, pasti ada pihak akan tawarkan anda untuk membuat rakaman.

Kalau dulu sesiapa yang ingin bergelar penyanyi perlu menyertai pelbagai pertandingan nyanyian, sebelum ditawar untuk merakam lagu. Biarpun sukar, namun bakat-bakat baharu yang dicungkil bakatnya menerusi pertandingan mampu bertahan lama berbanding mereka yang mencipta nama dengan jalan singkat.

Salah seorang yang berpeluang merakam lagu selepas sering menunjukkan bakat nyanyiannya di TikTok adalah Isa Azry yang berasal dari Perak.

Isa tampil dengan single sulung berjudul “Nadhif”, menandakan permulaan pertama yang hebat untuk dia layari perjalanan muziknya dengan kebolehan suara dan nyanyiannya.

Nadhif yang membawa maksud bersih atau tampan dalam bahasa Arab, sekarang ini sering digunakan sebagai awalan untuk curahan hati netizen tentang cinta, keluarga atau sahabat.

Perkataan Nadhif membawa maksud bersih atau tampan dalam bahasa Arab.

Manakala “Nadhif” dendangan Isa adalah sebuah lagu balada penuh emosi yang mengangkat kisah kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu. Single ‘Nadhif’ merupakan ciptaan bersama Jeremy Erskine, Amyr Abadawn dan Magix Mpire di bawah hakcipta dan edaran Luncai Emas Sdn. Bhd.

“Jutaan terima kasih pada semua yang terlibat dalam menjayakan lagu ini dan dengan rasa rendah diri dan berbesar hati diucapkan pada Luncai Emas kerana sudi menerima karya ini,” kata Isa.

Jelasnya, “Nadhif”, yang merupakan sebuah lagu balada penuh emosi yang mengangkat kisah kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu.

“Lirik lagu ini mengisahkan perjalanan seorang wanita dari zaman remajanya hingga menjadi tulang belakang keluarganya. Ini adalah satu penghormatan buat semua ibu yang mencintai dalam diam dan berkorban tanpa mengeluh,” ujarnya tentang maksud di sebalik lagu tersebut.

Walaupun baharu, Isa berjaya menyampaikan lagu tersebut dengan keikhlasan dan penghayatan mendalam. Dengan susunan muzik yang lembut dan vokal yang menyentuh, “Nadhif” menyampaikan kerinduan dan rasa syukur seorang anak, satu peringatan bahawa kasih ibu kekal abadi, walaupun dalam diam.

Sementara itu, komposer dan penulis lirik yang terlibat dalam pembikinan lagu “Nadhif” dengan Isa melahirkan rasa gembira kerana berpeluang untuk bekerjasama dengan penyanyi baharu itu.

‘’Alhamdulillah, kami bersyukur kerana diberi peluang untuk menghasilkan lagu “Nadhif”. Lagu ini ditujukan khas buat para wanita dan anak-anak di luar sana, terutamanya untuk mengangkat nilai dan pengorbanan seorang ibu. Hargailah ibu anda selagi masih ada peluang, kerana kasih seorang ibu tiada gantinya.’

“Kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada Luncai Emas kerana sudi menerbitkan lagu ini dan mempercayai karya kami. Semoga “Nadhif” dapat menyentuh hati pendengar dan membawa makna yang mendalam,” ungkap mereka mengenai lagu dendangan Isa yang boleh ditonton di saluran YouTube Luncai Emas serta strim di saluran digital.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here