Oleh: Nury Kadir
Taubat atau tau buat? Apabila maksud taubat itu difahami barulah kita akan mengerti mengapa ulama meletakkan tanda-tanda taubat diterima seperti yang disebut di atas.
Dipetik pendapat yang dicatatkan oleh Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri, mengenai maksud taubat dari sudut pandangan ahli sufi yang terdapat dalam kitab al-Risalah al-Qusyairiyah:
Junaid al-Baghdadi berkata: Taubat ialah lupa dosa kamu.
Al-Nuri berkata: Taubat ialah engkau bertaubat daripada semuanya kecuali Allah SWT.
Zu al-Nun al-Misri berkata: Taubat orang awam adalah taubat dari dosa sedangkan taubat orang alim adalah taubat dari lalai.
Sahl bin Abdullah juga berkata: Taubat ialah meninggalkan angan-angan yang mendatang.
Taubat akan diterima jika ianya memenuhi syarat-syaratnya:
Meninggalkan dosa dengan sukarela.
Bertaubat dari dosa yang telah dilakukan.
Pilihan untuk meninggalkan dosa terbit daripada membesarkan Allah SWT.
Ibn Abbas RA mengatakan: Maksudnya: “Taubat Nasuha ialah sesal dengan hati, istighfar dengan lidah, buang perlakuan maksiat dengan tubuh badan dan berazam tidak kembali semula.”
Rasulullah SAW juga mengajarkan kepada kita cara untuk bertaubat daripada melakukan dosa. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Bakr Al-Siddiq R.anh beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:
مَا مِنْ عَبْدٍ يُذْنِبُ ذَنْبًا فَيُحْسِنُ الطُّهُورَ ثُمَّ يَقُومُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ يَسْتَغْفِرُ اللَّهَ إِلاَّ غَفَرَ اللَّهُ لَهُ ثُمَّ قَرَأَ هَذِهِ الآيَةَ وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ إِلَى آخِرِ الآيَةِ
Maksudnya: Tidak ada seorang hamba yang melakukan satu dosa, lalu dia memperelokkan dalam bersuci dan dia kemudiannya bangun lalu mengerjakan solat dua rakaat dan memohon keampunan kepada Allah melainkan Allah akan mengampunkan dosanya. Kemudian dia membaca ayat ini:
وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ
Maksudnya: Dan mereka yang apabila melakukan satu dosa atau menzalimi diri mereka kemudian mereka mengingati Allah. [Surah Aali Imran: 135] (HR Abu Dawud)

Berdasarkan hadis di atas, Nabi S.A.W memberikan cara untuk seseorang yang telah melakukan dosa membersihkan diri mereka dari perbuatan tersebut. Iaitu dengan cara mengambil wuduk dengan sempurna, kemudian menunaikan solat dua rakaat dan dituruti dengan istighfar kepada Allah
Kata al-Syeikh Mulla ‘Ali Al-Qari apabila mensyarahkan hadis ini: Yang dimaksudkan dengan beristighfar di dalam hadis ini adalah taubat yang berterusan dan berhenti dari melakukan maksiat tersebut serta berazam untuk tidak kembali melakukannya buat selamanya. (Al-Mirqaat Al-Mafatiih, Mulla ‘Ali Al-Qari)
Setelah selesai menunaikan solat sunat taubat kemudian melazimi dan memperbanyakkan istighfar. Hal ini adalah berdalilkan firman Allah S.W.T:
وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ
Maksudnya: Dan mereka itu apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri mereka, maka mereka mengingati Allah lalu beristighfar ke atas dosa-dosa mereka. Dan siapakah yang mengampunkan dosa selain Allah. Serta mereka tidak berterusan terhadap apa yang telah mereka lakukan dalam keadaan mereka mengetahui. (Surah Aali Imraan: 135)
Apabila disebut melazimi lidah dengan istighfar maka timbul soalan, istighfar apa yang afdal? Ulama menjelaskan, istighfar boleh sahaja dilakukan dengan mengucapkan lafaz ‘’Astaghfirullah’’, ataupun istighfar dalam ertikata lain adalah bertaubat kepada Allah. Iaitu seseorang itu menyesal terhadap maksiat yang dilakukan, berhenti dari melakukannya, serta berazam untuk tidak mengulanginya kembali buat selamanya.
Taubat itu boleh dilakukan pada bila-bila masa, tidak perlu menunggu usia tua atau tunggu pencen. Usia ini tidak kekal lama, esok atau lusa diambil balik oleh Pemiliknya. Jika nyawanya sudah ditarik, maka tidak ada lagi peluang untuk bertaubat.
Allah memerintahkan para hamba-Nya agar bersegera bertaubat dan melakukan amal kebaikan jika ada melakukan kesalahan. Allah SWT berfirman: Maksudnya : “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Ali Imran :133)
Pun begitu, apabila telah bertaubat bukan bermakna melupakan dunia dan meninggalkan usaha untuk mencari rezeki atau menghimpun harta. Taubat sebenarnya memandu kita agar mencari kesenangan dunia atau menghimpun kekayaan dilakukan dengan cara yang halal, beretika tanpa melalaikan tanggungjawap agama. Taubat itu membetulkan niat dan sikap supaya mencari habuan dunia tidak menjadi punca ujub, riak atau lupa akhirat.
Amalkanlah doa ini agar kita menjadi orang yang sentiasa bertaubat dan diterima taubatnya.
رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”. (Surah al-A’raf (23)

NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.









