Oleh: Khadijah Ibrahim
UNTUK pertama kalinya label R&B alternatif Korea, you.will.knovv, yang diasaskan oleh penyanyi dan artis alt-R&B Korea Selatan yang terkenal, DEAN (juga dikenali sebagai Deantrbl) mengadakan jelajah Asia pertama, termasuk singgah di Malaysia pada 4 Oktober 2025, di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert yang dipersembahkan oleh TopGallant Show itu, menampilkan artis label you.will.knovv seperti Tabber, Muzium Rad dan Miso yang membawa suasana dan penjiwaan emosi ke dalam muzik R&B alternatif Korea Selatan.
Jika sebelum ini penulis menonton konsert K-pop, suasananya mesti bising kerana kebanyakan lagu yang disampaikan, membuatkan si penyanyi melontar suara mereka sambil menampilkan rentak tarian yang tersendiri.
Cuba bayangkan, jika anda menonton konsert yang penyanyinya bukan dalam senarai yang dikenali (untuk penulis), dalam keramaian pun boleh merasa mengantuk.
Konsert you.will.knovv in Malaysia 2025 dimulakan dengan persembahan daripada Miso menerusi lagu “Where Did I Go”, diikuti dengan lagu “Alone” dan “Slow Running”.
“Apa khabar Malaysia, selamat malam Kuala Lumpur (tutur dalam bahasa Melayu). Saya gembira berada di sini kerana ini merupakan kali pertama saya berada di Malaysia,” sapa Miso kepada penonton sebelum meneruskan persembahan dengan lagu “Happy”.
Untuk empat lagu awal nyanyian Miso atau nama sebenarnya Kim Mi-so, 33, yang memulakan kerjaya sebagai penyanyi bebas pada 2016 itu hanya berdiri tegak di hadapan mikrafon yang dipacak di hadapannya.
Amat berbeza sekali dengan penyanyi K-pop yang penulis tonton sebelum ini iaitu B.I yang aktif menyanyi sambil menari. Mungkin genre muzik yang dibawa tidak mengizinkan Miso untuk bergerak walaupun tanpa menari.

Memasuki lagu kelima, “Stay” barulah Miso bergerak meletakkan tiang mikrofon ke tepi dan akhirnya memegang barulah Miso memegang mikrofon sambil menyanyikan lagu “Take Me” dan “Let It Go”.
Suasana yang tadinya seakan ‘sepi’ bertukar menjadi rancak apabila Rad Museum atau So Jae-hoon, 35, yang tampil dengan lagu pertama di bawah label you.will.knovv pada 2017, mendendangkan lagu “Dancing In The Rain”.
Sebagai seorang penyanyi, produser R & B dan pereka grafik untuk beberapa projek besar, Rad Museum dilihat bijak berkomunikasi dengan penonton.
“Apa khabar Malaysia, Saya Rad Museum, terima kasih kerana hadir ke konsert ini. Saya rasa bangga dapat berada di sini untuk menghiburkan anda semua,” katanya memulakan bicara.
Rad Museum meneruskan persembahan dengan lagu “Paper Cut”, “Some Girl” dan “Appollo” sambil meminta semua penonton berdiri. Lagu-lagu lain dengan Rad Museum adalah “S/S”, “Offline” dan “Madkid” sebelum mengakhiri segmen persembahannya.
Kemudian pada 9.15 malam, muncul pula Tabber, penyanyi rap yang mula bernaung di bawah label you.will.knovv pada 2020. Tabber atau nama sebenarnya, Kim Hyun-joon, 31, memulakan persembahan dengan lagu “Healing Killing”.
Penyanyi kelahiran Korea Selatan dan pernah belajar di Amerika Syarikat pada zaman sekolah menengahnya itu meneruskan persembahan dengan lagu “Baby Doll”, Hysteric Glamour dan Shut The F**k Up, That’s Mine”.
Sambil menyanyi, selain menari, Tabber juga berkesempatan untuk berswafoto dengan penonton dan beritahu peminatnya yang dia pernah datang ke Malaysia pada Mac 2024, menjayakan konsert Dean with Tabber Live in Malaysia di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur.
Untuk segmennya, Tabber mendendangkan 11 buah lagu termasuklah, “Being”, “Honey”, “Like A Vampire”, Adrenaline”, “Reset & Wake Up”, “O07” dan “Chi-Ka”. Tidak saja beraksi di pentas, Tabber sempat turun bawah bertemu penonton secara dekat dan tidak kekok menggunakan telefon bimbit peminat untuk berswafoto.
Tabber yang merupakan pencinta kucing itu sempat berduet dengan Rad Museum menerusi lagu “Rockstar”, manakala Rad Museum juga berkolaborasi dengan Miso menerusi lagu “Fallin”, sebelum ketiga-tiga mereka mengakhiri persembahan pada jam 10.05 malam.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









