Cat Farish tampil dengan persona Si Penghulu untuk single baharunya.

Oleh: Khadijah Ibrahim

PENYANYI, penulis lagu dan rapper, Cat Farish atau Farish Ramli, 51, kini tampil dengan wajah baharu melalui alter ego yang diberi nama Si Penghulu.

Di bawah persona Si Penghulu, Cat Farish mempersembahkan single sulung berjudul “Jandanyer Yeah Yeah”, sebuah karya unik yang menggabungkan elemen hip hop, afrobeat dan identiti bahasa serta budaya rakyat Perak.

Lagu tersebut ditulis oleh Cat Farish bersama Illegal, dan dirakam di Platinum Studio, Damansara Perdana. “Jandanyer Yeah Yeah”, adalah terbitan bersama dan edaran Luncai Emas Sdn Bhd serta hakcipta lagu dan lirik adalah juga di bawah Luncai Emas Sdn Bhd.

Menurut Cat Farish, “Jandanyer Yeah Yeah” merupakan lagu untuk semua janda yang bangkit dan meneruskan kehidupan tanpa menoleh belakang.

“Jandanya Yeah Yeah” bukan sekadar lagu hiburan. Ia adalah penghormatan buat semua wanita bergelar janda yang bangkit dengan penuh keyakinan dan semangat memperbaiki diri.

“Dalam nada bersahaja dan jenaka berlapik, Si Penghulu menyampaikan kisah tentang janda yang menjadi rebutan kembali — bukan kerana rupa, tapi kerana keazaman dan keanggunan selepas perpisahan.

Lagu “Jandanyer Yeah Yeah” turut mendapat sokongan daripada Shikin Maembong.

“Lagu ni untuk beri semangat pada janda-janda kat luar sana. Yang bangkit, bersiap, dan buat lelaki menyesal tinggalkan dia,” ujar Cat Farish.

Jelasnya, watak Si Penghulu tercetus ketika sesi kolaborasi lagu “Ok” ciptaan Malique, dan sejak itu dikembangkan sebagai wadah untuk dia menyalurkan karya hip hop dengan unsur bahasa dan budaya tempatan.

Dengan lenggok loghat Perak dan gaya penyampaian rakyat moden, Si Penghulu tampil sebagai suara masyarakat dalam gaya yang segar dan bersahaja.

Lagu ini turut mendapat sokongan dan semangat daripada isteri Cat Farish, Shikin Maembong, yang menjadi inspirasi di sebalik pembikinan dan perjalanan kreatif projek ini.

“Sebenarnya konsep dan idea lagu ini dah lama ada tapi lirik dan penyampaian tu yang ambil masa nak ‘kena’, sebab itulah proses rakaman hanya disiapkan baru-baru ini saja.

“Dengan pelancaran ini, Si Penghulu menjadi figura hip hoper Kampung Sri Kintadi dan sekali gus membuka lembaran baharu untuk genre rakyat urban dalam industri muzik tempatan,” katanya tentang lagu “Jandanyer Yeah Yeah” boleh di dengar di semua digital rasmi serta YouTube Luncai Emas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here